ARTIKEL BARU

UMNO JUARA RAKYAT, PEMIMPIN YANG MENJAUHI RAKYAT!!


Datuk Karim Bujang. Sering bersama rakyat di kedai kopi Islamic Restoran

Saya tertarik membaca tulisan blogger dan wartawan Utusan Borneo, Naddin Hj Shaddin tentang YB sekarang  jarang duduk kedai kopi bersama-sama dengan rakyat. Saya tiba-tiba teringat  arwah abang saya Jamlidi Oli, 

"Ahli politik tidak akan lengkap kalau tidak ada "BAR".  Bar tu  bukan Barrister atau LLB tetapi "bar" kedai kopi". Katanya secara bergurau. Tetapi kata-kata itu masih kekal dalam ingatan saya hingga ke hari ini. Jamlidi pernah menjadi calon PAS bertanding parlimen Kota Belud pada 1986. Sebelum meninggal dunia pada 19 September 1994, beliau menjawat  Ketua Bahagian parti PBS, Usukan.

"Kedai kopi adalah tempat yang paling baik mendengar cerita rakyat. Pemimpin politik yang baik, yang bijak berhujah, faham masalah rakyat,  ialah pemimpin yang kerap mengunjungi kedai kopi. Kedai Kopi adalah tempat  kita akan bertemu dengan pelbagai ragam rakyat"  Sambung abang Jamlidi.

Tiba-tiba "flashback" kedai kopi Arafat di Sinsuran, Kota Kinabalu. Masa itu sekitar awal dan pertengahan 1990an. Waktu sekitar jam 8.30 atau 9 malam. Akan tersedia  4 atau 5 meja disambung. Barangkali Mamak kedai Arafat  sudah dimaklum awal.  Kelihatan seorang dua telah  'order' teh dan nescafe tarik, roti telur dan roti kosong. Tak lama akan muncul   Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia. Di kedai kopi Arafat inilah  "persidangan dewan" bermula yang  ada kalanya berlarutan hingga awal pagi. 

Bakat Pandikar sebagai "Speaker" bukan sahaja bermula sebagai Speaker dalam DUN negeri Sabah tetapi sudah teruji di Kedai Kopi di seluruh Sabah.

Diseberang jalan kedai Kopi Arafat ialah kawasan Kampung Air. Di Kota Kinabalu tempat yang menjadi tumpuan orang politik di kawasan kampung air  ialah Islamic Restoran. Jika bernasib baik akan berpeluang makan dan minum teh tarik dengan Datuk Aklee Abas atau Datuk Karim Bujang. Aklee Abas adalah bekas ADUN Sukau selama 4 penggal. Karim Bujang,  ADUN Membakut sejak 1985. Kedua-duanya pernah menjadi pembantu menteri dan semasa menjadi pembantu menteri terus bersama rakyat di kedai kopi.

Jika kebetulan berada bersebelahan dengan bangunan Islamic Restoran. Ada sebaris kedai  iaitu berhadapan dengan  panggung Capitol. Panggung itu merupakan  bangunan lama, dan bangunan konkrit pertama  yang dibina di kawasan kampung air sekitar  awal tahun 1930an. Datanglah sekitar jam 3 atau 4 petang. Di situ ada sebuah kedai kopi Hainam.

Kedai itu, terkenal dengan satay jawa. Penjual satay berasal dari kampung Sembulan. Jika ingin menikmati satay dan kuah kacang yang enak datanglah awal atau buat tempahan. Jangan pula terkejut  jika kita akan duduk semeja dengan  Datuk Salleh Said Keruak kerana kedai itu menjadi tumpuan beliau kerana kehebatan  rasa sataynya.

Kini pemimpin politik duduk kedai kopi dan bersantai bersama rakyat hanya tinggal nostalgia dan kenangan manis. Walaupun  ADUN Pitas YB Bolkiah Ismail kerap kelihatan di Kedai Kak Tini yang terkenal dengan goreng pisangnya itu, YB-YB muda  yang lain terutama dari Pemuda UMNO jarang kelihatan kelibat mereka di tempat- tempat terbuka seperti itu. Tetapi kalau kebetulan berkunjung ke hotel taraf  5 bintang, Maggelan atau Le Meridien cuba-cuba masuk ke cigar corner. Peluang bertemu pemimpin dan YB dari pemuda UMNO lebih cerah daripada duduk berjam-jam di Islamic Restoran atau Kedai Kopi Arafat.

Dalam tempuh tak sampai 15 tahun, dunia politik sudah banyak berubah.  UMNO juara rakyat tetapi pemimpin yang menjauhi rakyat! Aduhai........

4 Responses to "UMNO JUARA RAKYAT, PEMIMPIN YANG MENJAUHI RAKYAT!!"

Unknown said...

Restoran Islamic, kedai kopi Arafat, Restoran Sri Sempelang di Sembulan... hmmm... memang seronok bersantai di sana.

Unknown said...

salam YB Datuk KT,

semua tinggal nostalgia..dulu politik sesuatu yang amat menyeronokkan melihat gelagat rakyat. Hari ini pemimpin kelihatan di tempat-tempat terpencil dan selalu keluar ayat "jgn ke tempat tu ramai orang politik".

dunia dah berubah Datuk. Arafat, sempelang, islamic restoran sekarang tempat penjual MLM sahaja. Kalau pun YB lepak kedai kopi bukan lagi di centre KK tetapi restoran Salim di Luyang.

salam MO

Senjaliza said...

Salam ADIK MUSLI,
Politik kedai kopi adalah pendekatan tradisional yang masih berkesan. Sayangnya masih ramai pemimpin politik yang rasa "nak pengsan" duduk dikedai kopi. Maklumlah "pemanasan gobal" dan Tandatangan di atas tisu paper tak laku lagi!. Ramai org politik sudah pandai "menjaga kesihatan", jangan diserang sakit dada sebelah kiri $$ dikedai kaki 5!

Nah, Kedai kopi sudah jadi nostalgia. Kita tunggu sajalah bila pula pemimpin jadi nostagia!

ADUAN RAKYAT said...

kepada Musli Oli

saya memohon maaf kepada anda kerana blog saya yang sedia ada, saya terlupa apssword nya, maka untuk meneruskan paparan ini, saya sekali lagi meminta rakan sejawatan saya untuk membina blog baru tapi serupa dengan yang dulu. untuk pengetahun anda juga, cadangan anda amat saya hargai untuk membela nasib penduduk sekitar daerah kota belud. saya mendengar anda nasihat untuk memberi profile sebenar, terima kasih, harap cadangan dan pandangan anda sentiasa di ketengahkan.

terima kasih dari blog ARKBelud.