ARTIKEL BARU

LEE KUAN YEW - PERDANA MENTERI MALAYSIA!

Lee Kuan Yew

Pada 16 September 2012 genap 49 tahun Sabah berada dalam Persekutuan Malaysia. Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya secara rasmi membentuk negara Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia ditanda tangani di London pada 7 Julai 1963 dan sepatutnya pengistiharan Malaysia dimasyurkan pada 31 Ogos 1963. Tarikh 31 Ogos dipilih kerana tarikh kemerdekaan Malaya dari British ialah pada 31 Ogos 1957.

Tarikh kemerdekaan Malaysia tentu tidak bertindih jika tarikh “lahir” Malaysia ialah pada 31 Ogos 1963. Namun atas alasan tertentu, termasuk alasan bantahan daripada Macapagal dan Sukarno, Lee Kuan Yew mencadangkan kepada Setiausaha PBB, U Thant supaya tarikh permasyuran Malaysia ditunda dua minggu.

Tarikh yang dipilih Lee Kuan Yew dan dipersetujui Tunku Abdul Rahman ialah pada 16 September 1963. Mungkin Tunku sedar atau tidak sedar, tarikh 16 September sebenarnya adalah tarikh lahir Lee Kuan Yew. Beliau dilahirkan pada 16 September 1923.

Pada hari Malaysia 16 September 1963 juga merupakan hari ulang tahun Lee Kuan Yew yang ke – 40. Apakah pemilihan tarikh itu merupakan rancangan Lee Kuan Yew?

Saya kerap berhujah, Lee Kuan Yew adalah pemimpin yang bertanggungjawab merealisasikan Malaysia bukan Tunku Abdul Rahman Putra. Diketika pemimpin-pemimpin bukan Islam dari Sarawak dan Sabah menentang gagasan Malaysia atas kebimbangan dominasi Melayu dan Islam, Lee Kuan Yew meyakinkan mereka perkara itu tidak akan berlaku dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu.

Lee Kuan Yew memujuk pemimpin-pemimpin Cina dan bumiputera bukan Islam. Dia yang  membawa mereka ke Singapura bersama ketua-ketua suku kaum asli Sabah dan Sarawak untuk melihat kemajuan bandar Singapura dan Kuala Lumpur. Pemimpin dan ketua-ketua kaum dari kawasan pedalaman Borneo itu disediakan penginapan hotel mewah dan dilayan seperti pembesar negara.

Selepas itu rombongan tersebut dibawa ke Kuala Lumpur dan disambut secara besar-besaran Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman.

Semua ini adalah taktik Lee Kuan Yew melembutkan hati mereka yang akhirnya bersetuju menerima gagasan Malaysia.

Apakah peranan Lee Kuan Yew dan penyertaan Singapura dalam gagasan Malaysia sesuatu yang direncana untuk memujuk pemimpin Sabah dan Sarawak?

Jika YA siapakah yang merancang? British atau Malaya?

Atau barangkali Lee Kuan Yew memang bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana dia melihat peluang lebih baik kerana Tunku seorang pemimpin ‘lame duck’ dan mudah dipengaruhi?

Ada pendapat mengatakan Lee Kuan Yew punya perancangan tiga S, mengharapkan sokongan Sabah dan Sarawak bergabung dengan Singapura. Tetapi perancangan itu tidak berjaya kerana PAP gagal menyaingi MCA di Malaya dalam pilihan raya umum 1964.

Akibat kegagalan itu, Lee Kuan Yew nampak dominasi Melayu melalui UMNO sukar dibendung dan dia mengambil keputusan membawa Singapura keluar dari Persekutuan pada 1965.

Pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang mereka percayai. Akibatnya Tun Stephens di Sabah dan Stephens Kalong Ningkan di Sarawak, dua pemimpin yang rapat dengan Lee Kuan Yew telah di gulingkan dari jawatan mereka sebagai Ketua Menteri.

Parti UMNO yang sebenarnya paling berkuasa walaupun ada parti-parti kecil mewakili Sabah dan Sarawak! Seperti jangkaan Lee Kuan Yew, politik Melayu terus mendominasi politik negara. Jika ada pemimpin dari Borneo yang kritikal terhadap polisi Persekutuan, mereka akan tersingkir satu demi satu.

Saya selalu berhujah dengan pemimpin-pemimpin dalam PKR negeri Sabah termasuk Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, saudara Ahmad Thamrin Haji Zaini.

“Walaupun sejarah penubuhan Malaysia terlalu pahit ditelan rakyat Sabah, tetapi perjuangan PKR di Sabah mestilah tidak terkeluar daripada kerangka Persekutuan Malaysia. Sebagai parti nasional, PKR tidak boleh sama sekali terikut-ikut dengan rentak parti-parti kecil yang berjuang atas slogan “Sabah for Sabahans”.

Slogan seperti itu hanya cuba mempengaruhi emosi rakyat Sabah yang tidak berpuas hati terhadap beberapa polisi kerajaan Persekutuan.

Tuntutan PKR adalah tuntutan yang bertanggungjawab dan tidak diselubungi emosi, kerana itu ia mestilah dalam framework Malaysia. Maka itu  tidak timbul isu atau desakan untuk keluar daripada Persekutuan.

Apa pun generasi kita dan generasi hari ini harus berkata TIDAK kepada beberapa polisi kerajaan persekutuan yang tidak adil kepada rakyat Sabah. Kita mesti sampaikan mesej kepada pemimpin Persekutuan kita boleh dapat "deal" yang lebih baik daripada apa yang diberikan kepada Tun Stephens dan Tun Mustapha.

Kita mesti tegas menuntut royalti minyak yang lebih adil daripada 5% yang diperolehi sekarang. Kita mesti berkata TIDAK terhadap polisi kabotaj yang menjadi punca harga barang-barang keperluan lebih mahal di Sabah.

Kita menuntut agar Perjanjian Malaysia 1963 perlu disemak semula supaya syarat-syarat 20 Perkara dapat dipulihkan dan megembalikan status Sabah sebagai sebuah negara yang berdaulat.







4 Responses to "LEE KUAN YEW - PERDANA MENTERI MALAYSIA!"

Saya Ready said...

saya minat sejarah, maka itu? thanks bro MO, saya akan note artikel ini sbg koleksi.. salam perjuangan!

Saya Ready said...

saya minat sejarah, maka itu? thanks bro MO, saya akan note artikel ini sbg koleksi..

Anonymous said...

saya rasa lee kuan yew terlalu tua dan tak sempat dah nak jadi PM malaysia

tetapi anak beliau lee wat yew memang layak jadi PM malaysia

Anonymous said...

LKS jadi PM Malaysia. Dia akan dimakan oleh rakyat Malaysia. Dan lama lamanya dia pun menjadi Billionaire-wan.