ARTIKEL BARU

TERBARU : SOROTAN POLITIK 2015 - KENAPA PERTAHAN NAJIB?

SOROTAN POLITIK 2015: KENAPA PERTAHAN NAJIB?

Saya tidak sabar meninggalkan tahun 2015. Pada saya ia merupakan tahun yang agak malang kepada negara. Lalu saya menyingkap tahun 2016 dengan penuh harapan dan satu persoalan, Kenapa masih ramai yang pertahan Dato Sri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri?

Yang mempertahan Najib bukan sahaja dalam organisasi UMNO, dikalangan pemimpin komponen Barisan Nasional malah presiden parti pembangkang dari PAS turut menyokong. Soalan saya kenapa? 

Saya menemui jawapan yang mudah. Najib belum lagi didapati bersalah terhadap tuduhan-tuduhan keatasnya. Hukuman bersalah tidak boleh jatuh dengan sekadar tuduhan dan persepsi. Dalam masa yang sama,  Najib pertahan dirinya, tidak tunduk dan tidak mengalah. Tidak pernah  dia menunjukkan kecenderungan untuk melepaskan jawatannya dalam parti dan kerajaan. Dia tidak nampak tertekan dan kelihatan yakin.

Bila Allahyarham Tun Ghaffar dicabar sebagai Timbalan Presiden UMNO, Walaupun dengan kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi Pak Ghaffar  tidak menunjukkan kesungguhan untuk pertahankan kedudukan dan jawatannya. Akibatnya penyokong Pak Ghaffar beralih sokongan kepada Anwar Ibrahim. 

Bila Tun Abdullah Badawi diberi tekanan untuk melepaskan jawatan, dia juga tidak menunjukkan kesungguhan untuk pertahan kedudukannya. Akibatnya ramai pemimpin bahagian yang pada mulanya cuba pertahan Pak Lah, lemah semangat dan mengambil sikap atas pagar dan menyokong penggantinya. Perkara yang sama boleh berlaku kepada Najib jika beliau tidak mempertahan dirinya dengan penuh kesungguhan. 

Saya teringat ayat Datuk Mahadzir Khalid. Katanya, “Tun Mahathir menggunakan modus operandi yang sama terhadap Pak Lah keatas Najib. Tetapi cara itu tidak selalu berjaya. Karakter Pak Lah dan Najib berbeza. Najib adalah fighter”.

Apakah rakyat terutama penyokong UMNO suka kepada seorang fighter dalam politik?

Imbas kembali. Bila Anwar  dipecat Tun Mahathir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Anwar melawan. Dia bangkitkan gerakan reformasi dan bermati-matian pertahan dirinya. Dalam politik, Anwar juga seorang fighter, sebab itu  ramai penyokong dikalangan orang UMNO dan anak-anak muda pada ketika itu. Adakah Muhyiddin dan Shafie Apdal figher setelah digugurkan jawatannya? Saya meraguinya..

Menurut Dato Rahman Dahlan, ada beberapa cara untuk melucutkan kelayakan seorang Perdana Menteri. Antaranya Kabinet Persekutuan, desakan komponen BN, Anggota MKT UMNO, Undi Tidak Percaya dalam Dewan Rakyat dan kuasa Majlis Raja-Raja. Namun sehingga hari ini semua yang saya sebut itu memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib untuk mengekalkan jawatannya. Jadi apa masalah? Tegas Menteri Perumahan itu.

Negeri yang paling kuat menyokong Najib adalah negeri Sabah. Rata-rata pemimpin Sabah yang diketuai Datuk Seri Musa Aman memberi sokongan kepada Najib. Dalam wawancara saya dengan Ketua Menteri Sabah itu baru-baru ini, dia jelaskan bahawa Najib adalah PM terbaik untuk negeri Sabah.

“Saya berkhidmat dengan tiga orang PM. Tun Mahathir, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib. Ketiga-tiga mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Namun dalam soal kepentingan negeri dan rakyat Sabah, Najib mendengar pandangan kita dan sedia untuk berbincang. Pada saya dia adalah PM yang terbaik untuk  rakyat dan negeri Sabah.”

Pada hakikatnya semangat Najib bangkit untuk mempertahan dirinya bermula di Sabah pada 10 Mei 2015 setelah beliau teruja dengan sokongan yang diberikan pemimpin dan rakyat Sabah.

Pada sebelah pagi di Kota Belud,  Perdana Menteri yang merasmikan Majlis Pecah Tanah perumahan PPR disambut lebih 10,000 rakyat. Beliau  mendengar ucapan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman dan Dato Rahman Dahlan yang begitu bersemangat memberi sokongan kepada beliau. Dalam ucapannya, Najib juga sebut nama Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak kerana tulisan-tulisan dalam blognya yang mempertahan Najib dan mengkritik Tun Mahathir.  

Selepas itu pada hari yang sama dalam Majlis Bersama Rakyat di Tawau, Najib disambut lebih 40,000 rakyat. Dengan sambutan dan sokongan yang diberikan itu, Najib memperolehi kekuatan dan keyakinan. Dalam ucapannya, beliau bukan sahaja mempertahan diri, malah membalas serangan kumpulan yang mendesaknya untuk berundur dan melepaskan jawatan.

Sebagai pemerhati politik non-partisan, saya melihat kekuatan Najib terletak pada karakternya. Dia bukan seorang pemimpin yang mudah tunduk dan mengalah. Apapun tanggapan terhadap Najib, dia bertegas dengan kata-kata, “No retreat, No Surrender”. 

Jika saya ditanya, haruskah seorang pemimpin yang mahu pertahan dirinya dipertahankan? Saya akan menjawab, YA.

Kenapa Sabah pertahan Najib? Ikuti sambungan esok...

0 Response to "TERBARU : SOROTAN POLITIK 2015 - KENAPA PERTAHAN NAJIB?"