ARTIKEL BARU

BETULKAH SABAH KAYA DAN KELANTAN MISKIN?


Tok Guru - MB yang mendidik rakyatnya berdikari!

Pada 16 dan 17 Februari 2012, Perdana Menteri melawat negeri Sabah. Semasa merasmi projek mini estate di Lahad Datu, Najib berkata Sabah bukan negeri termiskin tetapi di tengah-tengah antara negeri terkaya dan termiskin.

Sukar untuk Najib menyatakan status sebenar negeri Sabah, miskin atau kaya? Kerana ia kedua-duanya, negeri yang kaya tetapi rakyatnya miskin.

Kata Najib Sabah tidak miskin. Yang miskin ialah Kelantan – kebetulan di perintah parti pembangkang! Itu gimik Najib di Sabah.

Menurut ucapannya, pada 1963, 70% rakyat Sabah masih miskin dan daif. Kenapa 1963? Tahun 1963 adalah tarikh kemerdekaan Sabah setelah tertubuhnya Malaysia.

Negara yang baru merdeka sudah tentu miskin, begitu juga dengan Malaya pada 1957!

Paras Garis Kemiskinan (PGK) di Sabah ialah rakyat yang berpendapatan RM960 sebulan. Lebih kurang 68% rakyat Sabah berada di bawah PGK, menurut Penolong Pengarah Kanan, Unit Bantuan Sosial, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dalam satu Majlis Sejenak Bersama Media di Ming Garden Hotel, Kota Kinabalu beberapa bulan lalu.

Bermakna selama 49 tahun Sabah berada dalam kerajaan Persekutuan dan pemerintahan BN, kemiskinan Sabah setakat berkurang 2% iaitu daripada 70% kepada 68%!!

Benarkah Kelantan miskin? Saya selalu melawat negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Semasa pilihan raya kecil Manek Urai, selama dua seminggu saya berulang alik dari Kota Baharu ke Manek Urai.

Tanggal 18hb Februari 2012, sehari selepas Najib kata Kelantan negeri yang miskin, saya membuat keputusan untuk melihat dengan mata saya sendiri keadaan rakyat Kelantan.

Saya memandu dengan kereta sewa Proton Waja dari KL  ke Kuantan. Saya bertolak sebelah pagi dan sampai Kuantan jam 2 petang. Saya menjemput kawan penulis Zabidi Saidi, sebagai pemandu jalan.

Zabidi kenalan rapat saya. Dia pernah menjadi pemberita Watan selama 3 tahun di Sabah pada 1980an. Dia berasal dari Kemaman.

“Kami suka lepak di Kuantan, kerana setengah jam saja dari Kemaman banding dua jam kalau ke bandar Kuala Terengganu” jelas Zabidi.

Saya terus memandu ke Kemaman, melalui jalan kampung Teluk Kalong, kampung asal MB Terengganu, Datuk Ahmad Said. Di kampung itu, kami singgah sekejap rumah sahabat lama, Haji Khalik.

Rumah atau bungalow Haji Khalik masih baru, dibina di tepi pantai. Besar dan cantik rumah itu. Menurut Zabidi, Hj Khalik dapat balak dari MB dan sekarang kaya raya.

Alhamdulillah.

Di rumah Hj Khalik, saya dijamu makan buah-buahan tempatan. Buah duku dari Terengganu memang manis, lemak dan sedap.

Sebelum sampai ke Kuala Terengganu, kami singgah sekejap di sebuah kilang batik milik sahabat Zabidi di Chendering. Nama pengusaha batik itu, Othman.

Saya mengambil keputusan bermalam di Kuala Terengganu dan mulakan perjalanan ke Kota Baharu esok pagi. Zabidi balik ke Kemaman dengan kereta sewa saya.

Ahad tanggal 19 Februari 2012, jam 11 pagi kami bertolak dari Kuala Terengganu menuju ke Kuala Besut melalui jalan pantai.

Kata Zabidi, jalan pantai bukan jalan utama, dan tidak sibuk sangat.

Saya langsung tidak terasa letih memandu malah menyeronokkan kerana keadaan jalan raya sepanjang sempadan Terengganu dan Kelantan amat baik dan lurus. Kalau memandu di jalan raya antara Kota Belud dan Kudat, kita seperti berada di tengah-tengah lautan dilambung ombak!

Kira-kira jam 1 tengah hari kami tiba di Jertih. Saya singgah di sebuah kilang batik di kampung Dengir, tak jauh dari rumah Datuk Idris Jusoh.

Selepas membeli beberapa helai baju batik, kami teruskan pengembaraan melalui jalan-jalan kampung menuju ke sempadan Kelantan. Berbeza dengan keadaan jalan raya di Sabah, jalan-jalan kampung di sini semuanya bertar dan tidak sempit. Jalan kampong disini sama taraf dengan jalan menuju keSandakan dan Tawau.

Jika ada sesiapa yang pernah memandu di kawasan pedalaman Sabah pasti akan dapat buat perbandingan keadaan jalan rayanya. Kalau tidak menggunakan kenderaan 4WD di kawasan kampong di Sabah pasti akan berkubur kerana jalan raya yang teruk!

Tapi di kawasan Pedalaman Semenanjung, saya tidak pernah jumpa jalan-jalan tanah merah. Atau jalan raya yang rosak teruk. Sepanjang perjalanan melalui sempadan, saya tidak pernah nampak kawasan-kawasan perumahan setinggan atau sebuah rumah yang daif.

Apa yang menarik bila kami tiba di Kelantan, sepanjang jalan itu, rumah-rumah penduduk kampung begitu cantik dan besar.

“Mana orang miskin di Kelantan kata Najib tu Zabidi?”

“Kelantan negeri miskin tetapi rakyatnya kaya” kata Zabidi secara spontan.

Tidak lama kemudian kami tiba di Ketereh. Kami melalui pekan Melor untuk menuju ke sebuah kampung bernama kampung Kedai Piah. Sepanjang jalan kampong hampir semua rumah tepi jalan kampung itu bertaraf bungalow.

“Orang Kelantan ni rajin berniaga, terutama jual makanan, hari-hari dapat cash” Jelas Zabidi lagi.

Di Kampung Piah ada sebuah kilang batik “Yee Batik” yang diusahakan, Mohd Shukri Said, seorang pemuda tempatan. Kilang batik itu agak besar dan moden.

Menurut Shukri dia mula dengan modal RM200 sahaja.

“Masa tu tak ada bank nak bagi pinjam duit. Sekarang hari-hari bank tawar pinjaman. Ada yang nak bagi OD sampai satu juta!. Tapi saya tolak. Cukup modal sendiri”

Selepas menempah beberapa helai baju batik lelaki dan wanita,Shukri jemput saya dan Zabidi minum di sebuah gerai di kampung Serendah Sekebun Bunga. Kampung itu kira-kira 100 meter dari kilang batik Yee.

Pengembaraan seterusnya melalui jalan raya kampung-kampung di kawasan Kok Lanas, Kuala Krai dan Machang begitu mengasyikkan. Hati saya terus berbisik, “ Kenapa Najib kata Sabah kaya dan Kelantan Miskin!? PERNAH kah Najib rasa hidup sebagai orang miskin?”


(dipetik dari buku KENAPA SAYA TINGGALKAN UMNO?)


13 Responses to "BETULKAH SABAH KAYA DAN KELANTAN MISKIN?"

SUARA RAKYAT said...

Seronok juga mengembara... jauh perjalanan banyak pengalaman... kalau posting ditokok tambah dengan gambar2 lagi best.

Saya Ready said...

satu pengembaraan yg memberikan bnyk makna buat seorg pejuang.. tahniah bro MO..

Paquin said...

Ta kisahlah siapa kaya, siapa miskin. Yang penting pastikan setiap negeri di Malaysia terus dibangunkan.

Paquin said...

Harap kadar kemiskinan di negara kita dapat dikurang. Kerajaan harus terus berusaha mengurangkan/membasmi isu kemiskinan.

mimi said...

Kalau betul cakap si Najib bagus. Tapi kalau ada udang sebalik batu, itu yang susah.

Anonymous said...

bagaimana sebenarnya kadar kemiskinan ini diukur?

Anonymous said...

mana2 lebih miskin kita sendiri dpt menilainya.

gaman said...

rakyat miskin salahkan parti politik?? kalau ada mana2 parti politik yang boleh memberikan saya kekayaan tanpa perlu bekerja setiap hari, baru lah saya ubah pendirian saya..

Unknown said...

Apa yang dimaksudkan disini adalah pembandingan dari ekonomi yang dibuat. Kita tidak boleh memandang satu perkara saja. Mungkin apa yang Datuk Najib katakan mengenai ekonomi yang ada di 2 buah negeri ini.

Anonymous said...

Sabah memang kaya. Kaya dengan sumber alam semula jadi. Orang kelantan nampak macam cincai tapi sebenarnya kaya.

Anonymous said...

Apa gunanya negeri sabah jika rakyat masih ramai yang miskin ?

Kesah Keturunan Tajul Muluk said...

Apa gunanya sabah kaya jika rakyat masih ramai yang miskin ?

Anonymous said...

apa gunanya sabah kaya jika masih ramai rakyat yang miskin ?