Monday, March 12, 2012

PRU 13 - NEW DEAL UNTUK SABAH DAN SARAWAK!


Datuk Dr Jeffrey Kitingan. Pemimpin UMNO Sabah tidak pernah mengkritik parti STAR. Kenapa?

Parlimen akan bubar tamat sessi parlimen yang sedang bersidang” ayat sms saya terima dari seorang blogger pro pembangkang baru-baru ini. Saya bersetuju PRU ke 13 akan diadakan selewat-lewatnya bulan Jun kerana kemelut ekonomi Eropah dan USA akan mulai terasa selepas itu.

Apa pun BN masih ada masa dan PRU boleh diadakan pada bila-bila masa sehingga tempuh penggal berakhir pada 24 April 2013.

Di Semenanjung Malaysia, PRU 13 sudah pasti persaingan antara calon-calon BN dan PR, baik diperingkat negeri mahupun Parlimen. Kemunculan “Third Force” atau parti-parti kecil seperti parti KITA yang buat U-turn, dijangka tidaklah menjejaskan perlawanan satu lawan satu antara BN dan PR.

Di Sabah persaingan sudah tentu dari pelbagai penjuru! Kemunculan parti-parti baru yang muncul menjelang PRU diibarat bagai cendawan tumbuh di musim hujan.

Di Sarawak, fokus hanya tertumpu pada perebutan kerusi parlimen kerana pilihan raya negeri telah diadakan pada bulan April 2011 di mana parti-parti tempatan (PBB, SPDP, dan PRS) telah memberi mandat kepada BN untuk memerintah Sarawak sepenggal lagi. Kecuali parti SUPP yang kalah semua kerusi di kawasan bandar. DAP menang 12 dan PKR menang 3 kerusi.

Dari segi strategi, di Sarawak, Pakatan Rakyat telah berjaya mencapai kata sepakat, di mana hanya satu parti pembangkang mencabar BN. Sebagai contoh N.09-Padungan (23,576) majoritinya pengundi Cina, calon DAP Wong King Wei menang mengalahkan BN-SUPP Sim Kiang Chiok dengan majoriti 7,884, PKR dan PAS tidak bertanding.

Formula yang sama boleh dibuat di Sabah jika ada persefahaman dan pemimpin-pemimpin pembangkang di Sabah mencapai kata sepakat ‘satu matlamat satu perjuangan’. Namun ramai juga melahirkan keraguan, kata sepakat itu tidak akan tercapai kerana BN bijak dengan taktik ‘divide and rule’!

Pada PRU – 12, BN Sabah hanya kalah satu kerusi Parlimen kepada DAP daripada 25 kerusi. UMNO menang -13, UPKO - 4, PBS - 3, SAPP -2, LDP – 1 dan dan PBRS menang 1 (tanpa bertanding).

Diperingkat negeri, BN hampir menang semua 60 kerusi DUN. UMNO – 34, PBS – 12, UPKO – 4, LDP – 3, SAPP – 4, PBRS – 1, MCA – 1, dan parti pembangkang DAP menang satu kerusi.

Ada beberapa kerusi seperti DUN Inanam, Kepayan, Api-Api, Luyang dan kerusi Parlimen Sandakan yang boleh dimenangi parti pembangkang jika tidak berlaku perlawanan 3 atau 4 penjuru antara PKR, DAP dan PAS serta parti pembangkang dan calon Bebas.

Pada PRU akan datang, BN Sabah sudah pasti akan menggunakan pembahagian kerusi yang sama untuk berhadapan dengan PKR, PAS dan DAP. Manakala parti-parti pembangkang di luar Pakatan Rakyat telah mengumumkan bertanding semua kerusi negeri dan Parlimen!

STAR dilaporkan telah mencapai kata sepakat dengan SAPP dan USNO (parti yang belum berdaftar) di bawah satu gagasan yang dipanggil United Borneo Alliance (UBA).

Dengan perkembangan terbaru ini dan jika parti-parti pembangkang di luar PR terus berdegil dengan hasrat mereka bertanding ‘free for all” saya tidak nampak hasrat rakyat untuk merealisasikan perubahan di negeri Sabah akan menjadi kenyataan.

Sejak 4 bulan lalu sebagai Penolong Ketua Penerangan PKR saya dijemput memberi ceramah hampir setiap hari terutama pada hujung minggu di seluruh pelosok negeri Sabah. Saya memberi penerangan matlamat PR ialah menjadi pemerintah alternatif kepada BN diperingkat persekutuan. Berdasarkan keputusan PRU 2008, hanya PR yang boleh kalahkan BN, bukan parti-parti seperti STAR, SAPP atau SPF.

Saya menjangkakan matlamat STAR untuk mengambil alih peranan PBS, UPKO dan PBRS. Walaupun parti STAR begitu lantang membawa isu-isu mengenai hak Sabah seperti Perkara 20 dan royalti minyak namun kepimpinannya tahu, perjuangan itu sia-sia jika BN terus berkuasa diperingkat Persekutuan.

Amat ketara jika kepimpinan STAR enggan berkerjasama dengan PR bermakna parti itu telah bersedia untuk berkerjasama dengan BN. Apa yang diperjuangkan STAR ialah mengambil peranan parti-parti Kadazandusun based seperti PBS, UPKO dan PBRS dan pemimpinnya mendapat kedudukan dan jawatan menteri seperti jawatan yang diberikan kepada pemimpin PBS, UPKO dan PBRS.

Pengundi Kadazandusun benar-benar keliru dengan perkembangan yang berlaku. STAR nampaknya mempunyai banyak kewangan dengan mengadakan perjumpaan besar-besaran. Ada seorang penceramah mendakwa STAR diberi bantuan kewangan berjumlah RM4 juta daripada UMNO untuk memecah belahkan sokongan PR di Sabah.

Apakah dakwaan itu benar? Memang sukar dibuktikan namun STAR telah mampu menggerakkan jenteranya lebih aktif daripada PR dan SAPP.

Dalam satu sessi ceramah di kampong Rosok, Kota Belud pada 9hb Mac lalu, saya beritahu mereka
perjuangan STAR sama seperti PBS pada 1985. Setelah PBS memerintah selama dua penggal, apakah PBS berjaya pulihkan 20 Perkara? Apakah PBS mampu mendesak kerajaan Persekutuan mengkaji semula perjanjian Malaysia 1963? Apakah PBS berjaya naikkan royalti minyak daripada 5%?

Jawapannya TIDAK!

Pada pru 2008, isyarat tsunami tidak sampai ke bumi Borneo. Rakyat Sabah dan Sarawak masih beranggapan rakyat di tanah besar Malaya masih mempertahan BN. Tetapi terbukti daripada keputusan PRU 2008 dan 16 pilihan raya kecil, rata-rata rakyat Malaysia terutama golongan muda mahu reformasi dan menolak transformasi.

Persoalannya, kenapa rakyat Sabah yang terkenal dengan keberaniannya untuk merubah kerajaan tidak mengambil peluang yang terbentang luas untuk sama-sama menumbangkan kerajaan BN yang telah memerintah Sabah selama 49 tahun?

fikir-fikirkanlah....


Read more...

Tuesday, February 21, 2012

BETULKAH SABAH KAYA DAN KELANTAN MISKIN?


Tok Guru - MB yang mendidik rakyatnya berdikari!

Pada 16 dan 17 Februari 2012, Perdana Menteri melawat negeri Sabah. Semasa merasmi projek mini estate di Lahad Datu, Najib berkata Sabah bukan negeri termiskin tetapi di tengah-tengah antara negeri terkaya dan termiskin.

Sukar untuk Najib menyatakan status sebenar negeri Sabah, miskin atau kaya? Kerana ia kedua-duanya, negeri yang kaya tetapi rakyatnya miskin.

Kata Najib Sabah tidak miskin. Yang miskin ialah Kelantan – kebetulan di perintah parti pembangkang! Itu gimik Najib di Sabah.

Menurut ucapannya, pada 1963, 70% rakyat Sabah masih miskin dan daif. Kenapa 1963? Tahun 1963 adalah tarikh kemerdekaan Sabah setelah tertubuhnya Malaysia.

Negara yang baru merdeka sudah tentu miskin, begitu juga dengan Malaya pada 1957!

Paras Garis Kemiskinan (PGK) di Sabah ialah rakyat yang berpendapatan RM960 sebulan. Lebih kurang 68% rakyat Sabah berada di bawah PGK, menurut Penolong Pengarah Kanan, Unit Bantuan Sosial, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dalam satu Majlis Sejenak Bersama Media di Ming Garden Hotel, Kota Kinabalu beberapa bulan lalu.

Bermakna selama 49 tahun Sabah berada dalam kerajaan Persekutuan dan pemerintahan BN, kemiskinan Sabah setakat berkurang 2% iaitu daripada 70% kepada 68%!!

Benarkah Kelantan miskin? Saya selalu melawat negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Semasa pilihan raya kecil Manek Urai, selama dua seminggu saya berulang alik dari Kota Baharu ke Manek Urai.

Tanggal 18hb Februari 2012, sehari selepas Najib kata Kelantan negeri yang miskin, saya membuat keputusan untuk melihat dengan mata saya sendiri keadaan rakyat Kelantan.

Saya memandu dengan kereta sewa Proton Waja dari KL  ke Kuantan. Saya bertolak sebelah pagi dan sampai Kuantan jam 2 petang. Saya menjemput kawan penulis Zabidi Saidi, sebagai pemandu jalan.

Zabidi kenalan rapat saya. Dia pernah menjadi pemberita Watan selama 3 tahun di Sabah pada 1980an. Dia berasal dari Kemaman.

“Kami suka lepak di Kuantan, kerana setengah jam saja dari Kemaman banding dua jam kalau ke bandar Kuala Terengganu” jelas Zabidi.

Saya terus memandu ke Kemaman, melalui jalan kampung Teluk Kalong, kampung asal MB Terengganu, Datuk Ahmad Said. Di kampung itu, kami singgah sekejap rumah sahabat lama, Haji Khalik.

Rumah atau bungalow Haji Khalik masih baru, dibina di tepi pantai. Besar dan cantik rumah itu. Menurut Zabidi, Hj Khalik dapat balak dari MB dan sekarang kaya raya.

Alhamdulillah.

Di rumah Hj Khalik, saya dijamu makan buah-buahan tempatan. Buah duku dari Terengganu memang manis, lemak dan sedap.

Sebelum sampai ke Kuala Terengganu, kami singgah sekejap di sebuah kilang batik milik sahabat Zabidi di Chendering. Nama pengusaha batik itu, Othman.

Saya mengambil keputusan bermalam di Kuala Terengganu dan mulakan perjalanan ke Kota Baharu esok pagi. Zabidi balik ke Kemaman dengan kereta sewa saya.

Ahad tanggal 19 Februari 2012, jam 11 pagi kami bertolak dari Kuala Terengganu menuju ke Kuala Besut melalui jalan pantai.

Kata Zabidi, jalan pantai bukan jalan utama, dan tidak sibuk sangat.

Saya langsung tidak terasa letih memandu malah menyeronokkan kerana keadaan jalan raya sepanjang sempadan Terengganu dan Kelantan amat baik dan lurus. Kalau memandu di jalan raya antara Kota Belud dan Kudat, kita seperti berada di tengah-tengah lautan dilambung ombak!

Kira-kira jam 1 tengah hari kami tiba di Jertih. Saya singgah di sebuah kilang batik di kampung Dengir, tak jauh dari rumah Datuk Idris Jusoh.

Selepas membeli beberapa helai baju batik, kami teruskan pengembaraan melalui jalan-jalan kampung menuju ke sempadan Kelantan. Berbeza dengan keadaan jalan raya di Sabah, jalan-jalan kampung di sini semuanya bertar dan tidak sempit. Jalan kampong disini sama taraf dengan jalan menuju keSandakan dan Tawau.

Jika ada sesiapa yang pernah memandu di kawasan pedalaman Sabah pasti akan dapat buat perbandingan keadaan jalan rayanya. Kalau tidak menggunakan kenderaan 4WD di kawasan kampong di Sabah pasti akan berkubur kerana jalan raya yang teruk!

Tapi di kawasan Pedalaman Semenanjung, saya tidak pernah jumpa jalan-jalan tanah merah. Atau jalan raya yang rosak teruk. Sepanjang perjalanan melalui sempadan, saya tidak pernah nampak kawasan-kawasan perumahan setinggan atau sebuah rumah yang daif.

Apa yang menarik bila kami tiba di Kelantan, sepanjang jalan itu, rumah-rumah penduduk kampung begitu cantik dan besar.

“Mana orang miskin di Kelantan kata Najib tu Zabidi?”

“Kelantan negeri miskin tetapi rakyatnya kaya” kata Zabidi secara spontan.

Tidak lama kemudian kami tiba di Ketereh. Kami melalui pekan Melor untuk menuju ke sebuah kampung bernama kampung Kedai Piah. Sepanjang jalan kampong hampir semua rumah tepi jalan kampung itu bertaraf bungalow.

“Orang Kelantan ni rajin berniaga, terutama jual makanan, hari-hari dapat cash” Jelas Zabidi lagi.

Di Kampung Piah ada sebuah kilang batik “Yee Batik” yang diusahakan, Mohd Shukri Said, seorang pemuda tempatan. Kilang batik itu agak besar dan moden.

Menurut Shukri dia mula dengan modal RM200 sahaja.

“Masa tu tak ada bank nak bagi pinjam duit. Sekarang hari-hari bank tawar pinjaman. Ada yang nak bagi OD sampai satu juta!. Tapi saya tolak. Cukup modal sendiri”

Selepas menempah beberapa helai baju batik lelaki dan wanita,Shukri jemput saya dan Zabidi minum di sebuah gerai di kampung Serendah Sekebun Bunga. Kampung itu kira-kira 100 meter dari kilang batik Yee.

Pengembaraan seterusnya melalui jalan raya kampung-kampung di kawasan Kok Lanas, Kuala Krai dan Machang begitu mengasyikkan. Hati saya terus berbisik, “ Kenapa Najib kata Sabah kaya dan Kelantan Miskin!? PERNAH kah Najib rasa hidup sebagai orang miskin?”


(dipetik dari buku KENAPA SAYA TINGGALKAN UMNO?)


Read more...

Thursday, February 16, 2012

LEE KUAN YEW - PERDANA MENTERI MALAYSIA!

Lee Kuan Yew

Pada 16 September 2012 genap 49 tahun Sabah berada dalam Persekutuan Malaysia. Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya secara rasmi membentuk negara Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia ditanda tangani di London pada 7 Julai 1963 dan sepatutnya pengistiharan Malaysia dimasyurkan pada 31 Ogos 1963. Tarikh 31 Ogos dipilih kerana tarikh kemerdekaan Malaya dari British ialah pada 31 Ogos 1957.

Tarikh kemerdekaan Malaysia tentu tidak bertindih jika tarikh “lahir” Malaysia ialah pada 31 Ogos 1963. Namun atas alasan tertentu, termasuk alasan bantahan daripada Macapagal dan Sukarno, Lee Kuan Yew mencadangkan kepada Setiausaha PBB, U Thant supaya tarikh permasyuran Malaysia ditunda dua minggu.

Tarikh yang dipilih Lee Kuan Yew dan dipersetujui Tunku Abdul Rahman ialah pada 16 September 1963. Mungkin Tunku sedar atau tidak sedar, tarikh 16 September sebenarnya adalah tarikh lahir Lee Kuan Yew. Beliau dilahirkan pada 16 September 1923.

Pada hari Malaysia 16 September 1963 juga merupakan hari ulang tahun Lee Kuan Yew yang ke – 40. Apakah pemilihan tarikh itu merupakan rancangan Lee Kuan Yew?

Saya kerap berhujah, Lee Kuan Yew adalah pemimpin yang bertanggungjawab merealisasikan Malaysia bukan Tunku Abdul Rahman Putra. Diketika pemimpin-pemimpin bukan Islam dari Sarawak dan Sabah menentang gagasan Malaysia atas kebimbangan dominasi Melayu dan Islam, Lee Kuan Yew meyakinkan mereka perkara itu tidak akan berlaku dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu.

Lee Kuan Yew memujuk pemimpin-pemimpin Cina dan bumiputera bukan Islam. Dia yang  membawa mereka ke Singapura bersama ketua-ketua suku kaum asli Sabah dan Sarawak untuk melihat kemajuan bandar Singapura dan Kuala Lumpur. Pemimpin dan ketua-ketua kaum dari kawasan pedalaman Borneo itu disediakan penginapan hotel mewah dan dilayan seperti pembesar negara.

Selepas itu rombongan tersebut dibawa ke Kuala Lumpur dan disambut secara besar-besaran Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman.

Semua ini adalah taktik Lee Kuan Yew melembutkan hati mereka yang akhirnya bersetuju menerima gagasan Malaysia.

Apakah peranan Lee Kuan Yew dan penyertaan Singapura dalam gagasan Malaysia sesuatu yang direncana untuk memujuk pemimpin Sabah dan Sarawak?

Jika YA siapakah yang merancang? British atau Malaya?

Atau barangkali Lee Kuan Yew memang bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana dia melihat peluang lebih baik kerana Tunku seorang pemimpin ‘lame duck’ dan mudah dipengaruhi?

Ada pendapat mengatakan Lee Kuan Yew punya perancangan tiga S, mengharapkan sokongan Sabah dan Sarawak bergabung dengan Singapura. Tetapi perancangan itu tidak berjaya kerana PAP gagal menyaingi MCA di Malaya dalam pilihan raya umum 1964.

Akibat kegagalan itu, Lee Kuan Yew nampak dominasi Melayu melalui UMNO sukar dibendung dan dia mengambil keputusan membawa Singapura keluar dari Persekutuan pada 1965.

Pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang mereka percayai. Akibatnya Tun Stephens di Sabah dan Stephens Kalong Ningkan di Sarawak, dua pemimpin yang rapat dengan Lee Kuan Yew telah di gulingkan dari jawatan mereka sebagai Ketua Menteri.

Parti UMNO yang sebenarnya paling berkuasa walaupun ada parti-parti kecil mewakili Sabah dan Sarawak! Seperti jangkaan Lee Kuan Yew, politik Melayu terus mendominasi politik negara. Jika ada pemimpin dari Borneo yang kritikal terhadap polisi Persekutuan, mereka akan tersingkir satu demi satu.

Saya selalu berhujah dengan pemimpin-pemimpin dalam PKR negeri Sabah termasuk Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, saudara Ahmad Thamrin Haji Zaini.

“Walaupun sejarah penubuhan Malaysia terlalu pahit ditelan rakyat Sabah, tetapi perjuangan PKR di Sabah mestilah tidak terkeluar daripada kerangka Persekutuan Malaysia. Sebagai parti nasional, PKR tidak boleh sama sekali terikut-ikut dengan rentak parti-parti kecil yang berjuang atas slogan “Sabah for Sabahans”.

Slogan seperti itu hanya cuba mempengaruhi emosi rakyat Sabah yang tidak berpuas hati terhadap beberapa polisi kerajaan Persekutuan.

Tuntutan PKR adalah tuntutan yang bertanggungjawab dan tidak diselubungi emosi, kerana itu ia mestilah dalam framework Malaysia. Maka itu  tidak timbul isu atau desakan untuk keluar daripada Persekutuan.

Apa pun generasi kita dan generasi hari ini harus berkata TIDAK kepada beberapa polisi kerajaan persekutuan yang tidak adil kepada rakyat Sabah. Kita mesti sampaikan mesej kepada pemimpin Persekutuan kita boleh dapat "deal" yang lebih baik daripada apa yang diberikan kepada Tun Stephens dan Tun Mustapha.

Kita mesti tegas menuntut royalti minyak yang lebih adil daripada 5% yang diperolehi sekarang. Kita mesti berkata TIDAK terhadap polisi kabotaj yang menjadi punca harga barang-barang keperluan lebih mahal di Sabah.

Kita menuntut agar Perjanjian Malaysia 1963 perlu disemak semula supaya syarat-syarat 20 Perkara dapat dipulihkan dan megembalikan status Sabah sebagai sebuah negara yang berdaulat.







Read more...

Sunday, February 12, 2012

FITNAH APA LAGI SELEPAS INI?



ANWAR DAN KHALED MASHAL

Dalam lawatan ke luar negara minggu lalu Datuk Seri Anwar telah mengadakan pertemuan dengan dua pemimpin HAMAS, Khaled Mashal dan Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi.

Khaled Mashal adalah pengerusi HAMAS.


BERSAMA DENGAN SHEIKH YUSUF AL-QARDAWI

HAMAS ialah kumpulan militan Palestin yang terbesar menentang keganasan Israel di Tebing Barat dan Gaza. Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1987 itu mempunyai matlamat jangka pendek mengusir tentera Israel dan penempatan Israel di kawasan tanah Palestin yang diduduki mereka.

HAMAS kerap melakukan serangan ke atas tentera Israel dan kawasan-kawasan yang dijadikan kawasan penempatan baru.

Pertemuan Ketua Umum PKR, menepis segala fitnah kerajaan bahawa Anwar menyebelahi negara Israel. Sebaliknya kerajaan BN melantik syarikat dari Israel APCO sebagai perunding menaikkan imej Najib dan kerajaan.

Kegiatan APCO terdedah lagi dengan pengumum syarikat penyiaran terbesar dari Britian iaitu syarikat BBC.

BBC akan menyiarkan permohonan maaf ke seluruh dunia kerana berkompromi integriti editorialnya melalui "skandal penetapan berita".

Semalam akhbar Independent di UK melaporkan bahawa BBC World News akan menyiarkan permohonan maaf dibawah program "dari Kuala Lumpur ke Khartoum" dalam empat slot masa.

BBC mengakui dan mengisytiharkan bahawa ia telah dibayar 17 juta pound atau RM81.4 juta untuk menaikkan imej Najib yang terjejas. 

Skandal itu melibatkan APCO dan subsidianya APCO - FCB Media (UK) syarikat perunding yang dilantik dan dibayar kerajaan Malaysia sebanyak RM77 juta dua tahun lalu.

Sekali lagi Najib bukan sahaja menipu rakyat Malaysia malah masyarakat antarabangsa dengan membazirkan wang rakyat membayar ratusan juta kepada syarikat milik Yahudi!!

Read more...

Thursday, February 9, 2012

MUSA AMAN SEPERTI DEWA-DEWA DARI KAYANGAN....


SANG HELANG BERSEDIA MEMBAHAM RAKYAT SABAH YANG MISKIN

Saya baca komen sahabat saya, Datuk Ainal Fattah dalam laman sosial Facebook sebentar tadi:

"Ketua Menteri sebelum Datuk Musa Aman pendapatan negeri berlegar antara RM1.2 - 1.5 bilion. Kini era Musa Aman dari 2003 hingga kini pendapatan negeri meningkat:
- Rizab Negeri melebihi RM 3 bilion;
- Hasil Negeri melebihi RM 4 bilion;
- Lebihan sebenar berjumlah RM730 juta
- Tiada tunggakan bayaran ke atas pinjaman. Kerajaan Pusat (we paid all the dues)" 

Jika Musa Aman membaca komen diatas, tentu kembang kempis hidungnya....jika pegawai-pegawai Musa Aman, mereka juga akan turut gembira dan pasti akan sampaikan khabar gembira itu kepada bos mereka.

Apakah reaksi pembaca jika mereka tergolong dikalangan graduan yang lebih setahun menganggur? Apakah mereka juga gembira? Ramai yang terpaksa  membayar hutang PTPTN, sedangkan peluang pekerjaan di Sabah begitu terbatas! 

Apakah nilai wang milik kerajaan negeri menjadi pengukur tahap kesejahteraan rakyat?

Saya selalu berhujjah, jika kita ingin tahu ekonomi baik atau tidak, rakyat makmur atau tidak, jangan tenguk statistik yang dikeluarkan pemerintah. Tapi buat kajian mudah mengenai kuasa beli rakyat. Pergi ke supermarket, pasar-pasar seni, gerai-gerai pakaian (bukan penjual makanan)  dan  tanya penjual-penjual yang berniaga di situ.

Apakah perniagaan mereka semakin baik? Apakah jualan mereka meningkat atau merosot?

Hasil daripada pertemuan dengan peniaga-peniaga runcit dan juga pengusaha supermarket secara umum mereka kata, "bisnes very slow", "sales drop", terpaksa cut kos dengan buang pekerja. Ada yang terpaksa tutup perniagaan.

Ini bukan sahaja berlaku  di  Kota Kinabalu tetapi juga bandar besar KL. Seminggu sebelum Tahun Baru Cina saya di KLCC, Bukit Bintang, Lot 10,  dan The Mall. Keadaan agak sunyi,  tidak seperti hari-hari perayaan seperti tahun-tahun sebelumnya. Kenapa?

Rata-rata peniaga mengeluh  kerana tidak ramai rakyat yang mahu berbelanja...

Apakah ini indikator ekonomi bertambah baik?  

Keadaan di Sabah juga demikian malah lebih teruk. Saya harap ada hujah rasional yang mengaitkan  jumlah rizab yang tinggi dan bajet mencecah 4 bilion menjadikan Musa Aman seorang KM yang baik berbanding dengan KM Sabah yang lalu.

Saya menilaiTan Sri Harris Salleh adalah KM Sabah yang terbaik dalam sejarah negeri Sabah! Ekonomi luar bandar sentiasa diambil perhatian. Agensi-agensi kerajaan ditubuhkan membantu rakyat luar bandar dalam bidang pertanian dan ternakan.

Pelbagai produk pertanian diperkenalkan seperti tanaman Asparagus, buah markisa, rebung, dan banyak lagi. Ekonomi rakyat luar bandar makmur. Hasil balak diagih secara adil melalui skim ABC..bukan hanya untuk kroni dan kaum keluarga seperti amalan sekarang!

Di bawah pimpinan Musa, peranan agensi kerajaan seperti KPD, Ko Nelayan diperkecilkan. Peruntukan kewangan untuk agensi-agensi berkenaan di kurangkan sehingga ke peringkat hanya untuk sekadar mampu membayar gaji pekerja. 

Apa guna ada rizab negeri Sabah berjumlah  RM 3 bilion jika agensi-agensi yang berperanan membantu rakyat luar bandar tidak diberi keutamaan? Apa guna lebihan kewangan jika rakyat miskin dan papa kedana?




Read more...

Tuesday, January 31, 2012

SAMBUNGAN....NAJIB SEDIA HADAPI HURU HARA CIPTAANNYA.


BY HOOK OR BY CROOK ANWAR MESTI DIHALANG DEMI KUASA BANGSAWAN MELAYU!

Keputusan Anwar Ibrahim tidak bersalah dalam kes Sodomi II permainan politik Najib. Dia tidak mahu dikenang dalam sejarah sebagai Perdana Menteri kedua selepas Tun Mahathir yang masukkan Anwar dalam penjara untuk kali kedua dalam kes yang sama iaitu kes sodomi.

Najib sebenarnya sedang memperlengkapkan dirinya untuk berhadapan dengan penyokong-penyokong Anwar dan PR.

Memenjarakan Anwar bermakna Najib akan berhadapan dengan protes besar-besaran dari rakyat secara umum terutama penyokong-penyokong setia Anwar! Kehadiran puluhan ribu manusia di perkarangan mahkamah tinggi pada hari keputusan membuktikan ketua pembangkang itu masih berpengaruh.

Umumnya rakyat rakyat Malaysia telah menerima hakikat anwar tidak bersalah.

Dalam kes sodomi pertama selepas rayuan,  mahkamah telah mendapati Anwar tidak bersalah. Keputusan pada 9hb Januari 2012 mengesahkan keyakinan rakyat. 

Majoriti rakyat percaya Tun Mahathir adalah dalang kes Sodomi I pada 1998 dan Najib okestera kes Sodomi II pada 2008.

UMNO telah memperlengkap diri dan bersedia bermain kotor. Seminggu sebelum keputusan mahkamah tinggi, najib berucap dihadapan 10,000 anggota PEKIDA.

Siapa di Malaysia yang tidak tahu peranan PEKIDA?

Telah ada perancangan andaikata Anwar dan PR menang PRU 13, puak-puak ini bersedia melakukan huru hara. Bersedia untuk MAGERAN II.

Terbaru Najib telah mengadakan perhimpunan besar-besaran dengan  anggota RELA.

Dalam perhimpuan dgn anggota RELA sabtu lalu dan Najib mengumumkan kenaikkan elaun anggota-anggotanya!

Najib dilaporkan berkata,  jika keadaan memaksa, sejumlah 2.8 juta anggota RELA tidak akan berdiam diri membiarkan negara dalam kucar kacir,

Beginikah  imej pemimpin wassatiyah? 

Semasa merasmikan Global Movement of Moderates yang baru berakhir dua minggu lalu, Najib menggambar dirinya sebagai seorang pemimpin sederhana. Menjadi pejuang kepada keamanan dan keharmoni dunia.

Najib....Najib...

Read more...

Monday, January 30, 2012

SIAPA BERKUASA? NAJIB ATAU TUN MAHATHIR DAN GANGSTER UMNO?!



THE SMILING ASSASIN


Kenapa semakin ramai rakyat Malaysia percaya UMNO dan presidennya Perdana Menteri Mohd Najib Razak, seorang pemimpin yang sama sekali tidak boleh dipercayai! 

Sebab utama kerana Najib telah kehilangan integriti setelah kekayaan negara dan segala-galanya harta milik rakyat menjadi "milik peribadi", termasuk sebahagian besar pemilikan itu dilakukan para kroni beliau.

Najib dituduh sebagai seorang pembohong tegar! Yang ganjilnya, dia tidak peduli langsung. Dia tidak terasa malu bermuka-muka dihadapan rakyat dan masyarakat umum. Jika hari ini dia boleh menggambarkan dirinya sebagai seorang malaikat, keesokan harinya dia boleh berlagak seperti seorang diktator dalam "Banana Republic"

Muka tebal atau tidak, tapi ini lah yang berlaku bila AG didesaknya membuat rayuan pembebasan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim daripada tuduhan Sodomi II.

Sebagai perbandingan, Anwar konsisten. Daripada mula beliau mengakui hak AG untuk membuat rayuan. Setelah rayuan difailkan, Anwar tidak gelabah dan dia tidak mengatakan keputusan itu  tidak wajar walaupun ramai rakyat berpendirian begitu.

Sebaliknya MP Permatang Pauh itu berpendapat, rayuan kes sodomi itu tidak sama sekali menjejaskan hasrat Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya daripada Najib dan UMNO!

Kenyataan dan pendirian Anwar satu testimoni terhadap keyakinan diri yang kukuh. Bukan seorang pemimpin flip-flop!

Semua rakyat tahu, para ulamak, termasuk 40 ulamak muda, profesor universiti, bankers, ahli-ahli perniagaan, anggota polis dan tentera, judiciary dan ramai lagi dipergunakan Najib dan BN semata-mata untuk mengekalkan kuasa.

Malah para hakim juga boleh dibeli seperti dibuktikan dalam insiden pita rakaman Lingam yang tersebar luas menjelang PRU 2008.

Tun Mahathir dan rejim UMNO lebih cenderung melihat Anwar dalam penjara seperti pernah mereka lakukan pada 1998 untuk terus kekalkan kuasa. Anwar adalah manusia yang jadi penghalang mereka terus duduk di atas singgahsana kuasa dan hidup seperti maharaja!

Memasukkan Anwar dalam penjara akan melemahkan pembangkang pada tanggapan puak ini.

Najib  bijak berlakon dan pandai berpura-pura. Seolah-olah keputusan rayuan tidak kena mengena dengan beliau. Tapi siapa lagikah yang percaya dengan Najib? Dia membenarkan Tun Mahathir dan gangsternya, melakukan kerja-kerja itu.

Tun Mahathir awal-awal lagi secara terbuka berkata tidak ada salahnya kerajaan mempertikai keputusan hakim yang membebaskan Anwar.

Najib cuci tangan dan dia mahu kelihatan seperti seorang yang baik, seorang wassatiyah dengan tidak memalukan dirinya sebagai seorang  Perdana Menteri jika membuat rayuan.

Amat malang kepada orang Melayu mempunyai seorang pemimpin dan perdana menteri yang begitu lemah. Najib tidak mengawal partinya sebaliknya parti mengawal dia!

Selepas Anwar dibebaskan dari tuduhan Somomi II, berita itu merupakan headlines akhbar-akhbar utama di seluruh dunia sebagai bukti bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi masyarakat antarabangsa percaya Anwar difitnah dalam konspirasi Najib dan UMNO!

Masyarakat antarabangsa dan sebahagian besar rakyat Malaysia yakin dan percaya, Dato Seri Anwar adalah pemimpin terbaik untuk Malaysia untuk keluar dari kemelut yang dialami sekarang.

Nampaknya pihak pembangkang tidak boleh berbuat apa-apa dalam rayuan itu kerana mahkamah jelas berada dipihak BN. Apapun isu RM250 juta skandal lembu NFC Shahrizat  membayangi kes tersebut. Ini membuktikan rakyat Malaysia sudah membuat keputusan siapa perdana menteri mereka. Orang itu tentu sekali bukan Najib!

Harapan diletakkan kepada Anwar untuk membawa mereka yang bersalah dengan penipuan dan membawa keluar  wang rakyat sebanyak RM888 bilion daripada 2000-2009.

Seperti kata-kata seorang pemandu teksi KL, Tan Sri Khir Toyo tidak akan didapati bersalah melakukan jika BN masih bekuasa di Selangor! 

Bersambung........
  

Read more...

About This Blog

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP