ARTIKEL BARU

Dilema Najib

Kuala Lumpur, tanggal 5hb April, petang Ahad, kira-kira jam 9 malam saya amat keletihan dan terus baring di atas kusyen bilik 1604 Legend Hotel. Hujan renyai-renyai terus membasahi bumi Kuala Lumpur. Jika hujan berterusan sampai 5 jam pasti kawasan sekitar PWTC akan sekali lagi tenggelam seperti yang berlaku seminggu sebelum Persidangan Agung UMNO Mac lalu.

Semasa saya dan Hadi bergerak meninggalkan kawasan pilihan raya parlimen Bulit Gantang kira-kira jam 6 petang tadi, hujan telah mulai turun dengan lebat sekali. Kami tiba di Kuala Sepetang kira-kira jam 2.30 petang. Sungguhpun tujuan utama ke Bukit Gantang untuk meninjau pilihan raya kecil, namun agenda sisipan ingin menikmati Mee Udang Kuala Sepetang yang tersohor pastinya menggamit saya dan Hadi bila perut mula berkeroncong.

Sepanjang pemanduan ke Kuala Sepetang, poster parti-parti politik yang bertanding, BN dan PAS memenuhi setiap ruang kiri kanan jalan termasuk kain-kain rentang yang memberi publisiti kehadiran Tun Mahathir pada 9hb iaitu keesokan hari Isnin di tapak padang PPP. Dan jelas daripada publisiti yang disiarkan media esoknya perjumpaan Tun Mahathir mendapat sambutan yang baik.

Suasana jalan ke Kuala Sepetang tidak begitu sesak berbanding dengan jalan disebelah kanan kami. Sepanjang hampir 10 kilometer hingga ke pekan kecil Kuala Sepetang, saya perhatikan kenderaan seolah-olah langsung tidak bergerak kerana jalan sehala itu tidak dapat menampung jumlah kenderaan dari luar mengunjungi pekan Cina Kuala Sepetang.

Selepas dua kali mengelilingi pekan yang hanya terdiri dari 3 blok bangunan kedai lama separa papan dan konkrit itu saya dan Hadi berhenti di tepi jalan sebelah restoran Mak Jah. Tak sabar nak merasa mee udang Mak Jah. Selepas menikmati udang segar saya sms kawan-kawan, pemimpin MKT yang baru terpilih seperti Tan Sri Muhyiddin, Dato Azian, Bung Mokhtar, “jika semua yang makan udang di Kuala Sepetang ini mengundi BN, pasti kita menang!”

Tetapi selepas hantar sms itu datang sekumpulan pemuda bermotor besar dalam sekitar 15 orang, singgah betul-betul sebelah meja saya dan hadi makan. Raut wajah mereka serius dan tidak friendly. Penyokong BN? Detik hati saya. Hadi bisik “penyokong PAS”. Hadi seperti dapat membaca reaksi saya. Bila pemuda-pemuda itu buka jaket hitam jelas sekali baju mereka berwarna putih dan lambing bulan hijau. Sungguh bangga mereka mengenakan baju itu!

Maknanya bukan semua yang makan udang Mak Jah dan Kuala Sepetang akan mengundi BN. Sepanjang perjalanan dari Kuala Sepetang pada hari Ahad itu satu perkara yang merisaukan saya dengan Hadi ialah keadaan markas-markas BN yang sentiasa kosong berbanding dengan markas PAS yang penuh dan meriah dengan aktiviti. Disamping meninjau keadaan saya juga menghadiahkan buku-buku KONSPIRASI POLITIK MELAYU ke markas-markas BN. Tetapi bagaimana jika hampir semua markas kosong. Ada 2 atau 3 orang yang sedang menyusun kerusi. Petanda yang tidak baik dari segi psy war pilihan raya. Kenapa begini? Apakah petugas-petugas Markas juga turut kempen rumah ke rumah? Apa tujuan mengadakan Markas tetapi meninggalkannya kosong?

Sepanjang perjalan balik ke KL saya dan Hadi memujuk hati kami mengatakan BN boleh menang berdasarkan hakikat apa yang berlaku pada ketika itu, Peralihan kuasa, pembebasan ISA, penarikan semula pembatalan Harakah dan Keadilan. Namun hati kecil kami tetap meragukan setelah melihat apa yang berlaku di Bukit Gantang.

Intuisi kami ternyata betul. BN bukan sahaja kalah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau tetapi juga majority parti pembangkang dikedua-dua kawasan. Tepat jam 9.18 saya dapat sms dari sahabat saya Hadi” kita mesti buat sesuatu bantu enhance image UMNO. Saya yakin kita boleh dan mampu lakukan. Terus terang saya amat sedih melihat parti saya ‘dibangsatkan’ lawan”.

Kena tulis buku lagi? Nak siapkan satu lembar artikel pun kerja yang amat berat. Tetapi siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Kolektif effort dan kolektif responsibility. Ini bukan sahaja kerja pemimpin. Kekalahan BN dalam dua pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau menyebabkan ramai yang sedar yang tsunami pilihanraya 2008 masih belum reda sungguhpun lanskap politik Negara telah berubah. Peralihan kuasa telah berlaku. Abdullah Badawi yang kerap dipertanggungjawabkan terhadap kemerosotan sokongan BN sehingga kehilangan majority dua pertiga telah meletakkan kedua-dua jawatan penting, Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Dengan kepimpinan baru diketuai Dato Seri Najib penyokong kerajaan terutama anggota UMNO yang baru sahaja selesai mengadakan persidangan agung, termasuk anggota MKT yang baru terpilih begitu bersemangat sekali dengan harapan menggunung tinggi peralihan kuasa itu memberi impak yang postif terhadap sokongan kepada BN.

Pengumuman pembebasan 13 tahanan ISA termasuk dua pemimpin Hindraff yang terpapar didada akhbar melahirkan rasa berterima kasih kepada Najib dan penarikan semula larangan keatas dua akhbar parti pembangkang, Suara keadilan dan Harakah semua menjurus kepada sesuatu yang menarik akan berlaku kepada BN dan kerajaan.

Namun harapan itu menjadi impian kosong dan bolong. Pembangkang terus mendapat kekuatan dan kemenangan dikerusi berbilang kaum Bukit Gantang dan Selambau. Dimanakah kekuatan pembangkang itu atau BN masih lemah dan setakat semangat anggota MKT yang baru menang dan anggota UMNO yang mendengar pidato-pidato berapi para pemimpin baru mereka masih gagal menarik sokongan golongan majority rakyat. Kenapa silent majority masih menolak calon BN terutama UMNO? Dimanakah silapnya?

Post mortem yang dibuat pasti akan mengemukakan berbagai sebab termasuk factor calon, kelemahan jentera dan bermacam-macam lagi. Tetapi BN dan UMNO dah cukup mahir mengadakan pilihan raya dan cukup mahir membuat post mortem. Pasti semua ada jawapan terhadap apa yang telah berlaku. Persoalannya perkara itu akan terus diulang-ulang dengan harapan mereka betul dan rakyat atau pengundi yang membuat kesilapan.

Ada yang berkata jika berlaku 10 PRK di Semenanjung sudah pasti UMNO dan BN akan mengulangi perkara yang sama, 10 kali menerima kekalahan dan 10 kali juga membuat post mortem yang mencari jawapan terhadap kekalahan itu. Maka focus mereka ialah mencari kesilapan terutama sekali calon BN tidak baik tetapi parti pembangkang memilih calon yang terbaik, walaupun barangkali calon parti pembangkang itu hanya seorang driver lori atau bekas budak pejabat.

Kemenangan di Batang Air, Sarawak sekurang-kurangnya boleh dianggap hadiah kepada Dato Najib. Sentiment rakyat Sabah dan Sarawak begitu jauh berbeza dengan sentiment rakyat di tanah Semenanjung, Jika ada pilihanraya kecil di Sabah, pasti BN akan menang. Saya kerap berhujah rakyat Sabah dan Sarawak jika ingin menyatakan tidak persetujuan mereka dengan kerajaan mereka tidak tunjukkan dalam PRK tetapi dalam pilihan raya umum dengan menukar kerajaan yang memerintah.

Focus kepada PKR kerana secara umum rata-rata penganalisis berpendapat penyokong hardcore dari PAS dan DAP kurang implikasi terhadap peralihan kuasa, konsep 1 Malaysia, kabinet baru atau apa sahaja perubahan paradigma yang diharapkan daripada mereka. Mereka ini kalau dalam istilah orang Sabah di panggil penyokong “lantak paku” yang memang sukar diubah paradigm mereka walau apa juga perubahan yang dilakukan parti pemerintah. Mereka sudah kebal kerana telah diindoktrinasikan sejak usia muda untuk menentang kerajaan terutama UMNO dan BN.

Pengalaman pelajar-pelajar luar Negara yang mendapat layanan yang begitu baik daripada ustaz-ustaz malah pegawai-pegawai tinggi yang menjadi senior student yang pro kepada pembangkang boleh mengikat mereka untuk menyokong parti pembangkang terutama PAS bila kembali ke tanah air. Terus terang servis mereka terhadap pelajar dan keluarga pelajar begitu baik dan mereka mengekalkan hubungan rapat sekembali bertugas dan meneruskan pertolongan itu dengan membantu mendapatkan pekerjaan, bantuan kewangan memulakan perniagaan dan pelbagai khidmat nasihat.

Paradigm harusnya bermula dalam UMNO dan komponennya bukan hanya kerajaan yang berubah. Menjadikan UMNO lebih menarik sehingga mampu menarik penyokong PKR yang memang asalnya dari UMNO atau parti komponen BN termasuk sejumlah besarnya golongan muda yang nampaknya begitu kritikal terhadap BN dan kerajaan.

Dapat dilihat apabila pembangkang menyerang mereka focus terhadap UMNO sahaja bukan MCA atau MIC atau Gerakan. Tetapi UMNO sebaliknya melilau dan tidak focus menyerang PKR. Jika ada serangan terhadap PKR ianya lebih menjurus kepada isu peribadi Anwar Ibrahim bukan dasar parti itu. Dalam keadaan sekarang serangan-serangan keatas PAS seperti membuang garam ke laut.

Fokus kepada golongan intelek yang menyisih diri dari UMNO. Kenapa? Apa punca sebenar? Ada pula seorang YB dari Kelantan bekas EXCO Pemuda UMNO mencadangkan semua penulis menulis dalam blog UMNO sahaja. Pelik dan sukar dipercayai. Tetapi itulah kenyataan. Hidup dalam dunia batil dan keangkuhan dan kesombongan pemimpin-pemimpin UMNO yang masih memperlekehkan pandangan alternative.

1 Response to "Dilema Najib"

jeanbara said...

Bapak patut sebutkan juga pejabat MCA Bahagian Bukit Gantang yang di Kuala Sepetang yang kita tengok seperti rumah yang bertahun tidak bertuan. Agak aneh, dalam saat begitu dekat menjelang PRK, pejabat sebuah parti komponen utama berkeadaan sedemikian. Adakah semua pemimpin dan ahli-ahli MCA terlalu sibuk keluar berkempen sehingga pejabatnya terbiar lengang begitu?

Atau mungkinkah dari awal lagi mereka sudah dapat menghidu apa akan berlaku?

Atau?...

Atau?..

Sebenarnya, semakin ditanya, semakin banyak tanda tanya.


Hadi