ARTIKEL BARU

Sembang Rabu: Sebiji Telur Kepada Pemimpin Melayu

Saya beritahu seorang kawan, pemimpin Melayu perlu diberi sebiji telur setiap seorang. Sebagai permulaan beri sebiji seorang kepada anggota MT UMNO. Selepas itu kepada pemimpin PAS dan pemimpin Melayu dalam PKR. Kemudian kepada semua ketua-ketua UMNO Bahagian dan menteri-menteri UMNO.

Sambil tergelak dia tanya “Pemimpin Melayu tak ada telurkah?”

Bukan begitu maksud saya. Kalau nak tahu lanjut bacalah blog saya. Dia terus ketawa. Idea memberi sebiji telur adalah idea Tun Mahathir. Peserta kursus Kem Bina Negara atau kem semangat tentu ada pengalaman simpan telur dalam poket beberapa hari. Hanya pada akhir kursus barulah diberitahu tujuan menjaga telur itu. Telur adalah simbolik kepada perpaduan, kuasa, kemakmuran, keamanan yang begitu fragile dan rapuh.

Hari ini barangkali simbolik telur itu menunjukkan betapa rapuhnya kuasa politik orang Melayu yang dalam sejarahnya terlalu mudah dipecah-pecah dan diperintah kaum-kaum lain.

Bayangkanlah betapa sukarnya menjaga telur sebiji dalam poket. Bukan tempat yang biasa kita bawa telur. Saya tidak pasti jika kursus atau khemah tatanegara, PLKN, atau apa-apa juga kem bina semangat hari in masih mengamalkan idea Tun Mahathir tersebut. Barangkali juga kerana sudah terlalu yakin bahawa kedaulatan, perpaduan, kuasa politik tidak boleh tergugat maka matlamat sesuatu kursus lebih menjurus kepada matlamat sesuatu organisasi yang menganjurkannya.

Kepimpinan Melayu hari ini sedar bahawa kuasa Melayu juga seperti telur didalam poket. Tersilap langkah, silap perancangan, silap perhitungan telur akan pecah. Masalahnya, politik orang Melayu itu hanya dilihat dalam ruanglingkup sebuah parti politik sahaja bukan secara menyeluruh. Sewajarnya melibatkan semua pemimpin Melayu menjangkaui sempadan parti politik. NGO-NGO Melayu perlu teruskan inisiatif menyatukan perjuangan bangsa Melayu ini.

Apakah perlu setiap pemimpin Melayu diberi sebiji telur untuk mengingatkan mereka?

1 Response to "Sembang Rabu: Sebiji Telur Kepada Pemimpin Melayu"

Anonymous said...

haha..nice one..this really needs serious consideration