Tahniah buat Tan Sri Isa Samad. Mesej kepada UMNO - pilih pemimpin yang rapat dengan grass roots.
DUA hari sebelum hari undi, saya berada di Command Center. Jam hampir pukul 11malam dan markas BN yang biasanya menjadi tumpuan para campaigner dan aktivis UMNO, sudah mula penuh. Saya baru tiba dari Taman Intan Perdana, Teluk Kemang, sekadar meninjau-ninjau suasana.
Saya tidak datang ke Bagan Pinang untuk berkempen. Saya tidak kenal sesiapa di sini, selain calon BN. Jika pun ada yang yang terpengaruh dengan saya hanya apek jual durian yang bertaruh Tan Sri Isa menang lebih 2000 undi.
Apek yang saya jumpa dua hari selepas penamaan calon itu pernah tanya "kalau taruh wang berapa Isa boleh menang?" Saya jawab, tahun 2004, BN menang 4411, tahun 2008 menang 2333, kali ini menang 5555. Saya sendiri cakap jumlah itu sebenarnya tidak yakin Isa akan menang begitu besar majoritinya. Mungkin Apek jual durian itu sekarang dah menang bertaruh dan 'cuti' jual durian.
Lebih kurang jam 11.25pm Isa sampai di Command Center. Dia berbaju batik hijau muda, kelihatan agak letih. "Saya tak letih tapi mengantuk je" kata Isa ketika kami bersalaman. Tiba-tiba mata Isa memandang ke arah Din Seluk, aktivis UMNO dari Johor yang agak tinggi lampai berdiri sebelah saya.
"Di sini engkau ada, di sana pun engkau ada, aku tak tahulah engkau ni buat apa Din?" Seloroh Isa kepada Din Seluk disambut gelak ketawa semua yang ada sekeliling beliau.
Keistimewaan Isa mempunyai memori yang kuat. Ingat nama kawan-kawan. Malam itu, seorang sahabat, Shamsul Alang, bekas Timbalan Ketua UMNO Tawau juga datang ke Bagan Pinang. Shamsul mencadang nama Isa sebagai Naib Presiden pada pemilihan UMNO tahun 1999. Bahagian Tawau hanya mencadang dua nama sahaja sebagai calon Naib Presiden. AMT terpaksa membuat "ruling" setiap pencalonan mesti penuh.
Shamsul Alang datang sebagai sahabat kepada Isa. Bukan sebagai petugas UMNO atau BN. Ramai yang datang membantu Isa secara sukarela. Begitu juga dengan bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah, Juhari Janan yang rapat dengan Isa. Malah ada dikalangan yang hadir membantu Isa telah 'talak' UMNO tetapi datang kerana hubungan yang rapat dengan beliau.
Seperti yang saya tulis dalam Facebook, yang menang di Bagan Pinang ialah "karakter" dan "personaliti". Rakyat dahagakan nilai-nilai pemimpin seperti yang ada dalam diri Isa Samad. Memang diakui parti UMNO dan BN ada saham dalam kemenangan itu, tetapi saham yang besar ialah pemimpin itu sendiri yang bakal menjadi wakil kepada rakyat di kawasan Bagan Pinang.
Masalah mula timbul sebenarnya setelah BN menang besar PRU11, 2004. Pemimpin UMNO sentiasa tenguk ke atas. Menunggu Pak Lah. Sambut dan hantar Pak Lah di airport. Mengampu Pak Lah untuk kekal sebagai calon. Kejar projek. Kejar kekayaan sehingga lupa rakyat di kawasan masing-masing. akhirnya UMNO terkulai di kawasan Melayu seperti di Kedah, Perak dan Selangor.
Kemenangan Isa di Bagan Pinang sewajarnya menjadi titik tolak kepada UMNO untuk menilai kepimpinan disemua peringkat. Konsep "mendahulukan rakyat" seharusnya menjadi amalan semua wakil rakyat. fikir-fikirkanlah...
1 Response to "UMNO TIDAK MENANG DI BAGAN PINANG!"
Bos apa lagi....Parlimen Sepanggar PRU-13. Ada juga bela kami di banda raya kota kinabalu
Post a Comment