Alkisah tersebut satu cerita. Pada satu ketika dulu ada seorang jejaka bernama Mat Malaya. Dia baru sahaja mewarisi thakta dan kekayaan dan ingin sangat beristeri. Bukan satu tapi tiga sekaligus. Mulanya Mat ni bercinta dengan seorang Mek, nama Mek Singapura. Orangnya kecil molek tapi cantik rupawan, tapi Mek bukan dari keluarga yang berada, harta tak ada dan tanahpun hanya sekangkang kera. Tambahan pulak, Keluarga Mek Singapura tidak begitu mesra dengan keluarga Mat.
Mat berangan-angankan seorang isteri yang kaya, berharta dan mempunyai tanah yang luas. Lalu Mat sunting bukan satu tapi dua orang gadis sunti. Seorang namanya Siti Sarawak, seorang lagi Dang Sabah. Kedua-duanya tinggal di sebuah pulau nun jauh di tanah seberang. Untuk sampai ke kampung kedua-dua gadis, ambil masa dua pekan dengan perjalanan laut.
Ketiga-tiga gadis dipinang serentak. Oleh kerana Mek Singapura dari keluarga miskin, pihaknya hanya minta hantaran 6 ekor lembu. Mat setuju! Siti Sarawak pada mulanya enggan berkawin dengan Mat kerana Mat bukan daripada keturunan yang sama, akhirnya dengan berat hati bersetuju dengan syarat ada hantaran 18 ekor lembu dan kerbau. Mat tanpa ragu-ragu setuju.
Dang Sabah yang sejak awal enggan berkawin dengan Mat yang tiada pertalian keluarga, akhirnya terpaksa setuju kerana kawan rapatnya Siti Sarawak sudah menerima pinangan Mat Malaya. Keluarga Dang Sabah meletakkan syarat hantaran lebih mahal dari keluarga Siti Sarawak. 20 ekor kerbau jantan dan belanja hangus. Mat yang terkenal seorang lelaki playboy yang suka berbelanja dan berpoya-poya itu setuju.
"semua syarat hantaran saya setuju. Saya janji bukan saja jaga Dang Sabah, tetapi juga menjaga keselamatan seluruh keluarganya. Saya tidak akan ambil walau seinci tanah Dang Sabah dan tanah waris-warisnya serta hasil mahsulnya" ikrar Mat.
Majlis perkawinan besar-besaran diadakan serentak. Alangkah meriahnya majlis itu. Seluruh rakyat jelata hamba sahaya diberi cuti umum. Rakyat diberi hadiah cawan yang tertulis gambar Mat dan ketiga-tiga isterinya. Lalu mereka hidup bahagia.
Dijadikan cerita, Mek Singapura mulai meragui keikhlasan Mat Malaya kerana sudah dua tahu hari ulang tahun perkawinan pada 16 September yang juga sempena hari jadinya, Mat Malaya akan berada di luar negara dan tidak meraikan bersama. Mek Singapura risau dan hubungi kedua madunya, "Ada Mat di rumah kamu?". jawapan kedua madu "Tiada. Mat pun tidak raikan anniversary" Jawab mereka dengan kesal dan sedih. Kenapa Mat sampai hati berbuat begitu.
Selepas dua tahun perkawinan, Mek Singapura bincang dengan Mat untuk berpisah. Mat yang anggap Mek sebagai bebanan kepada keluarganya kerana tiada harta, setuju menceraikan Mek dengan talak tiga. Mek yang tidak ada anak hidup menjanda dan membuka perniagaan sendiri sehingga menjadi kaya raya. Sekarang Mek lebih kaya dari Mat.
Selepas beberapa tahun hasil perkongsian Siti Sarawak dengan Mat, dapatlah 4 orang anak, baru-baru ini lahir lagi seorang diberi nama Denan. Tapi Siti Sarawak ni sedikit keras berbanding dengan Dang Sabah. Siti Sarawak tidak membenar Mat sesuka hati membawa keluarga atau orang lain masuk ke rumah atau kampungnya. Siti juga berhati-hati jika ada niat Mat untuk mengambil harta atau tanah keluarganya. Mat sebenarnya sedikit kecut bila berada di rumah Siti Sarawak.
Lain halnya dengan Dang Sabah. Selama perkongsian dengan Mat, mereka dapat 14 orang anak kerana Dang Sabah tidak tahu merancang keluarga. lagipun Mat suka membawa kaum kerabatnya masuk ke kampung Dang Sabah. Malah kawan-kawan dari negara lain juga dibiarkan masuk dan diberi tanah dan harta milik keluarga Dang Sabah. Sekali sekala, Dang Sabah atau keluarganya ungkit janji hantaran yang belum dihantar. Satu masa Mat ditanya "Mana sudah janji mau beri 20 ekor kerbau?"
Serta merta Mat mendengus, "20 ekor?. Saya hari-hari beri belanja makan selama 50 tahun kamu tidak kira?. Aku gaji orang jaga kampung kamu daripada pendatang haram, kamu tidak kira, aku bayar gaji pekerja, kamu tidak kira? . Aku buat jambatan gantung kamu tidak kira?"
Tapi Mat tidak beritahu dia jual tanah dan harta Dang Sabah untuk membina istana di kampungnya untuk kaum kerabatnya. Mat tidak beritahu, dia guna harta Dang Sabah membina kedai, pelabuhan, kapal, dan macam lagi di kampungnya. Mat tidak beritahu mereka guna duit keluarga Dang Sabah berpoya-poya di luar negara.
Dang Sabah, ada darah gemuruh hanya mampu menangis. Dia terlalu lemah menolak kehendak Mat dan keluarga Mat. Bila mereka berada di rumah atau kampung Dang Sabah, sesuka hati mereka masuk ke dapur mengambil makanan yang disediakan untuk anak-anak Dang Sabah. Sesuka hati mereka ambil tanah dibuat ladang untuk dihantar hasilnya kepada keluarga Mat di seberang untuk membina rumah di sana.
Tapi dengan Siti Sarawak, Mat dan keluarganya tidak berani berbuat begitu. Siti berani tutup pintu dan arahkan mereka keluar. Mereka juga tidak boleh sesuka hati menjamu selera di rumah keluarga Siti Sarawak. Siti tidak takut ancaman Mat. Kalau Mat tinggi suara, Siti lagi tinggi suara. Maka itu Siti Sarawak masih banyak tanah dan harta. Anak-anak mereka juga dijaga dengan baik terutama Denan yang berani marah bapanya Mat dan keluarga Mat.
Keluarga Dang Sabah dari asal kaya raya mulai jatuh miskin. Tanah semakin kurang. Harta semakin terhakis. Pokok yang ditanam keluarga Dang Sabah sudah jadi perabot di negara luar. Tembaga sudah jadi hak orang Jepun. Anak Dang Sabah yang ke empat belas, bernama Isa walaupun kaya tapi kurang bercakap bila berdepan dengan Mat atau keluarga Mat. Mungkin dia takut dengan Mat akan rampas hartanya pulak.
Maka Dang Sabah sentiasa bersugul mengenangkan nasib masa depan anak cucu dan cicitnya.
Kisah yang menyayat hati....
0 Response to "ALKISAH HIKAYAT SUAMI TAMAK DAN TIDAK MENEPATI JANJI.."
Post a Comment