ARTIKEL BARU

KRISIS POLITIK PERAK: MEMPERINGATI TARIKH 13 MEI?



Politik Perkauman bukanlah caranya mengingati peristiwa 13 Mei.

Jika pilihan raya umum tidak disegerakan di negeri Perak, entiti yang paling layak menangani krisis politik negeri itu ialah Istana Perak. Tiada mahkamah atau hakim dalam Malaysia atau dalam dunia sekalipun yang dapat memuaskan hati kedua-dua pihak yang bertelegah.
(gambar: Allahyarham Tun Razak telah menangani peristiwa 13 Mei dengan bijak merapatkan hubungan kaum di Malaysia)

Hari ini sungguhpun Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan menangguh keputusan hakim Justice Abdul Aziz Abdul Rahim yang dalam penghakimannya semalam mengesahkan Dato Seri Nijar Jamaludin sebagai Menteri Besar yang sah. Namun esok, tarikh 13 Mei , krisis itu akan berterusan tanpa penghujungnya. Malah mungkin akan berlaku lagi kekecohan di pejabat SUK bila kedua-dua pihak, Zambery dan Nijar masing-masing masuk ke pejabat yang sama.

Esok, para peguam Pakatan Rakyat pula akan ke mahkamah memohon ketepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang menangguh keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu. Pemimpin Pakatan Rakyat mempersoalkan kenapa penghakiman dibuat dalam masa yang begitu singkat dan kenapa hanya seorang hakim Mahkamah Rayuan saja yang mendengar kes yang penting seperti itu?

Sultan Perak sebagai seorang bekas Ketua Hakim Negara dan sebagai seorang tokoh yang amat disegani sudah tentu cukup bijaksana menangani kemelut yang melanda negeri baginda. Kita tidak perlu memberi cadangan apa yang harus dibuat Sultan Perak kerana berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Jika mahkamah yang menentukan kemelut Perak, krisis itu tidak ada penghujungnya. Apa juga keputusan hakim, orang politik yang melihat daripada pelbagai sudut akan pasti mempertikaikannya jika keputusan itu tidak memihak kepada diri atau kumpulan yang disokong. Orang biasa dan ahli-ahli parti politik yang tidak tahu undang-undang pun membuat berbagai interpretasi mengikut puak yang mereka sokong.

Akhirnya isu ini bukan lagi merupakan isu undang-undang atau perlembagaan tetapi melarat seperti api ditiup angin menjadi isu perkauman yang merbahaya kepada kestabilan politik negara.

Esok, tarikh 13 Mei sepatutnya diperingati seluruh rakyat Malaysia dengan perasaan insaf dan kesal dan bertekad agar peristiwa hitam seperti itu tidak berulang. Namun setelah hampir 40 tahun isu kaum terus menjadi isu politik. Pertelingkahan masih berkisar kepada kaum. Di Perak begitu jelas adalah perebutan kuasa antara orang Melayu dan orang Cina. Kedua-dua pihak secara terang-terang melalui kata-kata dan perbuatan mereka menunjukkan sentiment kebencian yang melampau.

Dalam usaha mengujudkan sebuah bangsa Malaysia dalam konsep 1Malaysia, apa yang berlaku di Perak tidak membantu ke arah usaha itu. Negara sebaliknya terus berpecah dan politik terus diwarnai sentiment perkauman seperti mengikut rentak sebelum 13 Mei malah ianya lebih teruk lagi dengan pengaruh globalisasi hari ini.

2 Responses to "KRISIS POLITIK PERAK: MEMPERINGATI TARIKH 13 MEI?"

Senjaliza said...

Saudara/Adik Musli, paparan ini amat menarik perhatian saya kerana barangkali kita hampir serentak memaparkan tajuk mengenai 13 Mei. Tidak ramai yan sensitif dengan 13 Mei ini lagi. Malah kerajaan sendiripun tidak membuat program khas bagi peristiwa ini (entahlah kalo ada) seperti orang Jepun memperingati pristiwa pahit "Bom Atom" di Hiroshima dan Nagasaki. Congrate

mrakunman said...

Suatu masa dahulu sebelum PRU-12 Kelantan cuma ada satu majoriti tetapi kerajaan Tok Guru Nik Aziz berfungsi seperti biasa. Kenapa di Perak tidak demikian. Sebabnya rasa tiada puas hati kepada pihak Pakatan- kerana secara tiba-tiba hilang kuasa. Kuasa memang membelengu manusia, kadang-kadang kewarasan terlupakan. Nizar atau Zamry pasti berusaha untuk mempertahankan kenikmatan yang telah dirasa. Soal keamanan tidak penting, kerana hanya yang satu "nikmat"