ARTIKEL BARU

NAJIB KE CHINA - YANG DIKEJAR TAK DAPAT YANG DIKENDUNG BERCICIRAN...

Lawatan Najib ke China hanya kunjungan Nostalgia

Lawatan Dato Seri Najib ke China pada 2 Jun ini sekadar mengimbas kembali hubungan yang dimulakan Allahyarham Ayahandanya, Tun Razak kira-kira 35 tahun yang lalu pada tahun 1974.

Lawatan kali ini walaupun menurut Najib bagi mempertingkatkan hubungan kedua-dua negara, menarik lebih banyak pelaburan dan pelancong disamping memindahkan teknologi baru ke Malaysia, namun ia tidak dapat mengelak daripada tanggapan, ini adalah lawatan nostalgia. Lawatan memperkukuhkan hubungan politik semata-mata.

Najib sering berkata dalam ucapan-ucapannya, bahawa UMNO tidak lagi boleh bergantung dan mengharapkan kepada nostalgia perjuangan parti untuk mendapat pengaruh dikalangan rakyat. Tetapi kali ini nostalgia lawatan ayahandanya itu terlalu penting kepada Najib untuk dilepaskan begitu sahaja. Ini adalah soal hidup dan mati politik Najib dan politik Barisan Nasional.

China pada hari ini sedang dilanda krisis ekonomi yang teruk berikutan jatuhnya permintaan dari negara-negara Eropah dan USA. Banyak kilang-kilang export oriented terpaksa ditutup dan kadar pengangguran melambung melebihi 10%. China sedang menghadapi krisis ekonomi yang teruk. Jika Najib ke China untuk mengadakan hubungan ekonomi ia tidak lebih dari sekadar menandatangani M.O.U kerana sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan hubungan ekonomi.

Parti UMNO dan BN yang diwarisi Najib sebenarnya lebih tenat daripada yang diwarisi ayahandanya pada tahun 1969. Prestasi parti-parti komponen BN, MCA, Gerakan, MIC di Semenanjung Malaysia adalah lebih parah berbanding dengan pilihan raya 1969.

Prestasi buruk parti-parti Cina pada pilihan raya 1969 merupakan satu cabaran berat kepada Tun Razak untuk memulihkan keyakinan kaum Cina yang jelas menghukum MCA dengan senyap-senyap mengundi DAP. Kaum Cina juga mengundi PAS dan menolak calon UMNO/BN yang tidak mesra-Cina dan dianggap ultra Malay seperti Tun Mahathir yang tewas di Kota Setar Selatan kepada calon PAS.

Perkara pertama yang sepatutnya dilakukan Tun Razak ialah memulihkan keyakinan rakyat terutama kaum Cina kepada Perikatan terutama selepas berlakunya peristiwa 13 Mei. Namun Razak lebih bijak dengan memulakan langkah mendekati pengundi Melayu dan meyakinkan mereka bahawa kerajaan pentadbirannya ingin membela nasib bangsa Melayu. Beliau memperkenalkan DEB dan menubuhkan banyak GLC seperti FELDA untuk meningkatkan ekonomi Melayu dan bumiputera.

Apabila kelihatan ada keikhlasan Tun Razak membantu bangsa Melayu/bumiputera, maka usaha menyatukan sokongan pengundi Melayu lebih mudah. PAS, sebuah lagi parti politik sokongan Melayu bersetuju bergabung dengan UMNO. Dalam usaha mengurangkan politicking, Barisan Nasional ditubuhkan menggantikan Perikatan dengan menjemput PAS, Gerakan dan parti pembangkang lain kedalam BN.

Untuk menarik hati kaum Cina di Malaysia, Tun Razak menjalinkan hubungan dengan negara China pada tahun 1974, walau pun China adalah sebuah negara pemerintahan komunis dan Malaysia baharu sahaja bebas daripada ancaman kominis. Gambarnya bersalam dengan Pengerusi Mao Tse Tung dan Setiusaha Agungnya Chou En Lai menepis persepsi pentadbiran Razak anti kaum Cina.

Kaum Cina mulai melihat Tun Razak lebih memahami aspirasi kaum Cina berbanding dengan Tunku. Pada pilihan raya ke 4, 20 Ogos 1974, kesemua 61 calon UMNO menang, semua 14 calon PAS menang, MCA menang 19 daripada 23 kerusi, MIC menang semua 4 kerusi. Gerakan menang 5 daripada 8 kerusi.

Daripada 154 kerusi parlimen, BN menang 135 kerusi. Parti-parti pembangkang mempertahankan 19 kerusi iaitu DAP 9 kerusi, SNAP di Sarawak 9 kerusi dan PEKEMAS 1 kerusi.

Daripada hilang dua pertiga kepada kemenangan luar biasa. Itulah kebijaksanaan Tun Razak. Beliau tidak tergesa-gesa mengejar undi Cina dan membiar orang Melayu terkapai-kapai. Tun Razak melawat negara China hanya lebih kurang 60 hari sebelum pilihan raya umum bukan pada awalnya seperti Najib sekarang. Beliau telah mengatur strategi dengan bijak menarik sokongan pengundi Cina.

Gula-gula apakah lagi yang akan Najib beri kepada pengundi Cina selepas balik dari negara China setelah bersetuju memansuhkan DEB seperti yang dikatakan di Singapura? Janganlah hendaknya Yang di kejar tak dapat Yang dikendung pulak berciciran. Fikir-fikirkanlah.

2 Responses to "NAJIB KE CHINA - YANG DIKEJAR TAK DAPAT YANG DIKENDUNG BERCICIRAN..."

feeza said...

Kaum Cina tak undi MCA, bukan kerana MCA tak buat kerja tapi mereka mahu mengurangkan kuasa dominant UMNO. Mereka tidak mahu sesuatu parti itu jadi terlalu kuat.

The Unspinners Kembali said...

Mintak link balas di sini tuan. ANda telah kami linkkan.