ARTIKEL BARU

POLITIK SABAH- Tenang-Tenang Sungai Kinabatangan.......


Politik negeri Sabah bolehlah diibaratkan seperti sungai-sungainya yang bersimpang siur. Sungai Kinabatangan, Sungai Tempasuk, sungai Padas adalah antara sungai yang panjang dan besar. Sungai nampak tenang dan cantik di atas permukaan.
(Foto: Tun Mustapha, Bapak Kemerdekaan Sabah, kaum bumiputera Islam menyokong gagasan Malaysia kerana Tun Mustapha. Tetapi perjuangannya mempertahan hak rakyat Sabah tidak dapat dicontohi pemimpin hari ini.)

Bot-bot pelancong menyusuri tebing melihat keindahan alam, flora dan fauna yang menarik. Monyet-monyet proboscis bermain-main didahan pokok bakau memperagakan kejantanan mereka. Tetapi nun di lubuknya, sang bedal bersedia melibas mangsa dengan ekor panjangnya.

Pelancong yang melihat sungai-sungai Sabah dari jauh atau dari permukaan sahaja tanpa melihat dan menyelami dasarnya, tidak tahu bahawa sebenarnya arus didalam sungai itu begitu deras dan bergelora.

Politik negeri Sabah begitu unik. Dalam sejarah politik sejak pasca merdeka, ada dua puak yang berebut kuasa. Puak bumiputera Islam yang dipelopori bangsa Bajau dan satu pihak lagi ialah puak bumiputera bukan Islam yang diwakili kaum Kadazandusun. Tun Mustapha yang mengetuai Parti USNO dan Tun Mohd Fuad Stephens dari parti UPKO.

Pilihanraya pertama 1967 akhirnya ‘settle’ perebutan kuasa itu setelah USNO dengan kerjasama parti Cina SCA menang dalam pilihan raya ‘free for all’ kerana ketiga-tiga parti USNO,UPKO dan SCA adalah anggota komponen parti Perikatan.

Setelah parti UPKO dibubar, pemimpin dan kaum Kadazandusun menyertai USNO, politik Sabah tenang seperti juga sungainya yang tenang sebelum musim tengkujuh. Pilihan raya tahun 1971, semua kerusi USNO menang tanpa ada pertandingan. Namun sungai itu melimpah pada tahun 1975 setelah tertubuhnya parti BERJAYA dan kaum Kadazandusun yang memendam rasa sekian lama mengalih sokongan kepada BERJAYA pimpinan Tun Mohd Fuad Stephens dan Harris Salleh.

Sungguhpun BERJAYA memerintah dengan baik, namun majority masyarakat Bajau yang diketuai Tun Mustapha dan Tun Mohd Said Keruak (Presiden USNO 1975-1982) terus memberi sokongan kepada USNO kerana berpendapat BERJAYA adalah parti kaum Kadazandusun dan Harris Salleh adalah nominee mereka setelah Tun Mohd Fuad terkorban dalam kemalangan kapal terbang (6.6.1976).

Harris Salleh cuba mengIslamkan parti BERJAYA dengan harapan penyokong-penyokong USNO akan mengikuti perjuangannya. Beliau berjaya lakukannya pada pilihan raya 1981, bila partinya menang besar 45 daripada 48 kerusi DUN Sabah. USNO hanya dapat pertahan 3 kerusi majority pengundi Bajau iaitu USUKAN, SULABAYAN dan BANGGI.

Namun usaha Harris itu telah menerima kesan yang tidak baik terhadap penyokong-penyokong asalnya. Kaum Kadazandusun melihat Harris terlalu pro kepada dasar-dasar yang memihak keterlaluan kepada kaum bumiputera Islam.

Pada tahun 1985, Harris Salleh dan parti BERJAYA akhirnya bungkus bila kaum Kadazandusun memberi sokongan penuh kepada parti baru PBS pimpinan Joseph Pairin Kitingan dan kaum Bajau dan bumiputra Islam kembali memberi sokongan kepada Tun Mustapha dan USNO.

Parti PBS memerintah Sabah bermula 1985 hingga 1994.

Dasar Penggiliran Ketua Menteri Sabah yang diperkenalkan Tun Mahathir setelah BN mengambil-alih kerajaan daripada PBS pada 1994, menjurus kepada penyelesaian dua puak yang berebut kuasa, Kaum Kadazandusun dan kaum Bajau. Di samping kaum Cina yang menjadi King Maker.

Kaum Kadazandusun dan kaum Bajau yang merupakan kaum majority di Sabah ‘claim’ jawatan Ketua Menteri Sabah sebagai hak mereka dalam system demokrasi, the majority should rule. Ketiga-tiga Ketua Menteri Sabah yang mewakili UMNO dalam Sistem Penggiliran adalah mewakili kaum Bajau, Tun Sakaran Dandai, Dato Salleh Tun Said Keruak dan Dato Osu Hj Sukam.

Ketiga-tiga mereka meletakkan jawatan bukan kerana kalah dalam pilihan raya tetapi kerana memberi laluan kepada kaum lain melalui system itu. Manakala hanya seorang sahaja kaum Kadazandusun yang sempat kerusi Ketua Menteri dalam system Penggiliran, itupun dalam tempuh tidak sampai 8 bulan, iaitu Tan Sri Bernard Dompok kerana tewas dalam pilihan raya umum negeri Sabah pada tahun 1999.

Persoalan pokoknya, apakah dua puak yang berebut kuasa itu tidak lagi berminat dengan jawatan Ketua Menteri Sabah? Atau mereka seperti sungai Kinabatangan yang nampak tenang tetapi bergelora di dasarnya. Renung-renungkanlah

12 Responses to "POLITIK SABAH- Tenang-Tenang Sungai Kinabatangan......."

1Borneoa said...

Sepatutnya senario politik Sabah telah berubah selepas pilihan raya tahun 2000 dan akan berubah lagi selepas tahun 2010 kerana realiti sosio-politiknya telah berubah. KENAPA ? Fikir-fikirkanlah ? Atau saya perlu huraikannya lagi !

Unknown said...

terima kasih atas komen IBorneo. memang benar selepas berakhirnya Dasar Penggiliran KM Sabah, senario itu telah berubah. persoalannya apakah perubahan itu kerana semata-mata terikat atas nama "KUASA" yg telah diagih-agihkan pada pemimpin-pemimpinnya?Bagaimana sentimen grassroots? barangkali saudara perlu beri penjelasan.terima kasih

1Pendidikan said...

Memang saya bercadang untuk memberi penjelasan mengenai perubahan sosio-ekonomi realiti Sabah khususnya untuk memberi makluman dan kalau dapat memberi kesederan kepada sesiapa yang berhasrat ingin seder atau insaf atas kesilapan yang sudah. Realiti sosio-politik semasa perlu diubah supaya selari dengan faktor pemboleh ubah yang dominan dan menjadi teras suara mejoriti akar umbi rumpun bumiputera. Insyaallah akan kami huraikan apabila sampai masan di laman blog 1Borneo !

Anonymous said...

Dah merapu dah ni..!macam dah takdak isu, Dah keing idea ke..?

JOH WID said...

Kalau takut ombak jgn berumah di tepi pantai. Kalau takut buaya jgn berumah di tepi sungai...
Kinabatangan, klias dan tempasuk? Mungkin di pantai timur agak berombak di musim tengkujuh..

Unknown said...

saudara MD yang tidak bernama, hari Ahad ini idea agak kering dan saja nak tulis santai untuk ingatan pemimpin politik yg seronok dgn kuasa yg ada. esok barulah kita tulis tentang yg lain bukan tentang sungai lagi.

paikankb said...

saya rasa macam ada fakta tertinggal atau mungkin tidak penting, saja ditinggalkan? YB Chong Kah Kiat(Kudat)pun sempat duduk kerusi empuk tu.....just remind...

paikankb said...

rasa macam tu lah kot... sedang mencari dahan yang kuat untuk berpaut dek hanyut derasnya "sungai" sabah. la ni pun dah le nampak dah masing-masing menyulam tali untuk menjadi kuat. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang tahu asal usulnya...

Unknown said...

Saudara Paikankb, kaum Cina tidak terlibat dalam perebutan kuasa tetapi mereka main peranan besar sebagai "King Maker" iaitu pengimbang kuasa. Oleh itu walaupun dua pemimpin Cina, Yong Teck Lee dan Chong Kah Kiat pernah jadi KM Sabah dalam sistem penggiliran, fakta itu tidak di masukkan. terima kasih atas komen saudara.

mohd azrone sarabatin said...

dalam sungai tenang ada buaya. dalam raut wajah orang yang baik ada hati yang rakus.

mohd azrone sarabatin said...

dalam sungai tenang ada buaya. dalam raut wajah orang baik ada dendam membara.

Unknown said...

Apapun , semangat politik kadazanDusun seakan dalam fasa baru yang berlainan dengan nuansa sebelumnya ..

Generasi baru KadazanDusun punya pandangan2 yang agak kritis , mungkin mereka belajar dan melihat suasana yang berlaku , atau mereka sekali lagi akan meluahkan perasaan yang terpendam ,

bersama kita nantikan dan saksikan senario politik Sabah seterusya , kemungkinan bukan sesuatu yang mustahil !