ARTIKEL BARU

SARAWAK JUGA FIXED DEPOSIT KEPADA BN


Foto: Najib bersedia menghadapi serangan di Sarawak

Dalam lawatan ke Sarawak kelmarin, Dato Seri Najib mengadakan pertemuan dengan rakyat dalam sebuah rumah panjang di Lubok Antu. Najib mengumumkan peruntukan RM75.13 juta untuk dilaksana segera. Ini termasuk kawasan Batang Ai yang dimenangi BN dalam pilihan raya kecil baru-baru ini. Batang Ai termasuk dalam kawasan Lubok Antu.

PM menegaskan BN akan menunaikan semua janjinya kepada rakyat dalam pilihan raya lalu termasuk janji dalam pilihanaya kecil Batang Ai. Seperti negeri Sabah, Sarawak kini mendapat perhatian serius daripada kerajaan Persekutuan untuk mendapat sokongan kepada BN. Maknanya bukan Sabah sahaja sebagai fixed deposit BN. Tambahan pula, pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan lebih awal pada 2011.

Apa juga keputusan pada pilihan raya itu akan menentukan masa depan BN bukan sahaja di negeri itu tetapi juga peringkat kerajaan Pusat.

Semalam berita TV3 siarkan juga lawatan Dato Najib ke Kampung Pichin, sebuah kampong orang Bidayuh di daerah Serian, Sarawak. Menurut Dato Najib lawatan itu amat bermakna kerana 43 tahun yang lalu, tahun 1966, ayahnya, Tun Razak sewaktu Timbalan Perdana Menteri pernah melawat kampong itu merasmikan skim bekalan air paip dan penyediaan tapak membina tiga rumah panjang.

Dalam majlis itu PM menyerahkan cek RM1.35 juta membina Pusat Budaya untuk penduduk kampong merayakan Hari Gawai dan lain-lain aktiviti rakyat. Najib yang dihadiahkan gambar bersejarah lawatan ayahnya juga berkata “lawatan ini sebagai menunjukkan perjuangan memajukan kampong ini adalah kesinambungan perjuangan daripada ayah kepada anak”.

0 Response to "SARAWAK JUGA FIXED DEPOSIT KEPADA BN"