ARTIKEL BARU

NAJIB DAN UMNO: BERUBAH ATAU REBAH?




Sambungan artikel “64 TAHUN UMNO: MASA DEPAN YANG SAMAR-SAMAR?”


Esok adalah hari lahir UMNO yang ke 64. Saya dijemput ke Majlis Menyambut ulang tahun UMNO di PWTC. Majlis dimulakan dengan sembahyang maghrib. Saya mohon maaf tidak dapat hadir kerana berada di Sabah. Saya panjangkan jemputan ini untuk kawan-kawan terutama rakan-rakan blogger dan aktivis politik yang berjuang mempertahankan kuasa politik Melayu/pribumi di negara ini.

Jika UMNO diibaratkan manusia yang bernyawa sudah tentu dalam usia 64 tahun, UMNO sudah amat matang dan berpengalaman. Dalam masa yang sama mengidapi bermacam-macam penyakit, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, semput, lemah syahwat, mata rabun dan sebagainya. Tetapi UMNO bukanlah manusia yang bernyawa, UMNO hanya sebuah parti politik.

Sebuah pertubuhan siasah yang begitu besar jasanya menyatukan bangsa Melayu menentang Malayan Union. UMNO adalah parti Melayu yang lahir dari keringat dan darah orang Melayu untuk membebaskan Melayu daripada belenggu penjajahan sehingga bangsa Melayu berkuasa di tanah air sendiri.

Pada tanggal 2 April 2009, Datuk Seri Mohd Najib mengambil-alih kepimpinan UMNO. Sejarah tercatat, anak seorang bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri telah diberi kepercayaan untuk memulih parti itu dan Barisan Nasional. Peranan sama yang dipertanggungjawabkan kepada ayahnya setelah Parti Perikatan hilang majority 2/3 pada pilihan raya umum 1969.

Misi Tun Razak berjaya. Barisan Nasional ditubuhkan menggantikan Perikatan dengan menjemput PAS dan Parti Gerakan disamping parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak menjadi anggota komponen BN. Negeri Kelantan dan Pulau Pinang yang jatuh ketangan pembangkang pada 1999, dapat diperintah BN dengan konsep perkongisan kuasa dalam BN.

Seperti Tun Razak, Najib mewarisi sebuah parti yang lemah. Kerajaan hilang majority 2/3. Barangkali pengalaman Najib dalam parti dan kerajaan sejak berusia 23 tahun memberi kelebihan kepadanya. Najib berbeza dengan Anwar Ibrahim kerana Najib menaiki hirarki parti secara perlahan-lahan tanpa memijak kepala sesiapa. Najib tidak pernah mencabar jawatan sesiapa dalam UMNO. Bermula sebagai Naib Pemuda, Ketua Pemuda, Naib Presiden dan seterusnya Timbalan Presiden UMNO.

Sepanjang perjalanan ini, Najib memperolehi banyak pengalaman bukan sahaja dalam soal pentadbiran negara tetapi juga pengalaman politik. Sebagai anak yang tidak digalakkan ayahnya menceburi politik, Najib kini diberi memikul tanggungjawab lebih “berat” daripada yang pernah diharunngi Tun Razak.

Pada 1974, Tun Razak tidak berdepan dengan pemimpin pembangkang yang hebat seperti Anwar Ibrahim! Pada ketika itu tiada tokoh politik Melayu yang berani dan licik seperti KETUA UMUM Pakatan Rakyat yang dihadapi Najib hari ini!

Cabaran besar Najib ialah membetulkan persepsi rakyat terutama orang Melayu terhadap UMNO. Imej UMNO harus dibersihkan daripada amalan rasuah dan politik wang. UMNO harus dilihat sebagai sebuah parti politik golongan marhaen bukan parti golongan orang kaya.

Dalam usaha membetulkan persepsi ini, Najib merombak system pemilihan parti dengan meminda perlembagaan UMNO. Kuasa memilih pemimpin diperingkat tertinggi parti diserahkan kepada anggota parti di peringkat akar umbi. UMNO menurut Najib mesti mendengar keluh kesah dan denyutan nadi rakyat.

Dengan pindaan ini juga, politik wang boleh dikurang atau terus dapat dihapuskan. Diharapkan dengan pindaan itu lebih ramai golongan remaja dan golongan cerdik pandai berminat menyertai dan menyokong perjuangan UMNO.

Sebelum ini pemimpin UMNO diperingkat bawahan dan pertengahan terlalu berkuasa menentukan siapa berhak atau tidak berhak menjadi ahli parti. Ada yang takut kuasanya terancam, tidak menerima penyertaan golongan cerdik pandai dan golongan muda sebagai anggota parti.

Selepas pindaan, menjadi anggota UMNO tidak perlu mendapat persetujuan Ketua Cawangan atau Ketua Bahagian. Sesiapa juga tidak berhak menghalang seseorang yang layak menjadi ahli untuk menyertai UMNO.



Bersambung…

0 Response to "NAJIB DAN UMNO: BERUBAH ATAU REBAH?"