ARTIKEL BARU

ISU TANAH UMNO: SALAH FAHAM ATAU SKANDAL?

Sewaktu merasmikan bangunan UMNO Sabah, Tun Mahathir secara berseloroh pernah bertanya "berapa tingkat milik UMNO?, berapa tingkat milik orang lain?"

Isu tanah UMNO Sabah merupakan isu yang telah sekian lama menjadi perbualan hangat di kalangan ahli-ahli UMNO di negeri itu. Malah satu laporan polis pernah dibuat Pengurus Besar Sahamurni Sdn Bhd, Encik Mohamad bin Datuk Seri Panglima Hj Ahmad Ayid pada 30 Ogos 2005 di IPD Kota Kinabalu.

Mohamad meminta pihak Polis menyiasat mengenai perjanjian yang dikatakan berat sebelah antara sebuah syarikat pemaju dan Sahamurni Sdn Bhd.

Apakah kedudukan sebenar atau status tanah seluas 5.8 ekar yang diberi kelulusan Jabatan Tanah Negeri Sabah kepada syarikat Sahamurni Sdn Bhd melalui MNR 109/7/209(64) dan LS 102.1.560/51? Apakah tanah tersebut masih milik UMNO Sabah?

Syarikat Sahamurni Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan Badan Perhubungan UMNO Sabah pada tahun 1995 sewaktu Tun Sakaran Dandai memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO dan Ketua Menteri Sabah. 

Syarikat Sahamurni dipertanggungjawabkan mendapatkan sebidang tanah untuk pembinaan ibu pejabat bangunan UMNO  Sabah.  Pengerusi Lembaga Amanah yang dilantik ialah  Datuk Dr Hj Yusof Yacob. Ahli-ahli Lembaga  Pemegang Amanah  Datuk Masidi Manjun, Datuk Hussein Wahid Dally dan Datuk Uzair Yahya. Manakala Encik Mohamad dilantik sebagai Pengurus Besar.

Semua Ahli Lembaga Pemegang Amanah ini secara berasingan telah menandatangani perjanjian amanah atau "Trust Deed" dengan Badan Perhubungan UMNO Sabah pada bulan Ogos 1998. Perjanjian itu menegaskan  mereka adalah sebagai "trustee" dan Badan Perhubungan UMNO Sabah sebagai "The Beneficiary".

Badan Perhubungan UMNO Sabah membenarkan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Sahamurni Sdn Bhd memegang (hold) tanah seluas 5.8 ekar terletak di kawasan Sembulan Kota Kinabalu bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Sabah. Kawasan tanah tersebut dianggap sebagai kawasan "prime land" bersebelahan dengan KK Times Square.

Usaha membina bangunan UMNO Sabah di kawasan tanah yang telah diluluskan kerajaan kepada Sahamurni Sdn Bhd bagaimanapun telah tidak diteruskan. Pada tahun 2003, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang baru, Datuk Seri Hj Musa Aman telah membentuk Jawatan Kuasa baru membina bangunan UMNO Sabah yang dipengerusikan Setiausaha UMNO Negeri, Datuk Yahaya Hussin.

Satu kawasan baru iaitu tanah milik seorang individu seluas 3 ekar telah dikenal pasti untuk mendirikan bangunan  UMNO Sabah. Bangunan itu telah pun siap dan berdiri dengan megah bersebelahan dengan bangunan Bank Simpanan Nasional.

Persoalan pula ditimbulkan, apakah tanah seluas 3 ekar itu didermakan individu berkenaan kepada UMNO? Atau telah berlaku "land swap" tanah seluas 3 ekar dengan tanah UMNO seluas 5.8 ekar? Persoalan ini masih menjadi tanda tanya kepada semua ahli UMNO sehingga hari ini.

Pada 2 hb November 2004 sebuah syarikat pemaju, RIVERSON CORPORATION SDN BHD telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Sahamurni Sdn Bhd untuk membina bangunan commercial ditanah seluas 5.8 ekar milik Sahamurni Sdn Bhd.

Antara lain kandungan perjanjian itu,  Sahamurni Sdn Bhd akan diberi dua blok 'intermediate shop/offce building' bernilai RM3.676 juta. Disamping itu syarikat pemaju akan membayar baki premium tanah kepada kerajaan Sabah bernilai RM1.6 juta.

Walaubagaimanapun setelah merujuk perjanjian ini kepada seorang peguam, katanya  perjanjian yang telah ditandatangni syarikat Sahamurni Sdn Bhd dengan syarikat pemaju telah terbatal kerana  syarat tempuh 54 bulan bermula perjanjian ditandatangani (November 2004) telah tidak dipenuhi. Sehingga hari ini telah masuk 72 bulan, masih  belum ada sebarang pembinaan dilakukan di kawasan tanah berkenaan.

Isu tanah UMNO ini berbangkit semula berikutan cadangan beberapa ahli UMNO Sabah yang menyatakan hasrat mereka untuk membawa kes ini ke mahkamah untuk mengetahui status sebenar tanah UMNO tersebut.

Sebagai ahli UMNO, mereka mendakwa mempunyai hak dan  'locus standi' sebagai plaintiff untuk mendakwa syarikat Sahamurni Sdn Bhd dan juga Badan Perhubungan UMNO Sabah jika terdapat sebarang unsur penyelewangan, pecah amanah atau salah guna kuasa.

   

0 Response to "ISU TANAH UMNO: SALAH FAHAM ATAU SKANDAL?"