ARTIKEL BARU

ANWAR MASIH DIBAYANGI UMNO


Tulisan ini adalah sambungan daripada bahagian pertama  KENAPA ANWAR GAGAL? (Dipetik daripada www.freemalaysiatoday.com)

Rumusannya pada PRU 1969, 1999 dan 2008, parti-parti pembangkang menyertai pilihan raya tanpa seorang general yang hebat tetapi masih mampu menggugat kerajaan Barisan Nasional. Berbeza dengan PRU 2013, parti-parti pembangkang telah berpengalaman dan cukup bersedia serta mempunyai seorang general perang yang berpengalaman dan dianggap sebagai ikon kepada perjuangan reformasi..

Tetapi masih gagal. Persoalan besarnya kenapa?

Jika soalan itu ditanya kepada pemimpin PR, rata-rata jawapan yang diberikan - proses pilihan raya tidak telus. Keputusan BN menang telah ditetapkan. Suruhan Jaya Pilihan Raya atau SPR menipu!. Itulah jawapan dan alasan yang paling mudah. Jawapan yang tidak memerlukan satu post mortem mengkaji dimana kelemahan dan kesilapan parti pembangkang. Tanpa disedari, dengan memberi alasan seperti itu, kesan negatif bukan kepada pemerintah tetapi kepada parti pembangkang. Alasan bahawa SPR menipu hakikatnya adalah senjata yang memakan tuan.

Seminggu selepas pilihan raya, penulis bertemu dengan seorang aktivis muda yang menyokong DAP. Pertemuan itu berlaku disebuah kedai gunting rambut di Luyang, KK, Sabah. Kawasan Luyang termasuk dalam DUN dan parlimen yang dimenangi DAP. Anak muda itu menceritakan bagaimana mereka sanggup balik ke Sabah dengan perbelanjaan sendiri dan menggunakan wang ringgit serta kepakaran mereka untuk membantu menangkan PR khususnya DAP.

"Ada yang datang dari Australia, Canada, Hongkong dan Amerika. Kita betul-betul buat kerja dan banyak pakai wang sendiri"

"Kita orang muda sokong PR kerana mahu negara Malaysia baru yang lebih adil pada semua bangsa. Tapi bila sudah kalah Anwar cakap, SPR tipu! Kalau tipu, apa guna balik Sabah? Apa guna buang duit? Next time, kita diam-diam. Tak payah balik Sabah. Apa guna? Kalau SPR tipu, bagus sokong BN la. Sama-sama cari makan"

Apakah anak-anak muda yang mendokong reformasi telah putus asa? Barangkali tidak. PR masih mendapat sokongan di kawasan bandar dan pinggir bandar. Masih ramai di luar sana inginkan satu gerakan perubahan yang menyeluruh yang boleh memberi "new deal" yang lebih baik kepada golongan muda. Persoalannya, Apakah Anwar Ibrahim masih boleh menjanjikan kejayaan terhadap gerakan reformasi setelah beliau gagal pada PRU lalu?

Apa kurangnya Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah menentang Umno dan BN? Seperti Anwar Ibrahim, Ku Li juga menjadi mangsa politik Tun Mahathir. Mungkin tidak dipenjarakan, tetapi Ku Li masih mendapat simpati dari orang Melayu kerana teraniaya seperti Anwar. Ku Li dipinggirkan UMNO Baru setelah Umno diharamkan. Ku Li dikatakan menang pada pemilihan 1987 tetapi tidak menjadi presiden Umno kerana permainan politik kotor Tun Mahathir.

Ku Li menubuhkan Semangat 46 dan berjaya menggabungkan parti pembangkang PAS dan DAP dalam APU. Ternyata APU mendapat sokongan daripada semua kaum. Malah kelebihan kepada Ku Li berbanding Anwar Ibrahim, ialah partinya mendapat sokongan daripada parti PBS yang memerintah negeri Sabah pada ketika itu. Tetapi Ku Li gagal menumbangkan BN.

Faktor utama kegagalan Tengku Razaleigh Hamzah ialah kegagalan beliau dan partinya menarik minat golongan muda dan pengundi baru untuk sama-sama menentang BN. Ku Li masih berpolitik dalam ruang lingkup Umno. Memilih pemimpin-pemimpin daripada Umno bukan orang-orang baru yang mendokong perubahan. Dalam pemilihan calon-calon, orang-orang yang sama dipilih.

Sungguhpun Anwar Ibrahim lebih popular tetapi dia mengulangi kesilapan besar Tengku Razaleigh.  Anwar lebih mendapat sokongan padu daripada golongan muda. Pakej yang dijanjikan kepada orang muda amat menarik seperti mansuh PTPTN dan sebagainya. Secara keseluruhan populariti Anwar kepada pengundi baru dan "silent majority" lebih bagus berbanding Ku Li. Tetapi bila tiba masa yang amat penting, seperti Ku Li, Anwar Ibrahim terus dibayangi Umno dan bertindak dan membuat keputusan seperti seorang pemimpin Umno.

Ramai anak-anak muda sanggup kehilangan peluang dan hilang jawatan/pekerjaan kerana menyokong perjuangan Anwar Ibrahim sejak beliau dipecat pada 1998. Ada juga yang menyertai gerakan reformasi semata-mata kerana sentimen terlalu benci dengan Umno dan Barisan Nasional. Pemikiran mereka telah diindoktrinasikan bahawa kerajaan UMNO-BN adalah kerajaan yang korup dan tidak amanah. Negara akan menjadi muflis jika UMNO terus memerintah.

Tetapi bila tiba masa yang amat penting, untuk mendapatkan mandat daripada rakyat, Anwar Ibrahim tidak dapat lari daripada tuntutan perubahan yang sebenarnya. Beliau masih percaya dan yakin pemimpin-pemimpin dari Umno yang dikenalinya daripada kalangan anak-anak muda dan rakyat biasa yang telah berjuang mempertahan beliau selama ini. Dalam pemilihan calon-calon pilihan raya, bekas pemimpin Umno atau BN yang baru menyertai PKR beberapa bulan akan dipilih sebagai calon.

"Bagaimana kita buat reformasi, jika pemimpin penyamun dari UMNO yang telah berusia lebih 74 tahun masih dipilih sebagai calon PKR? Baru pula tak sampai dua tiga bulan sertai kita. Kalau pemimpin yang badannya berkurap, kudis dan penuh calar  kita  jadikan calon PKR, hancurlah reformasi!?" Begitulah ayat seorang anak muda kepada penulis.

Kesimpulan yang boleh dibuat  Anwar Ibrahim gagal memahami sentimen dan aspirasi golongan muda yang menuntut perubahan. Anwar seharusnya keluar terus daripada bayang-bayang UMNO dan serahkan perjuangan parti itu kepada golongan muda yang tidak pernah menjadi ahli atau menyertai UMNO. Sudah tiba masanya, pemimpin muda seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah diberi peranan yang lebih penting dalam memilih bakal-bakal pemimpin akan datang.

0 Response to "ANWAR MASIH DIBAYANGI UMNO "