ARTIKEL BARU

KENAPA ANWAR GAGAL?


Kenapa Anwar gagal? 

September 5, 2013
Pada PRU 1999, parti pembangkang mendapat undi simpati dari kalangan pengundi Melayu setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dimasukkan dalam penjara.
oleh Musli Oli (DIPETIK DARI www.freemalaysiatoday.com
Ada tiga insiden pilihan raya umum (PRU) dalam negara ini, di mana parti pemerintah hampir tewas kepada parti pembangkang. Pertama, pada PRU 1969, Parti Perikatan yang memerintah gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Pulau Pinang ditawan parti pembangkang Gerakan dan Kelantan kembali kepada PAS.
Berdasarkan keputusan PRU 1969, dua buah negeri, Selangor dan Perak nyaris ditawan parti pembangkang. Negeri Perak hanya diperintah Parti Perikatan setelah dua wakil rakyat PPP mengalih sokongan kepada parti itu.
Pilihan raya kali kedua ialah pada tahun 1999. Pada PRU 1999, parti pembangkang mendapat undi simpati dari kalangan pengundi Melayu setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dimasukkan dalam penjara.
Kesannya, beberapa pemimpin kanan UMNO gagal mempertahan kerusi kerana ‘swing’ sokongan Melayu kepada PAS dan PKR. Kedah, Selangor dan Perak adalah antara negeri-negeri yang nyaris-nyaris ditawan parti pembangkang. Kelantan kekal di tangan PAS manakala BN kehilangan Terengganu.
Pada PRU 1999, Parti DAP gagal menarik sokongan yang signifikan daripada pengundi Cina dan kaum bukan Melayu yang lain. Kaum Cina pada ketika itu masih menaruh keyakinan kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah berjaya menangani krisis mata wang yang melanda Asia pada 1998. Tun Mahathir pernah berkata, “Orang Melayu mengundi pembangkang mengikut emosi, kerana isu ‘mata hitam’, tapi orang Cina terus mengundi BN, kerana isu ‘mata wang’ ”.
Pilihan raya kali ketiga ialah pada PRU 2008. Tsunami politik melanda BN tanpa diduga. BN sekali lagi hilang majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Lima buah negeri jatuh kepada parti pembangkang. Jika kemenangan besar BN pada PRU 2004 dikatakan kerana ‘aura’ Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun), persembahan yang teruk pada PRU 2008 diletakkan bulat-bulat sebagai ke’lembik’an Pak Lah!
Ramai yang terpinga-pinga mencari jawapan sebenar kenapa parti pembangkang boleh memperolehi 82 kerusi parlimen. Sehingga hari ini masih ramai tidak tahu sebab sebenar kenapa rakyat Malaysia tiba-tiba bangkit mahukan perubahan pada 2008. Apakah kerana faktor Anwar Ibrahim yang telah dibebaskan beberapa bulan sebelum PRU 2008?
Kesimpulan
UMNO membuat kesimpulan yang mudah dengan mendesak Pak Lah berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Analisis tiga pilihanraya umum – tahun 1969, 1999, dan tahun 2008 amat menarik kerana fakta-fakta berikut. Pertama, dalam tiga PRU itu, sokongan rakyat kepada parti pembangkang meningkat tanpa dikepalai seorang pemimpin pembangkang yang dianggap berpengaruh atau popular seperti Anwar Ibrahim.
Walaupun Lim Kit Siang dari DAP, yang pernah jadi Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat seorang yang berpengaruh, namun ia terbatas kepada kaum Cina dan bukan Melayu. Begitu juga dengan Datuk Asri Muda, Ustaz Fadzil Noor, Tok Guru Hadi Awang dan pemimpin PAS yang lain seperti Tok Guru Nik Aziz. Pengaruh dan kepimpinan mereka agak terbatas kepada orang Melayu dan Bumiputera yang beragama Islam.
Pada PRU 1999, Anwar Ibrahim dalam tahanan. Parti Keadilan pada ketika itu dipimpin isterinya, Datin Seri Wan Azizah. Pada PRU 2008, Anwar Ibrahim belum layak bertanding mengikut peraturan pilihan raya umum. Hakikatnya, rakyat yang menyokong dan mengundi parti pembangkang tidak tahu siapa bakal Perdana Menteri mereka.
Karisma
Persoalan ini menjadi semakin menarik setelah Anwar Ibrahim layak menyertai pilihan raya dan menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh serta dilantik sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat. Amat jelas, Anwar adalah “PM in waiting”. Pembangkang di bawah Anwar Ibrahim semakin kuat. Pembangkang menang 8 daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan sejak PRU 2008.
Dengan kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang dan ketua umum kepada Pakatan Rakyat, parti pembangkang telah bersedia menjadi kerajaan alternatif dengan menjanjikan berbagai-bagai pakej yang menarik kepada mereka.
Dengan karisma, pengaruh dan kehebatan pidato Anwar, parti pembangkang memasuki gelanggang PRU 13 dengan penuh keyakinan. Ditambah pula dengan berbagai isu dan masalah dalaman parti pemertintah seperti isu NFC yang didedahkan kepada umum serta faktor-faktor lain yang ketara memihak kepada parti pembangkang, ramai pemerhati politik dalam dan luar negara menjangkakan satu keputusan PRU yang akan memihak kepada Anwar Ibrahim.
Sepatutnya PRU 2013 adalah kemuncak kepada PRU 1969, PRU 1999 dan PRU 2008. Tetapi kenapa Anwar gagal?
Sungguhpun kerusi pembangkang dalam Dewan Rakyat bertambah daripada 82 kepada 89, tetapi sokongan orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO-BN meningkat. Ironisnya, sokongan kepada PKR yang telah diketuai Anwar Ibrahim telah merosot. Pada PRU 2008, PKR menang 31 kerusi, ia telah berkurangan kepada 30 pada PRU 2013.
Di mana silapnya? Ikuti jawapan dalam rencana berikutnya.

0 Response to "KENAPA ANWAR GAGAL?"