ARTIKEL BARU

REFERENDUM SABAH TUNTUT MERDEKA?


Tun Mustapha - pemimpin yang bersetuju sertai Malaysia tanpa syarat kerana bangsa dan agama

Terdapat beberapa kumpulan NGO di Sabah begitu aktif mendapatkan tandatangan orang ramai untuk dijadikan petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menuntut negeri Sabah memerintah sendiri atau self determination. Petisyen tersebut tidak ubah seperti satu referendum yang menentukan samada Sabah kekal dalam Persekutuan atau keluar dari Malaysia. Hari ini di Pasar Terbuka Gaya Street Kota Kinabalu, saya perhatikan kempen itu mendapat sambutan agak hangat daripada orang ramai. Walaupun kebanyakannya lebih ingin tahu daripada menyokong petisyen tersebut.

Dalam masa yang sama terdapat satu kumpulan lain yang terdiri daripada golongan profesional yang memperjuangkan royalti minyak yang kerap menganjurkan seminar dan ceramah mengenai isu royalti dan Petronas. Saya juga pernah hadir dalam salah satu seminar mengenai minyak. Tuntutan mereka bukan 20% seperti resolusi yang diluluskan DUN Sarawak atau seperti dalam manifesto Pakatan Rakyat tetapi  hak sepenuhnya atau 100% pemilikan royalti kepada negeri. Kumpulan ini mendakwa Perjanjian Minyak antara Petronas dan Kerajaan Sabah adalah tidak sah kerana perjanjian itu bercanggah dengan beberapa ordinan dan akta negeri yang melindungi hak-hak hasil bumi negeri termasuk ordinan tanah.

Pada hemat saya, menuntut 100% hak royalti untuk negeri bermakna menolak konsep perkongsian dalam Persekutuan. Sudah tentu untuk mencapai 100% royalti minyak kepada negeri bermakna negeri itu hendaklah  keluar daripada Persekutuan.

Yang paling menonjol ialah kemunculan sebuah NGO yang menamakan dirinya SSKM atau Sabah Sarawak Keluar Malaysia yang aktif menanam bibit kebencian terhadap kerajaan Persekutuan, pemimpin-pemimpin Pusat, bangsa  dan agama tertentu disamping serangan terhadap parti pemerintah. Setakat ini gerakan-gerakan ini seperti tidak mendapat perhatian daripada pihak berkuasa, walaupun sebenarnya gerakan seperti ini boleh mengugat kedaulatan negara.

Saya juga aktif memperjuangkan isu-isu mengenai hak Sabah. Dan saya tidak pernah bertolak ansur dengan sebarang penganiayaan terhadap hak Sabah. Namun saya perjuangkan isu Sabah dalam konteks Malaysia. Saya rangkumkan falsafah itu dalam mukadimmah  buku terbaru, DILEMA SABAH;

"Buku ini ditulis dalam ruang lingkup dan kerangka Persekutuan Malaysia. Satu perbincangan berdasarkan penyelidikan dan pandangan pelbagai pihak. Penulis tidak ada agenda politik... Harapan penulis buku ini akan dibaca seterusnya dibincangkan untuk mencari jawapan dan penyelesaian untuk membantu penduduk dan negeri Sabah seterusnya mengukuhkan kedudukan Persekutuan dan gabungan kerjasama dan persefahaman yang telah terbina selama 51 tahun.


Buku ini tidak berhasrat membangkit semangat penduduk Sabah untuk memberontak dan menuntut untuk memerintah sendiri. Tidak sekali-kali berhasrat mengajak rakyat Sabah keluar dari Persekutuan... Buku ini lebih kepada memberi ingatan kepada kerajaan Pusat mengenai tanggungjawab yang telah terabai; tentang syarat-syarat yang telah tidak dipatuhi sehingga melemahkan semangat kerjasama yang sepatutnya semakin kukuh setelah Malaysia semakin matang" (m.s 47)


Begitulah prinsip saya. Ia amat jelas dan konsisten. Saya bangga menjadi anak Malaysia yang lahir di bumi Sabah. Atas alasan itu saya dan beberapa orang aktivis sosial dan politik yang mewakili pelbagai parti politik termasuk dari PKR, Umno, USNO dan PAS telah menubuhkan satu NGO yang akan mempertahan Malaysia dan bumi Sabah kekal dalam Persekutuan tetapi dalam masa yang sama terus lantang memperjuangkan isu-isu kepentingan negeri.

Pertubuhan itu dikenali sebagai Solidarity Masyarakat Sabah atau singkatannya SMS akan menjalankan kempen-kempen kesedaran menolak gerakan membawa Sabah keluar daripada Persekutuan. Sempena hari merdeka pada 31 Ogos  sehingga hari Malaysia pada 16 September, SMS akan menganjurkan seminar dan program-program lain seperti dialog dengan bloggers dan rakyat biasa untuk menjelaskan matlamat perjuangan SMS dan kenapa perlu kita menentang gerakan membawa Sabah keluar Malaysia.

1 Response to "REFERENDUM SABAH TUNTUT MERDEKA? "

Anonymous said...

assalam pkcik..lma nda jmpa..sya trtarik bca post ini..sya trtanya bgmana prtubuhn yg terang2 boleh menggugat kemakmuran malaysia spt SSKM mndpt klulusan drpd JPPM..dan andainya tdk mndpt klulusan pndftrn drpd JPPM, mgapa dibiarkan bgitu shja? atau adakah agenda trsmbnyi phak2 trtntu sebalik sikap lpas tngn JPPM?