ARTIKEL BARU

KERJASAMA UMNO-PAS MENGUNDANG NAHAS?


Tuan Guru Haji Hadi Awang

Amalan biasa dalam sistem demokrasi, parti pembangkang menegur dan mengkritik dasar kerajaan. Tidak pernah sebuah parti pembangkang menawar diri menjadi penasihat kepada kerajaan yang sedang memerintah. Kecuali parti pembangkang itu telah menyertai kerajaan campuran atau telah ada persefahaman untuk berkerjasama dalam pilihan raya umum.

Tawaran Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Haji Hadi Awang untuk partinya menjadi penasihat kepada kerajaan BN barangkali menimbul spekulasi bahawa telah ujud persefahaman dengan pucuk pimpinan kerajaan BN yang ditunjangi Umno untuk menghadapi PRU akan datang. Sebelum itu, begitu ketara sokongan terbuka Hj Hadi dan Ketua Dewan Ulamak kepada Dato Seri Najib Tun Razak dalam beberapa isu seperti 1MDB.

Datuk Husam Musa baru-baru ini juga telah membongkar usaha Presiden PAS memujuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari PAS untuk berkerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan baru diketuai Umno di Selangor selepas PRU Mac tahun 2015. Sehingga tulisan ini, Presiden PAS belum membuat sebarang kenyataan penafian.

Pihak yang pro kerjasama Umno-PAS menganggap ia langkah terbaik menyatukan orang Melayu. Perpecahan sokongan pengundi Melayu dianggap punca utama kelemahan kerajaan pimpinan Melayu sejak PRU 2008 dimana BN semakin lemah dan kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Sungguhpun terdapat pertambahan kerusi parlimen yang diwakili Umno pada PRU 2013, namun jumlah kerusi BN secara keseluruhan telah merosot daripada 140 kepada 133 kerusi. Itulah yang menjadi persoalan sekarang,  sejauhmana kerjasama PAS dan Umno akan menambah kerusi BN jika kedua parti Melayu itu mengambil air dari telaga yang sama?

Kekuatan PAS sejak 2008 banyak dipengaruhi barisan pimpinan progresif  yang telah berjaya menarik sokongan golongan muda dan bukan Melayu dengan slogan 'PAS For All'. Tetapi dengan tersingkirnya golongan tersebut dari PAS, dan tertubuhnya Pakatan Harapan, masih mampukah parti itu mendapat sokongan golongan muda dan bukan Melayu?

Satu hakikat yang harus diterima, PAS telah kembali kepada falsafah asal, menjadi parti golongan Ulamak. Isu Hudud yang dianggap taboo dalam menjaga hubungan dan kerjasama dengan DAP telah diluluskan di Kelantan. PAS telah keluar daripada Pakatan Rakyat berikutan sengketa dengan DAP.

Sungguhpun PAS mendakwa parti itu boleh berjuang bersendirian, namun kerjasama dengan Umno tidak dapat diselindung lagi setelah usul Hudud diluluskan DUN Kelantan mendapat sokongan padu daripada wakil-wakil rakyat Umno. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak 1974.

Hujah yang menyokong kerjasama  Umno-PAS terlepas pandang satu fakta mustahak. Selain faktor sokongan pengundi Melayu,  BN juga memerlukan sokongan bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak untuk mendapat kemenangan. Hakikatnya kerusi-kerusi yang dimenangi BN dari kedua negeri Borneo itu lah yang selamatkan Umno dan BN dalam dua PRU lalu.

Kerjasama Umno-PAS sudah tentu bertujuan memperkukuhkan kerajaan Melayu dalam BN yang telah kehilangan sokongan dari pengundi Cina dan India di Semenanjung Malaysia pada 2008 dan 2013. Mungkin BN boleh menawan beberapa kerusi majoriti Melayu di Kelantan, Kedah, dan Terengganu. Tetapi harus ditanya, berapa banyakkah kerusi dari Sabah dan Sarawak bakal hilang dan ditawan parti pembangkang akibat hilangnya kepercayaan kepada pucuk pimpinan Umno kerana kerjasama Umno-PAS?

Kerjasama dua parti Melayu itu dilihat  bukan sahaja sebagai langkah memperkukuhkan kedudukan politik Melayu tetapi juga memperkuat kedudukan Islam dan mungkin tertanam dalam otak masyarakat bukan Islam, hukum Hudud bakal menjadi  teras undang-undang baru menggantikan perlembagaan sekular yang dipersetujui bersama semasa perundingan pembentukan Malaysia.

Mungkinkah Sabah dan Sarawak boleh menjadi 'third force' yang bakal menentukan parti yang memerintah di peringkat Persekutuan selepas PRU akan datang?

Fikir-fikirkan lah....




1 Response to "KERJASAMA UMNO-PAS MENGUNDANG NAHAS?"

Anonymous said...

Dalam politik masyarakat islam Malaysia khususnya di luar bandar, ada dua khurafat yang sangat besar yang membantutkan pemikiran politik umat islam/melayu dalam negara kita....
Khurafat 1 - Kepercayaan bahawa hanya UMNO/BN yang layak dan mampu memerintah Malaysia.

Khurafat 2 - Kepercayaan bahawa hanya PAS yang memperjuangkan islam. Orang Islam yang tidak bersama dengan PAS adalah sesat dan rosak pegangan islam.