Saya bersetuju, YB Nurul Izzah bertindak bodoh berselfie dengan anak Sultan Kiram. Tindakan yang telah mengundang kemarahan rakyat Sabah. Namun saya menganggap tindakan mengaut publisiti atau menangguk di air keruh diatas kebodohan Nurul merupakan satu perbuatan yang lebih bodoh dan tidak bertanggungjawab!
Mempolitikkan isu keselamatan penduduk Sabah merupakan satu keputusan politik yang paling tidak cerdik dan tidak bertanggungjawab. Apakah isu keselamatan Sabah sekadar umpan untuk meraih simpati dan sokongan kepada pemerintah?
Persoalan pokoknya, sejauhmana penglibatan Nurul Izzah dan parti PKR yang diwakilinya dalam kes serangan pengganas Sulu keatas Tonduo di Lahad Datu sehingga keputusan bodohnya menerima jemputan ke Manila menjadi isu yang begitu besar yang dianggap mengancam keselamatan negara?
Mari kita lihat latarbelakang isu Kesultanan Sulu. Keluarga Sultan Kiram memang telah lama menuntut Sabah sebagai wilayahnya berdasarkan perjanjian dengan North Borneo Trading Company. Tetapi Sultan Kiram tidak pernah menggunakan kekerasan dalam tuntutan mereka. Hubungan dengan Sabah bergitu baik. Malah kerajaan Malaysia melalui kerajaan negeri masih membayar wang pajakan kepada keluarga Kiram berdasarkan perjanjian pajakan yang tiada tempuh tamatnya.
Semasa pemerintahan kerajaan USNO dan BERJAYA, kerajaan Sabah menyediakan rumah kepada wakil Sultan Kiram di Kota Kinabalu. Pada mulanya sebuah rumah bungalow di sewa kerajaan negeri di Sembulan, selepas itu berpindah ke sebuah bungalow tepi sungai di Teluk Likas. Sungguhpun begitu, kerajaan Sabah tidak pernah mengiktiraf kedudukan Sultan Sulu sebagai pewaris negeri Sabah.
Begitu juga dengan Manila. Sejak penjajah Sepanyol, Amerika dan kerajaan Kristian hari ini, negara itu tidak pernah mengiktiraf kesultanan Sulu sebagai institusi kesultanan yang sah. Namun Manila menghormati kedudukannya sebagai sultan dalam konteks sejarah Filipina. Kerajaan Manila juga menyediakan kediaman rasmi kepada wakil Sultan Sulu walaupun sekadar rumah teres di kawasan 'slump' di pinggir Manila.
Sejak 1899, penduduk Islam di Selatan Filipina yang mengiktiraf kedudukan sultan sebagai penaung Islam telah memerangi Manila. Dianggarkan lebih 200,000 terkorban menuntut kedaulatan mereka. Manila tidak mengiktiraf Kesultanan Sulu kerana mengiktirafnya seperti mengiktiraf Islam sebagai kuasa tertinggi di Filipina.
Namun Manila masih kekalkan kedudukan Sultan Sulu sebagai 'sultan sejarah' kerana peranan yang penting dalam percaturan politiknya berhubung dengan tuntutan keatas Sabah. Sultan Kiram adalah 'pawn' yang penting dalam hubungannya dengan Kuala Lumpur.
Hakikatnya, Sultan Sulu sekadar batang tubuh sahaja. Tiada kekuatan dan tidak ada tentera. Yang ada kekuatan tentera adalah kumpulan pemisah MNLF yang ditubuhkan Nur Misuari pada 1969. Pertubuhan MNLF diiktiraf statusnya oleh kerajaan Malaysia dan OIC sejak 1977. Pada 1996, MNLF telah menandatangani perjanjian damai dengan Manila untuk mengujudkan wilayah autonomi ARMM atau Autonomous Region Of Muslim Mindanao dan Misuari dilantik sebagai Gabenor Mindanao.
Dalam perjnajian damai itu tidak pun disebut memulihkan kedudukan Sultan Sulu atau memberi sebarang status kepadanya. Pihak berkuasa tertinggi adalah Gabenor. Bagaimanapun ARMM tidak menjadi kenyataan. Pada 2001 Misuari ditangkap di Sabah ketika cuba melarikan diri setelah percubaan untuk menyerang Manila gagal. Gerila MNLF yang setia kepada Misuari telah menyerang pengkalan tentera Filipina di Jolo yang mengorbankan 100 orang dan ramai lagi cedera.
Sebuah pertubuhan baru, Moro Islamic Liberation Front atau MILF mengambil-alih peranan MNLF. Pada March 2014, Malaysia menjadi Orang Tengah merunding perdamaian untuk mengujudkan wilayah "BangsaMoro" menggantikan ARMM. Ini bermakna Malaysia telah mengiktiraf kedua-dua MNLF dan MILF dalam usaha mereka mengujudkan wilayah autonomi di Mindanao.
Sekadar mengingatkan sekali lagi, Sultan Sulu tidak pernah menggunakan kekerasan dalam tuntutannya keatas Sabah kerana Kesultanan Sulu sebuah institusi yang tidak diiktiraf dan tiada tentera untuk berbuat demikian. Semasa serangan keatas Tonduo, Lahad Datu, kebanyakan pengganas yang terbunuh adalah dikalangan kumpulan 'lost commando' iaitu golongan bekas militari daripada MNLF dan MILF dan kumpulan BIFM atau BangsaMoro Islamic Freedom Movement yang membebaskan diri untuk melakukan kegiatan penculikan dan perompakan yang begitu lumayan.
Persoalannya sekarang, siapa boleh tamatkan konflik di Selatan Filipina yang turut membabitkan Sabah? Jawapannya tentu sekali Manila dan Kuala Lumpur. Persoalannya lagi, kenapa konflik itu dibiar berlarutan.
Semua tahu, Malaysia bersimpati dengan perjuangan bangsa Moro di Selatan Filipina sepertimana Malaysia bersimpati dengan perjuangan Patani di Selatan Thailand. Namun pejuang Pattani tidak menuntut sebarang wilayah dalam Malaysia berbanding dengan perjuangan Moro yang kebanyakan bangsa Sulu@Tausug yang masih anggap Sabah sebagai wilayah mereka.
Siapa lebih merbahaya kepada keselamatan penduduk Sabah. Tuntutan Kiram yang tidak sah atau serangan pengganas yang kerajaan Malasyia bersimpati dengan perjuangan mereka?
Fikir-fikirkanlah
Semua tahu, Malaysia bersimpati dengan perjuangan bangsa Moro di Selatan Filipina sepertimana Malaysia bersimpati dengan perjuangan Patani di Selatan Thailand. Namun pejuang Pattani tidak menuntut sebarang wilayah dalam Malaysia berbanding dengan perjuangan Moro yang kebanyakan bangsa Sulu@Tausug yang masih anggap Sabah sebagai wilayah mereka.
Siapa lebih merbahaya kepada keselamatan penduduk Sabah. Tuntutan Kiram yang tidak sah atau serangan pengganas yang kerajaan Malasyia bersimpati dengan perjuangan mereka?
Fikir-fikirkanlah
0 Response to "SABAH DAN SULTAN KIRAM SEKADAR 'PAWN' DALAM PERCATURAN POLITIK KUALA LUMPUR - MANILA"
Post a Comment