ARTIKEL BARU

POLITIK KADAZAN: BIJAK DAHULU, BIJAK SEKARANG

Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak berkata bahawa negeri Sabah merupakan contoh terbaik konsep “1Malaysia”. Rakyat Sabah yang terdiri daripada 45 etnik dan sub-etnik saling menghormati dan hidup rukun damai. Beliau mengambil contoh kaum KadazanDusun di Sabah yang menganggotai parti UMNO. Katanya sungguhpun kaum itu mengekalkan pakaian tradisi namun mereka juga memakai “Baju Melayu”dalam majlis-majlis tertentu.

(Gambar: Pesta Menuai-Kadazan boleh menuai di semua parti politik tapi kaum lain tak boleh menuai dalam parti politik Kadazan)

Ayat atau istilah “tukar baju” kalau di Sabah kerap dirujuk semasa pilihan raya umum yang bermaksud menukar kerajaan yang memerintah. Dan di Sabah hanya Kaum Kadazandusun sahaja yang pernah menukar kerajaan yang memerintah. Pertama pada tahun 1975 apabila kaum Kadazandusun meninggalkan parti USNO dan menyokong parti BERJAYA yang baru ditubuhkan. Sekali lagi pada tahun 1985 setelah parti baru PBS yang baru ditubuhkan mendapat sokongan penuh kaum Kadazandusun.

Barangkali bukan itu yang dimaksudkan Dato Seri Najib. Perdana Menteri itu barangkali mengingatkan kita bahawa kaum Kadazandusun adalah penyokong setia parti UMNO dan pendokong setia kepada kerajaan BN yang memerintah.

Kaum Kadazandusun merupakan kaum bumiputra yang terbesar di Sabah, terdiri daripada 92 sub- etnik. Diikuti bumiputra Bajau 10 sub-etnik, bumiputra Murut 29 sub-etnik, bumiputra Melayu Brunei, bumiputra Rungus 4 sub-etnik, bumiputra Bisaya, Bumiputra Idahan 7 sub-etnik dan lain-lain suku kaum bumiputra yang lain.

Bangsa Bugis dan Jawa tidak termasuk dalam kategori anak pribumi Sabah walaupun mempunyai jumlah yang signifikian serta berpengaruh dalam politik dan ekonomi negeri Sabah.

Mengikut statistik terbaru, Disember 2008, daripada 1.48 juta penduduk pribumi negeri Sabah jumlah kumpulan etnik Kadazandusun 551,300 orang. Diikuti Bajau 423,100 dan Murut 104,330 (rujuk m.s 175, Konspirasi Politik Melayu, Musli Oli, Feb 2009)

Bumiputra Kadazandusun berperanan besar mencorakkan lanskap politik negeri Sabah. Mereka adalah kaum yang awal mempunyai kesedaran politik dan Ketua Menteri Sabah yang pertama, Donald Stephens (Tun Mohd Fuad) adalah dari suku kaum Kadazandusun. Sejak merdeka, kaum Kadazandusun pernah menjadi Ketua Menteri Sabah sebanyak empat kali. Donald Stephens (1963-1965), Tun Mohd Fuad (1975-1976), Datuk Pairin Kitingan (1985-1994) dan Tan Sri Bernard Dompok (1989-1990).

Hari ini di Sabah, setiap parti politik (kecuali Chinese based party) dalam BN sekurang-kurangnya diwakili seorang kaum Kadazandusun sebagai menteri penuh atau sekurang-kurangnya timbalan menteri. Parti PBS, Presidennya, Datuk Pairin Kitingan adalah timbalan ketua menteri Sabah dan Timbalan Presiden Datuk Maximus Ongkili adalah Menteri Persekutuan. Parti UPKO, Presiden Tan Sri Dompok menteri Persekutuan dan Datuk Dr Ewon Ebin adalah menteri dalam kabinet negeri Sabah. Parti PBRS, presidennya, Tan Sri Kurup adalah timbalan menteri Persekutuan.

Dalam UMNO Sabah kaum Kadazandusun juga diwakili seorang menteri diperingkat negeri iaitu Datuk Masidi Manjun sebagai menteri pelancongan. Dari segi politik kaum Kadazandasan mempunyai wakil yang paling ramai menjadi menteri samada diperingkat negeri dan juga persekutuan.

Ramai yang berpendapat sungguhpun kaum Kadazandusun adalah kaum yang paling mendapat tempat yang istimewa dalam kerajaan BN namun jauh dilubuk hati mereka, matlamat untuk mendapat jawatan Ketua Menteri Sabah terus menjadi dorongan politik yang kuat dan menjadi asas perjuangan kaum itu. Sewajarnya dalam system demokrasi sebagai kaum yang mempunyai jumlah penduduk yang terbesar, mereka layak bercita-cita menerajui kerajaan negeri Sabah dimasa akan datang.

Jika kaum lain datang ke kampong Kadazandusun untuk menangkap ikan mereka akan dilarang kerana kaum itu ada adat “Tagal” iaitu menetapkan masa untuk menangkap ikan. Tetapi kaum-kaum lain di Sabah tiada adat seperti itu melarang sesiapa untuk menangkap ikan pada bila-bila masa di kawasan atau kampong mereka. Ternyata kaum Kadazandusun adalah kaum yang bijak dalam politik. Fikir-fikirkanlah.
Related...

0 Response to "POLITIK KADAZAN: BIJAK DAHULU, BIJAK SEKARANG"