ARTIKEL BARU

BERITA GEMBIRA DARI SABAH


Ada dua berita gembira kepada saya hari ini. Berita pertama, lawatan Dato Seri Najib Ke Sabah yang merupakan antara negeri awal yang dilawati sebagai PM Malaysia selepas negeri asalnya, Pahang (lawatan Sarawak tidak rasmi) . Kehadiran Dato Najib dijangka akan dapat membereskan beberapa isu termasuk kedudukan Timbalan KM Sabah Datuk Raymond Tan dan Datuk Japlin Akim yang telah didapati bersalah Jawatan Kuasa Displin UMNO.

Lebih kurang jam 5.30 petang tadi saya juga turut hadir di Terminal 2, KKIA menyambut dan bersalam dengan Perdana Menteri Malaysia yang baru. Sebelum ini saya tidak pernah menyusahkan diri sambut PM di Airport kerana saya tidak nampak perlunya saya berbuat demikian. Tetapi kali ini kerana saya sedang menulis buku “100 hari Najib sebagai PM” maka saya perlu lihat sendiri apa yang dilakukan pemimpin Sabah bila sambut PM. Cium atau tidak cium tangan?

Berita kedua yang menggembirakan ialah berita TV jam 12 tengah malam, tentang index KLCI (Kuala Lumpur Composite Index) yang telah mengatasi angka 1000 atau dikenali sebagai psychological barrier. Index ditutup Isnin pada angka 1009.36. Kali terakhir KLCI mengatasi jumlah 1000 point ialah pada bulan Oktober tahun 2008.

Apakah signifikan kedua-dua berita ini?

Petanda baik bahawa kegawatan ekonomi dunia semakin pulih dan menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia masih kukuh. Ini membuktikan bahawa usaha daripada dasar-dasar ekonomi yang dibuat Najib sejak dilantik sebagai Menteri Kewangan telah mula menunjukkan kesan positif. Bermula dengan RM5 billion kepada Valuecaps Sdn Bhd untuk membeli saham-saham yang jatuh paras nilai sebenar dan juga “stimulus package” yang kedua.Dasar Liberalisasi sektor perkhidmatan juga memberi sumbangan besar terhadap keyakinan pelabur. Dan berita baik ini berlaku sebaik sahaja kaki Najib memijak bumi Sabah yang bertuah ini sebagai Perdana Menteri Malaysia. Secara kebetulan? Terpulanglah bagaimana kita buat interpretasi. Tetapi saya tetap mengatakan Sabah adalah negeri yang bertuah kepada Najib.

Sabah terlalu banyak memberi sumbangan kepada Malaysia. Sumbangan ekonomi dan kekayaan Negara. Kestabilan politik. Malah jika ditinjau latarbelakang budaya, cara hidup rakyat berbilang etnik yang hidup dengan harmoni, konsep 1Malaysia harusnya dirujuk kepada keadaan di Sabah dan juga Sarawak.

Kalau dulu Tun Mahathir yang perkenalkan Dasar Pandang Ke Timur dengan mengambil negara Jepun sebagai model. Maka tak salah kalau Dato Najib dengan konsep 1Malaysia mengambil Sabah dan Sarawak sebagai modelnya.

0 Response to "BERITA GEMBIRA DARI SABAH"