ARTIKEL BARU

PERPECAHAN POLITIK MELAYU (SIRI 3)

Penubuhan IMP, Party Negara dan PAS

Ada dua kesan besar selepas cadangan membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Pertama perletakan jawatan Dato Onn Jaafar sebagai presiden UMNO dan menubuhkan parti IMP dan Party Negara. Kedua ialah perpecahan daripada golongan ulamak yang menubuhkan parti PAS. Sungguhpun penubuhan PAS ada hubungan dengan cadangan Dato Onn Jaafar, namun punca sebenarnya ialah golongan ulamak dalam UMNO kurang senang pendekatan pemimpin-pemimpin UMNO dilihat terlalu kebaratan. Bukan sahaja dari segi prinsip perjuangan tetapi juga dari segi stail seperti berpakaian kot dan lain-lain amalan budaya barat.

Pada 28hb Mei 1949, Dato Onn Jaafar mencadangkan dalam perhimpunan agung supaya keahlian UMNO terbuka kepada bukan Melayu. Cadangan itu ditolak majoriti orang Melayu dan ahli-ahli UMNO. Namun atas penghormatan mereka kepada sumbangan besar Dato Onn, bantahan secara terbuka tidak diperlihatkan ahli-ahli UMNO semasa Onn kemukakan cadangan tersebut.

Ada penganalisis sejarah berpendapat Dato Onn termasuk dalam perangkap British yang berdendam dengan beliau kerana membantah Malayan Union. Kerajaan penjajah British pernah membayangkan kepada Onn bahawa British akan mempertimbangkan self-government kepada orang Melayu jika mereka berkerjasama dengan kaum-kaum bukan Melayu.

Onn pernah mengadakan beberapa pertemuan dengan Tan Cheng Lok dari MCA dan pemimpin-pemimpin Cina yang lain untuk merealisasikan hasratnya untuk menuntut merdeka dengan kerjasama kaum Cina. Maka tertubuhlah CLC (Communities Liasion Committee) yang menggalakan pendekatan berbilang kaum.

Sokongan Dato Onn terhadap CLC menimbulkan kririkan yang hebat. Pada mesyuarat agung UMNO 20 Mei 1950, beliau telah dikritik secara terbuka. Pada 11 June, 1950, Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO. Beliau mengingatkan UMNO bahawa slogan “Tanah Melayu untuk Melayu” mestilah berubah kepada “Tanah Melayu untuk semua rakyat berbilang kaum”.

UMNO bagaimanapun memujuk Dato Onn terus mengetuai parti dan memilih semula sebagai Presiden pada 27 Ogos 1950. Tetapi oleh kerana Onn terus berkeras dengan cadangannya menerima kaum bukan Melayu dan menukar nama UMNO kepada United Malayan National Organisation, maka ahli-ahli UMNO tidak lagi dapat menerima beliau.

Pada 28 Ogos 1951, Onn akhirnya meletak jawatan dari UMNO. Pada 16 September 1951, beliau menubuhkan parti baru, Independence of Malay Party (IMP) yang membuka keahlian kepada semua kaum.

Perletakkan jawatan Dato Onn kemudiannya diikuti Persatuan Alim Ulama UMNO (Umno Association of Islamic Religious Scholars). Sebulan selepas itu, persatuan itu menjadi sebuah parti politik, Parti Islam Se Malaya atau Pan Malayan Islamic Party (PMIP). Ianya kemudiannya dikenali sebagai parti PAS.

IMP bagaimanapun gagal mendapat sokongan dalam pilihan raya Kuala Lumpur Municipal Council 1952. Perikatan UMNO-MCA menang 9 kerusi, IMP 2 dan Bebas 1. Kekalahan itu menyebabkan IMP kehilangan sokongan daripada kaum Cina. Parti MIC juga meninggalkan IMP dan menyertai Perikatan pada 1954.

Dato Onn bukarkan IMP dan tubuhkan Party Negara pada tahun 1953. (Bersambung siri 4)

2 Responses to "PERPECAHAN POLITIK MELAYU (SIRI 3)"

Senjaliza said...

Adik Musli. Baik tulisan sejarah ini. Pakar Sejarah?. Anak murid saya pasti dapat grade yang bagus kalo berguru di sini.

musli oli said...

Salam kak Liza, saya backgrond applied economics tetapi pernah menjadi guru sejarah tingkatan 6 semasa di SMK Arshad setahun sahaja pada 1986. Saya belajar sejarah sampai form 6 sahaja daripada cikgu Azis Abas (pernah menjadi Pengarah Pelajaran Selangor), seorang pencinta sejarah yang penuh emosi sewaktu mengajar. beliau mendapat didikan daripada Prof Ainuddin Wahid UKM. Sejarah mesti diselami untuk memahami dan tidak dengan manghafal shaja. Saya melihat sejarah dari pelbagai sudut dan bukan hanya kacamata pihak yg buat buku teks. terima kasih cikgu.