ARTIKEL BARU

SOKONGAN 126 NGO MELAYU KEPADA NAJIB: BERSYARAT?

Model Baru Ekonomi (MBE) menghina Dasar Ekonomi Baru yang diilhamkan Tun Razak untuk menghalalkan keujudannya sebagai dasar baru ekonomi negara.

Saya pernah beberapa kali berada dalam dewan ini sebagai perwakilan UMNO.  Namun malam ini saya tidak hadir sebagai perwakilan UMNO. Begitu juga ribuan orang Melayu dan bangsa bumiputera dari seluruh pelusuk tanah air. Sahabat-sahabat saya dari Sarawak yang diketuai YDP Perkasa Sarawak, Abang Nasser tentu sekali tidak mewakili UMNO kerana mereka bukan ahli UMNO.

Semua bangsa Melayu yang hadir pada malam ini, datang dengan sukarela mewakili NGO masing-masing. Sejak pagi tadi ketika sessi perbahasan, wajah-wajah Melayu yang hadir adalah wajah-wajah yang serius. Tidak kedengaran jenaka dan gelak ketawa seperti yang biasa kita dengar dalam perhimpunan UMNO. 

Tidak kelihatan perwakilan atau peserta yang balik dari shopping masuk ke dewan membawa beg berisi kain pelikat atau kain songket atau baju batik. Suasana amat berbeza.  Jarang kelihatan keluar masuk atau mundar-mandir. Yang kelihatan ialah muka-muka yang risau, sedih dan murung. Apakah mereka sedang memikir untung nasib bangsa Melayu?

Sabtu,  tanggal 29 Mei 2010,  saya catatkan sebagai tarikh yang bersejarah kepada bangsa Melayu dan bumiputra di negara ini. Pada sebelah pagi tadi, ketika Kongres Ekonomi Bumiputera, salah seorang pengulas, Dato Halipah Esa, bekas Ketua Pengarah EPU menitis air mata dan menangis ketika menyampaikan pandangannya.  Model Baru Ekonomi yang menjadi tajuk perbahasan kongres katanya akan menghakis hak keistimewaan bangsa Melayu.

Hampir seluruh peserta menitis air mata melihat Dato Halipah. YB Senator Datuk Akbar Ali, yang mengulas sebelum itu telah mengemukakan hujah-hujah yang begitu padat dan bernas, kenapa orang Melayu mesti menolak MBE. Saya tidak berganjak dari kerusi kerana terlalu tertarik dengan hujah-hujah para pengulas. 

Barangkali tarikh hari ini akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan semangat bangsa Melayu dan bumiputera?  Sebanyak 126 Pertubuhan NGO Melayu yang bersatu dibawah Majlis Perundingan Melayu (MPM) telah berkumpul pada hari ini untuk menyampaikan resolusi Kongres Ekonomi Bumpitera kepada Perdana Menteri Malaysia yang akan merasmikan penutupan kongres.

Beberapa NGO juga telah menyediakan memorandum masing-masing dan dalam ucapannya Dato Seri Najib berkata,  tidak pernah dalam sejarah beliau berpolitik  menerima begitu banyak memorandum. Tetapi Najib juga harus sedar, tidak pernah orang Melayu merasa terancam kedudukan kuasa politik seperti yang dialami bangsa Melayu pada hari ini.

Namun Najib berjanji akan meneliti dan menghalusi setiap resolusi dan memorandum. Janji Perdana Menteri itu disambut tepukan gemuruh dan jeritan hidup Melayu!

Malam ini, sebelum ucapan penutupan rasmi. Majlis dimulakan dengan jamuan makan malam di Dewan Tun Razak 4, Dato Seri Najib, Datuk Ismail Sabri, Datuk Mukhriz, Datuk Ahmad Maslan dan Speaker Dewan Negara turut hadir sebagai Presiden Mubarak. Saya dan AJK Perkasa Malaysia berada di meja bersebelahan dengan meja utama. Selepas makan, semua berpindah ke Dewan Utama PWTC untuk acara penutupan rasmi.

Pengerusi MPM, Dato Ibrahim Ali memulakan majlis dengan ucapan mengenai resolusi dan dapatan yang diperolehi daripada Kongres Ekonomi Bumiputera sebelah pagi.  Ucapan hampir satu jam itu juga menyentuh senario politik semasa termasuk kedudukan politik bangsa Melayu. Presiden Perkasa itu juga merayu Najib tidak lupa dengan dasar dan falsafah DEB yang diilhamkan Allahyarham ayahnya, Tun Razak Hussien.

Datuk Seri Najib Tun Razak diatas pentas, berucap menutup kongres dengan berlatar belakang gambar arwah ayahnya Tun Razak serta tertulis ayat  'kemana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi'. Terdetik hati saya, apakah Najib akan mengikut jejak dan perjuangan Tun Razak menjadikan bangsa Melayu sebagai asas politiknya atau 1Malaysia sebagai sandaran perjuangan?

Bila Ibrahim Ali mengakhiri ucapan dengan pekikan HIDUP MELAYU! Najib mengakhiri ucapan dengan jeritan HIDUP UMNO! fikir-fikirkanlah......

1 Response to "SOKONGAN 126 NGO MELAYU KEPADA NAJIB: BERSYARAT?"

Anonymous said...

Salam...tertarik dengan tulisan tuan. Paling saya terkesan bilamana tuan mengatakan semua orang yang hadir pada kongres itu hampir semuanya serius.

Bukankah elok kalau gambaran keseriusan itu dibawa bersama dalam Perhimpunan UMNO setiap tahun, banyak memaparkan ucapan daripada perwakilan yang berlawak...bila ramai yang ketawa makin galak dia berlawak hinggakan lupa apa yang nak disampaikan lupa terus...

Itulah sebabnya kita orang Muslim diseru kurangkan gelak sebab banyak gelak banyaklah ilmu yang hilang...tapi tak dalam perhimpunan UMNO..gelak ketawa tu penting untuk menggamatkan suasana...kekadang terfikir juga..adakah perwakilan itu pelawak atau pemimpin???

Untuk hal kongres tu...berjuanglah apa yang patut...kalau betul nak bantu bangsa melayu Islam...buatlah bersungguh-sungguh tanpa mementingkan kepentingan diri..buatlah untuk masyarakat dengan seadil-adilnya...

wallahualam