ARTIKEL BARU

SIAPA DIKTATOR DI SABAH?

PASUKAN KUDA BAJAU YANG MENGIRINGI DATUK SERI SHAFIE AFDAL DI KOTA BELUD



Hari ini 10hb Oktober 2010 atau angka magik 10.10.10 saya ingati dalam diari politik saya sebagai hari yang amat bersejarah kepada warga dan para pejuang di Kota Belud, Sabah 

Pada hari ini diadakan satu Majlis Hari Raya Bersama Rakyat anjuran PKMM cawangan Sabah di perkarangan Pusat Giat Mara, Kampung Botung Kota Belud. Tetamu undangan ialah Menteri KKLW merangkap Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Saya bertolak dari Kota Kinabalu seawal jam 6.30 pagi. Di kepala saya penuh kerisauan kerana sejak sehari dua  ini saya menerima sms dari seorang AJK UMNO yang sibarkan “Jangan hadir majlis Shafie Afdal”.

Saya berbalas-balas sms dengannya jelaskan bahawa sebagai anggota UMNO, kita mesti hadir, kalau tidak hadir janganlah minta orang lain tidak hadir. Tapi ternyata orang ini baghal dan hanya menyokong individu bukan perjuangan parti.

Oleh itu, saya berusaha hubungi ketua-ketua cawangan yang pernah menjadi penyokong saya sewaktu bertanding G7. Saya tidak keberatan dan berjanji ganti duit minyak mereka yang hadir.

Kota Belud adalah bumi keramat. Kota Belud adalah tempat UMNO dilahirkan di negeri Sabah pada tahun 1991.

Calon parti itu yang pertama ialah Bapa Kemerdekaan dan TOKOH MALAYSIA (Anugerah yang diiktiraf oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin) Tun Mustapha bin Datu Harun di kawasan DUN Usukan, Kota Belud.

Kerusi pertama UMNO di Sabah itu dimenangi dengan majoriti besar kerana sokongan rakyat Kota Belud yang terkenal dengan semangat juang dan kesetiaan kepada parti dan perjuangan!

Hari ini tercipta lagi satu sejarah baru di Kota Belud.

“Rupa-rupanya rakyat biasa dan pemimpin-pemimpin kecil jika bersatu hati boleh menggoncang dunia” Begitulah ayat Abdul Gaus Hj Mansor, seorang bekas pemimpin Pemuda UMNO Kota Belud. Beliau hadir atas jemputan saya secara peribadi.

Sejarah tercipta bila puluhan ribu rakyat dari seluruh pelusuk kampong datang beramai-ramai walaupun majlis bukan anjuran YB dan pemimpin tertinggi parti. Kelihatan wajah-wajah ceria ingin menyambut kehadiran seorang pemimpin negara yang berasal dari Sabah, seorang pemimpin yang telah diangkat ke jawatan tertinggi parti, jawatan yang tidak pernah disandang pemimpin dari Sabah. Jawatan Naib Presiden UMNO Malaysia.

Shafie Afdal tiba diiringi 130 orang pemuda bermotor dengan pakaian seragam hitam bermula dari Pekan Kota Belud hingga ke Kg Botung. Selepas itu beliau menaiki kereta pick up yang dihiasi dengan kebesaran adat istiadat suku kaum Bajau dan Irranun.

Majlis yang biasanya dikhaskan untuk menyambut pahlawan dan pemimpin tertinggi. Sesuailah dengan jawatan Shafie sebagai Penasihat USBO.

Datuk Seri Shafie Hj Apdal adalah antara tokoh awal yang membawa UMNO ke Sabah dan Kota Belud khususnya. Dalam ucapannya, Shafie sebut nama-nama seperti Saiman Umbang (bekas Ketua Pemuda USNO), yang turut berjuang bersama-sama Tun Mustapha mengajak rakyat bersama-sama dalam perjuangan UMNO.

Kota Belud menjadi kubu UMNO hingga ke hari ini sepertimana ia pernah menjadi kubu USNO selama 19 tahun ketika parti itu menjadi parti pembangkang di Sabah!

“Sewaktu saya melawat Sarawak sebaik sahaja pemilihan UMNO, seorang pemimpin Iban peluk saya dan ucap tahniah kerana menang Naib Presiden UMNO. Saya tanya kenapa ucap tahniah, sedangkan UMNO tiada di Sarawak.

Dia jawab, ‘we are part of you and we are truly proud’ jawabnya. Saya terharu. Tapi bila saya sampai Sabah, tiada pemimpin Sabah yang sambut saya. Tapi ini tidak penting kerana nawaitu saya berjuang dalam politik dengan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah!!”

Begitulah antara lain ucapan bersemangat Shafie yang mendapat tepukan gemuruh dari puluhan ribu yang hadir.

Saya mendapat didikan politik mengutamakan kesetiaan. Malah motto UMNO ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” sesuai dengan jiwa saya yang berpegang kepada perjuangan bukan menyokong individu atau pemimpin.

Saya amat sedih kerana pemimpin dan wakil rakyat dari Kota Belud tidak hadir pada majlis pagi ini. Bukankah peranan wakil rakyat antara lain membawa cadangan projek rakyat kepada menteri, kenapa pula bila menteri berkenaan datang kepada rakyat, tidak nampak batang hidung seorang pun wakil rakyat?!

Saya posting dalam FB dan anggap YB-YB ini sebagai pengkhianat! Pengkhianat kepada amanah rakyat Kota Belud. Saya cabar mereka berundur dan cabar UMNO dan BN untuk gugurkan mereka sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang!

Saya bertemu ramai ahli UMNO dan bersalam dengan 4 atau 5 orang AJK UMNO yang turut hadir. Ketua-ketua cawangan UMNO yang saya jemput juga ada bersama-sama ahli parti mereka. Namun barisan kepimpinan UMNO bahagian Kota Belud tidak kellihatan, masing-masing dengan agenda tersendiri.

Selepas majlis itu, salah seorang yang rapat dengan YB DUN Tempasuk, beritahu saya, katanya dia bersama YB Tempasuk malam tadi, dan ada panggilan telepon daripada Ketua Menteri arah YB-YB menghadiri satu mesyuarat khas pada hari ini.

“Mesyuarat wakil rakyat pada hari minggu, hari cuti umum?” terpacul soalan itu dari mulut saya.

Perbuatan khianat dan memulau majlis yang dihadiri Datuk Shafie Afdal bukanlah pertama kali. Sebelum itu majlis yang sama di boikot YB-YB dari UMNO dan BN di Lahad Datu dan Kudat. Tetapi sambutan masih diluar dugaan.

Sudah tentu YB akan beri sejuta alasan kenapa tidak dapat hadir. Jawapan saya kepada mereka, "Kalau hendak seribu daya, Kalau tak hendak seribu daleh". sebelum ini walau di hujung dunia majlis yang dihadiri Shafie Afdal mereka sanggup datang.

Bertanya dalam hati saya, “Jika perjumpaan yang di pulau pemimpin dan wakil rakyat dan mengarah jangan hadir ke majlis itu, TETAPI masih ramai malah puluhan ribu rakyat hadir, apakah mesej yang ingin disampaikan golongan grassroots kepada pucuk pimpinan tertinggi negara?”

Soalan saya kepada Datuk Najib dan pembaca,  siapa yang mahu jadi diktator dan memecah belahkan perpaduan UMNO dan BN di Sabah? Fikir-fikirkanlah.









3 Responses to "SIAPA DIKTATOR DI SABAH?"

sumandak bayu said...

Salam bro,

Safie memang lantang dan berani melontarkan idea dan suaranya kepada umum... dan memang sesuailah dicabar kepada pengkhianat... masa telah tiba untuk pastikan jiwa kita berjuang untuk negara, bangsa dan agama yang kita sayangi.

USD said...

Salam,
sekadar bkongsi pandangan dgn Pak Musli : http://ustazsaid.blogspot.com/2010/10/siapa-diktator-di-sabahmenjawab-musli.html

Masbun Kassim said...

Bagus tulisan ini...kalau boleh tulis lagi pasal setinggan yang mula kelihatan di KB, immigran yang berjualan di tapak pasar malam tu..
cuma dalam yang ramai ramai datang tu berapakah berstatus penggundi berdaftar..tolong tengok apa yang boleh kita buat di sini..