Perdana Menteri yang baik
Bila saya beritahu seorang rakan penulis tajuk buku terbaru saya “Dilema Najib”. Spontan dia tanya, “Betulkah Najib dalam dilemma?”
Saya tersentak dan ulangi soalannya “Betulkah Najib dalam dilema?”
Dato Seri Mohd Najib Tun Razak mewarisi sebuah kerajaan yang lemah daripada Tun Abdullah Badawi. Najib juga mewarisi sebuah parti politik yang berpecah dan tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Tidakkah situasi sedemikian meletakkan Najib dalam dilemma?
Dilema adalah satu situasi dimana seseorang itu akan menghadapi kesukaran dalam membuat pilihan atau keputusan.
Bukankah slogan UMNO ‘Berubah Atau Rebah’ itu merupakan satu konflik dan meletakkan Najib dalam dilema?
Seriuskah UMNO dan Najib untuk melakukan perubahan? Bagaimanakah rupa dan bentuk perubahan yang dikehendaki akar umbi? Cukupkah sekadar pindaan perlembagaan UMNO yang dilakukan tahun lalu merangkumi konsep perubahan yang disarankan dalam slogan itu?
Persoalan juga timbul dalam soal kepimpinan dalam parti dan kerajaan. Apakah Najib benar-benar mendengar suara hati dan denyutan nadi rakyat? Apakah Najib mendengar aspirasi dan bisikan hati golongan muda yang mahukan 'total overhaul' dalam parti dan kerajaan utnuk menggantikan kepimpinan old guards dengan young turks?
Inilah dilema Najib.
Barisan Nasional bukan lagi parti politik yang dominan selepas PRU 2008. UMNO sebagai tunjang BN tidak lagi dianggap parti dominan Melayu setelah PAS dan PKR merampas negeri-negeri Melayu yang diperintah UMNO. Perak, Kedah dan Selangor di samping mempertahankan Kelantan.
Bagaimana Najib meletakkan prioritinya? Parti UMNO atau Barisan Nasional? Melayu atau kaum-kaum lain yang menganggotai parti-parti komponen MCA, MIC, Gerakan, SUPP, PBS, PBRS, PRS, SPDP dan UPKO?
Orang yang baik tidak semestinya menjadi pemimpin yang baik. Orang yang baik jarang membuat keputusan yang akan menyakiti hati mana-mana pihak.
Tun Mahathir adalah contoh pemimpin yang baik tetapi mencipta musuh-mush politik kerana beberapa keputusan politik yang pada pandangannya menguntungkan parti dan negara tetapi menyakiti pihak lain. Maka dikalangan musuhnya, Tun Mahathir bukanlah orang yang baik.
Najib kelihatan seorang yang amat baik. Terlalu baik untuk membuat keputusan yang tidak memihak. Terlalu baik untuk menyakiti hati sesiapa.
Setelah setahun setengah menjadi Perdana Menteri dan presiden UMNO, belum ada keputusan politik yang dianggap kontroversi. Apakah itu menggambarkan Najib seorang pemimpin yang bijaksana?
Tun Dr Lim Keng Yaik , penasihat parti Gerakan (lihat NST hari ini October 5) menyifatkan pemimpin yang ‘see no evil, speak no evil’ dan sembunyikan kepalanya dalam pasir seperti burung Ostrich akan menimbulkan lebih banyak masalah dalam parti.
Walaupun Lim Keng Yaik merujuk kepada Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon, orang kepercayaan Najib di Jabatan Perdana Menteri. Tetapi kenyataan itu juga merujuk kepada kepimpinan dalam BN secara keseluruhannya.
Setelah kehilangan sokongan Melayu di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, UMNO perlu bertanya, apakah merajuk orang Melayu hanya bersifat sementara dan orang Melayu akan kembali kepada UMNO bila tiba pilihan raya umum nanti. Atau orang Melayu telah menolak parti UMNO dan kerajaan yang memerintah secara total dan terus memberi sokongan kepada PAS dan PKR?
Daripada 8 pilihan raya kecil yang diadakan ketika Najib mengetuai BN dan kerajaan, nyata dan jelas sokongan kaum-kaum bukan Melayu kepada BN terus merosot. Kemerosotan amat ketara pada dua PRK yang terakhir, Hulu Selangor dan Sibu.
Jika trend ini tidak berubah, DUN Galas akan terus kekal menjadi milik PAS jika BN gagal menarik sokongan daripada pengundi kaum Cina.
Secara umum, apakah strategi Najib yang kelihatan terlalu fokus kepada kerajaan bukan parti politik akan berjaya mendapat sokongan rakyat?
Pada 2008, Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan kerajaan BN dengan menyumbang 56 kerusi parlimen. Najib menganggap kedua-dua negeri sebagai “fixed deposit BN”.
Kekalahan teruk BN di Sibu telah mengancam status Sarawak sebagai simpanan tetap BN. Negeri Sarawak perlu mengadakan pilihan raya umum negeri sebelum Julai tahun hadapan (2011).
Dilema Najib amat berat. Mengekalkan ‘old guards’ termasuk Ketua Menteri Sarawak yang telah berusia lebih 80 tahun untuk mengetuai BN atau mengambil risiko memilih pemimpin baru PBB yang lebih muda?
Sabah juga berhadapan dengan krisis politik dalaman yang kronik. Krisis bukan sahaja antara Ketua Menteri Sabah dengan pucuk pimpinan LDP yang secara terbuka mengeluarkan kenyataan enggan berkerjasama tetapi juga berhadapan dengan krisis dalam parti UMNO negeri itu sendiri.
Pertelingkahan antara Datuk Seri Musa Aman dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menjadi perang terbuka. Dilema Najib ialah untuk mengekalkan Musa Aman atau memilih pemimpin kepercayaannya Shafie Apdal untuk mengetuai BN pada pilihan raya umum akan datang?
Dalam soal-soal dasar dan pentadbiran, Najib juga menghadapi berbagai-bagai dilema. Antara dasar MBE dan falsafah DEB yang diilham ayahandanya. Antara gagasan 1Malaysia dan dominasi Melayu.
Untuk menarik sokongan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina, semua kontrak kerajaan ditawar secara tender terbuka. Apakah dasar ini disenangi kontraktor Melayu yang kebanyakkannya masih terkapai-kapai, dan perlu perlindungan?
Sokong PERKASA dan Ibrahim Ali atau memihak kepada Nazri Aziz, KJ dan desakan kaum Cina? Juga menjadi dilema kepada Najib.
Sama-sama kita tunggu buku DILEMA NAJIB akan diterbitkan pada 19 Oktober 2010.
SELAMAT MEMBACA.
5 Responses to "PROLOG SEBUAH BUKU POLITIK - DILEMA NAJIB"
Menarik untuk di terka...
Sememangnya Najib dalam DELIMA
Sememangnya Najib DALAM DELIMA
Sangat bersetuju, mari bersama2 kita lihat strategi Najib mengharungi dilema beliau.. Daripada NKRA - NKEA -ETP , mampukah program transformasi politik dan ekonomi yg diperjuangkan oleh beliau tercapai... Atau MEB akan menjadi cerita kegagalan seperti DEB...
Bukan setakat itu sahaja yang menjadi dilema, tetapi ramai ahli akar umbi di Sabah mula meninggalkan UMNO tanpa mengisytiharkan diri keluar parti. Kalau diliaht pemilihan cabang PKR tahun ini, kebanyakan yang menjadi pemilih dan yang aktif di peringkat cawanagan adalah terdiri daripada ahli-ahli UMNO dahulunya. Bila ditanya, parti apa yang mereka sertai, mereka kata Badan UMNO tetapi hati PKR. Saya berani katakan bahawa Sabah bukan lagi fix deposit kepada BN. Cuma mungkin YB-YB Sabah ini mudah digabui wang ringgit. Mereka mudah dibeli. Mereka tidak ada pendirian. Jika mereka menang dlm PRU akan datang, dan tiba-tiba ada tawaran lumayan dari p[arti pemerintah, saya pasti mereka akan menukar kiblat sma seperti Datuk Rubin dan Datul Lajim dahulu. Saya lebih hormat Datuk Yong Teck Lee, yang sanggup meninggalkan kerakjaan kerana sudah tidak sehaluan dengan pandangan mereka. Bukan YB macam Rubin Balang dan Lajim Ukin.Katak.
Post a Comment