ARTIKEL BARU

TUN MUSTAPHA DAN TUN SAID KERUAK....


Tun Mohd Said Keruak - KM Sabah yang ke 4. Tokoh yang suka kedamaian dan cuba memperbaiki hubungan USNO dengan kerajaan Pusat. Namun KL nekad untuk menumbangkan kerajaan USNO pada pilihan raya 1976.

Pilihan raya negeri Sabah pertama diadakan pada Mei 1963. Sabah Alliance Party atas persetujuan dua parti Bumiputera, USNO dan UPKO yang menghadapi masalah pembahagian kerusi bertanding secara "friendly contest".

Pada ketika itu jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri ialah 32. Tiga anggota Sabah Alliance ialah UPKO, USNO dan SCA. USNO menang 14 kerusi, UPKO - 12 dan SCA 5. Calon SCA, Ketua Menteri Sabah, Peter Lo tewas kepada calon Bebas, Yap Pak Leong.

Kemenangan USNO membolehkan presidennya Tun Mustapha dilantik KM Sabah yang ketiga pada 12 Mei 1967.

Menurut catatan beberapa penulis, pegawai-pegawai kanan dari parti UMNO secara terbuka membantu USNO dari segi strategi, kewangan dan juga kempen.

Atas nasihat UMNO, parti UPKO diketepikan dalam kabinet negeri Sabah. Tun Mustapha memberi alasan "kempen yang sengit menyebabkan permusuhan yang sukar diperbaiki antara penyokong kedua-dua parti".

Tun Mustapha tidak melantik sesiapa wakil rakyat dari UPKO dan membiarkan 4 jawatan kabinet kosong. ADUN Kiulu Payar Juman yang "diculik" pemimpin UMNO selama 3 bulan di Kuala Lumpur, akhirnya mengumumkan keluar dari UPKO menyertai USNO dan dilantik sebagai anggota kabinet USNO-SCA.

Pada November 1967, UPKO akhirnya bubar dan majoriti ahli parti itu menyertai USNO.

Hubungan bulan madu USNO-UMNO bagaimanapun tidak kekal lama.

Setelah Petroleum development Act diluluskan di parlimen, Tun Mustapha enggan setuju pemberian royalti 5% kepada negeri Sabah. Jumlah itu terlalu sedikit kerana Sabah memerlukan wang yang banyak untuk pembangunan.

Pada 1975, rombakan kabinet Tun Razak mengumum perlantikan Tun Mustapha sebagai menteri pertahanan Persekutuan. Perlantikan itu tidak diterima. Tun Mustapha sebaliknya mencadangkan orang kepercayaannya Datuk Zulkifli Hamid.

Pada persiadangan USNO tahun 1975, Tun Mustapha mengkritik kerajaan Pusat secara terbuka. Tun Mustapha minta kedudukan Sabah harus dikaji semula dalam Persekutuan kerana lebih menguntungkan kerajaan Pusat.

Tindakan Mustapha menimbulkan kemarahan KL. Setelah Tun Razak berunding kali terakhir dengan Tun Mustapha mengenai isu royalti  gagal, dia bertindak nekad. Datuk Harris Salleh (sekarang Tan Sri Harris) diarah ke KL.

Sebuah parti baru ditubuhkan. Penubuhan BERJAYA diumum di Kuala Lumpur dan Harris Salleh adalah presiden penaja. MP dari USNO, Datuk Ghani Gilong yang memegang portfolio Menteri Kerja Raya turut disenaraikan sebagai pemimpinnya. (Gilong bagaimanapun kembali bersama USNO selepas beberapa ketika)

Harris mencadangkan Tun Mohd Fuad Stephens mesti mengetuai BERJAYA untuk mendapat sokongan kaum Kadazandusun. Tun Mohd Fuad menerima jawatan itu dengan hati yang berat dan terpaksa.

Sekali lagi pertelingkahan antara Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam ditimbulkan pemimpin UMNO dan kerajaan Pusat!!!

Tun Mustapha dituduh mereka sebagai seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan bercadang menabalkan dirinya sebagai SULTAN SABAH.

Politik Sabah kembali kecoh!

Tun Mustapha adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar. Beliau tidak mahu permusuhan bumiputera Sabah berterusan. Atas nasihat bekas PM, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Mustapha meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah. 

Timbalan Presiden USNO, Tun Mohd Said Keruak dilantik sebagai KM Sabah yang ke empat pada akhir tahun 1975 kira-kira 8 bulan sebelum pilihan raya negeri 1976. 

(Bersambung: KM Sabah yang kelima dan tragedi "double six") 

0 Response to "TUN MUSTAPHA DAN TUN SAID KERUAK...."