ARTIKEL BARU

ORANG KOTA BELUD DAN POLITIKNYA...

Minggu lalu selepas  menulis "Bajau Sabah Dipersimpangan Jalan" saya berjanji pada seseorang untuk menulis mengenai politik Kota Belud. Saya mohon maaf kerana  tidak menepati janji itu kerana agak sibuk dengan perkara-perkara lain.

Menulis bukannya kerja senang. Kalau setakat menulis 'copy paste' dan buat sedikit editing, siapa pun boleh. Saya tidak begitu. Saya menulis berdasarkan pengamatan saya terhadap sesuatu isu. Saya cuba melihat sesuatu isu daripada sudut yang berbeza daripada pandangan orang biasa.

Politik daerah Kota Belud memang unik untuk ditulis kerana penduduknya yang berbilang kaum tetapi suasana kehidupan begitu harmoni dan saling hormat menghormati.

Saya pernah berhujah pada seorang kawan.

"Barangkali jika diperinci, jumlah kawin campur paling tinggi di Sabah berlaku di daerah Kota Belud. Pasangan antara suku Bajau dengan Irranun. Bajau dengan KadazanDusun. Irranun dengan Cina. Bajau dengan Bugis. Suluk dengan Bajau. Dusun dengan Cina dan sebagainya. Ia bukan berlaku sekarang malah sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Kalau diteliti, tiada seorangpun boleh kata dirinya Bajau tulin, Irranun tulin, Dusun tomod, Cina asli dan sebagainya..semua sudah campur.."

Sentimen perkauman, jika pun ada, tidaklah ekstrem seperti  daerah-daerah lain di Sabah.

Sejak merdeka, rakyat Kota Belud menonjolkan kepimpinan dari pelbagai suku seperti pemimpin Bajau, Kadazan dan Irranun.

Kawasan parlimen Kota Belud pernah diwakili suku Bajau dan Kadazan. Tambah unik,  rakyat Kota Belud pernah memberi sokongan kepada dua orang calon dari luar daerah menjadi MP Kota Belud.

Dato Yahaya Lampong pada 1982 dan Dato Rahman Dahlan yang merupakan MP Kota Belud sejak 2008.

Sifat toleransi yang tinggi juga menyebabkan tiga orang dari luar daerah pernah  menjadi ADUN di kawasan Kota Belud. Allahyarham Tun Mustapha dan Allahyarham Datu Hamid di Usukan dan juga Dato Yahaya Lampong sebagai ADUN Tempasuk (1985).

Sikap rakyat Kota Belud banyak dipengaruhi kepimpinan politik yang telah mengamalkan sifat toleransi sejak awal merdeka hingga ke hari ini...(bersambung....)
 
 

2 Responses to "ORANG KOTA BELUD DAN POLITIKNYA..."

Unknown said...

Satu pengamatan dan penelitian yang cukup ikhlas dan matang... Tahniah Uncle MO

Anak Pinang said...

Good work but you did not turn on your Esperanto Google translator.