ARTIKEL BARU

YAHAYA LAMPONG DAN POLITIK KOTA BELUD

Yahaya Lampong

Pertama kali saya terlibat dalam politik seawal usia  20 tahun. Pada usia remaja itu saya aktif sebagai aktivis pelajar di IPTA  sebagai presiden Mahasiswa Sabah seluruh IPTA Semenanjung Malaysia dan juga presiden mahasiswa Sabah Universiti Malaya. Saya juga AJK Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

Tetapi penglibatan secara langsung dalam pilihan raya ialah semasa pilihan raya umum negeri Sabah tahun 1981 di Kota Belud iaitu kawasan DUN Usukan. Pada masa itu saya masih pelajar tahun akhir Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya.

Saya membantu Setiausaha Kerja Pemuda USNO Sabah, Allahyarham Jamlidi Oli yang juga abang kandung saya menerbit makalah dan surat-surat layang untuk diedarkan kepada pengundi. Saya juga sekali sekala diberi peluang berucap di pentas USNO. Maklumlah pada ketika itu belum ramai pelajar yang berani secara terbuka menyokong parti pembangkang.

Pada ketika itu belum ada internet dan sms. Printing  masih cara kuno menggunakan stensil dan  dakwat. Kerja kotor dan memenatkan. Tapi demi perjuangan, kami bertugas hingga subuh.

Presiden USNO  ialah Tun Mohd Said Keruak yang mengambil-alih jawatan itu daripada Tun Mustapha sebelum pilihan raya 1976. Pada pilihan raya umum negeri 1976, parti USNO tewas kepada parti BERJAYA.

Pada pilihan raya kali ini, kawasan Dewan Undangan Negeri Usukan, kawasan yang diwakili presiden USNO menjadi tumpuan Datuk Harris Salleh, Ketua Menteri Sabah dan presiden parti BERJAYA.

Seorang pemimpin jutawan  muda Bajau dari Kawang telah diberi tanggungjawab untuk menumbangkan USNO di Usukan, iaitu kubu kuat parti itu di Sabah. Nama calon,  Dato Yahaya Hj Lampong, seorang bekas guru sebelum melanjut pelajaran dan graduan ekonomi dari Universiti Malaya.

Bertitik tolak dari pilihan raya Usukan saya mula mengenali Yahaya Lampong. Perkenalan yang telah menjangkaui 34 tahun hingga hari ini. Yahaya seorang yang fokus kepada setiap kerja yang dilakukan. Seorang yang berani ambil risiko. Suka bersembang politik hingga jauh malam dan seorang penghujah yang convincing. Dia juga  pemurah tapi sedikit panas baran.

Semasa menjadi calon Usukan, Yahaya baru berusia 40 tahun. Untuk meyakinkan pengundi Bajau di Kota Belud, Yahaya bijak menimbulkan sentimen  kebangsaan Bajau. Dia membongkar sejarah lama, kononnya bangsa Bajau dijajah dan tidak diberi kesempatan untuk maju oleh pemimpin Kota Belud.

Ramai yang terpengaruh dengan sentimen itu. Namun faktor yang banyak menarik minat rakyat kepada Yahaya Lampong ialah keberaniannya menabur wang ringgit. Penyokong setia USNO dibeli hingga 100k. Arwah ayah saya pernah ditawarkan  20k. Ayah saya menolak dengan baik.

Tetapi bila Yahaya kata untuk bayar makanan kepada orang ramai yang masuk ke gerai ibu saya  sepanjang kempen secara percuma, wang itu ayah terima. Walaupun harga sebenar orang ramai yang makan sepanjang kempen tak pun sampai 10 ribu ringgit.

Sebenarnya taktik Yahaya Lampong untuk menarik sokongan ayah saya dan kami sekeluarga kerana dia tahu ayah saya adalah penyokong setia parti USNO.   Banyak peristiwa sepanjang kempen di Usukan, Yahaya Lampong  membayar 500 hingga 1000 kepada sesiapa yang menurunkan bendera USNO dan menggantikannya dengan bendera parti BERJAYA.

Itulah kelebihan Dato Yahaya Lampong. Walaubagaimanapun rakyat Usukan masih setia kepada USNO dan Tun Said Keruak mempertahan kerusi Usukan dengan majoriti tipis 81 undi.

Selepas saya lulus dari Universiti Malaya, saya telah diambil bekerja dengan syarikat GLC kerajaan negeri iaitu Permodalan Bumiputera Sabah. Salah seorang Board Of Trustee syarikat itu ialah Dato Yahaya Lampong.....bermulalah kisah menarik saya dengan YL (sambung....)



0 Response to "YAHAYA LAMPONG DAN POLITIK KOTA BELUD"