ARTIKEL BARU

30% HALANGAN SEBENAR EKONOMI BUMIPUTRA...


Tun M telah memberi pendapat, apa pula pandangan Guru Ekonomi, Tengku Razaleigh Hamzah tentang liberalisasi dan Model Ekonomi Baru?.

Ekoran artikel lalu, ramai rakan-rakan blogger dan pembaca meminta saya memberi penerangan lanjut mengenai Model Ekonomi Baru(MEB) yang di umum DS Najib baru-baru ini. Terutama mengenai dasar liberalisasi dan pemansuhan FIC dan syarat 30% ekuiti bumiputra.

Saya hanya membantu menerangkan apa yang saya fahami mengenai tujuan MEB, kerana saya bukanlah pakar ekonomi dan termasuk golongan policy maker. Dengan pengetahuan yang terbatas saya beri penjelasan berdasar pengalaman dan pembacaan. Namun saya berharap kerajaan perlu memberi kefahaman kepada rakyat. Saya bersetuju dengan pandangan Presiden PERKASA Dato Ibrahim Ali, supaya diadakan Kongres Ekonomi Bumiputra menjelaskan MEB kepada usahawan dan peniaga bumiputra dan masyarakat Malaysia amnya.

Dalam buku GENERAL ELECTION 2008: A PENDULUM SWING? bab 3, saya petik semula tulisan saya tentang DEB. “Berpandukan kenyataan, Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib dalam New Strait Times 20 Disember 2007, usaha sedang ditumpukan meneruskan DEB bagi meningkat ekuiti bumiputra daripada 2.4% kepada 30% pada tahun 2020.”

“ekuiti bumiputra 2.4%?” Pada ketika itu berapa ramai yang mengambil perhatian tentang angka 2.4%?. Kenapa setelah 35 tahun (1972-2007) DEB yang mensasarkan 30% ekuiti bumiputra pada 1990, hanya mampu mencapai 2.4% pada tahun 2007?

Kenapakah pada ketika itu DS Najib sebagai Menteri Kewangan dan TPM yang sedar kelemahan DEB tidak memperkenalkan atau mencadangkan liberalisasi dan MEB?

Sebagai orang nombor dua, barangkali Najib tidak mahu dilihat menunjuk-nunjuk dan ideanya disalah tanggap sebagai mengugat kedudukan Abdullah Badawi, sebagai orang nombor satu. Tambahan pula pada ketika itu, Pak Lah ada model dan perancangan ekonomi tersendiri termasuklah memperkenal bermacam-macam koridor pembangunan. Saya hanya boleh membuat andaian.

Model Ekonomi Baru adalah satu pendekatan ekonomi yang berani dan memerlukan political will yang kuat. Merubah sesuatu dasar yang orang Melayu dan bumiputra selesa boleh dianggap tindakan “political suicidal”. Namun seperti Tun Mahathir, Najib yakin perubahan yang dilakukannya baik untuk Melayu/bumiputra dan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan. Walaupun Tun Mahathir nampaknya sudah mula menegur Najib berhubung dengan dasar liberalisasinya.

Semasa menjadi PM, Tun Mahathir akan persetankan sebarang teguran dan kritikan terhadap dasar-dasar yang pada pendapatnya baik untuk negara. Antara dasar yang dikritik ialah projek kereta nasional.

Hakikatnya, rakyat bumiputera sudah terlalu lama sinonim dengan tag masyarakat 30%. Sudah tiba masanya, bottleneck dalam minda bumiputra itu dibuang dan digantikan dengan keyakinan bahawa bumiputra boleh bersaing dalam padang yang sama dengan kaum-kaum lain.

Pada hakikatnya, sekatan pemilikan yang dilonggarkan hanya melibatkan sektor ekonomi yang penyertaan bumiputra memang rendah. Pemansuhan 30%, yang selama ini menjadi halangan menarik pelaburan asing dan kaum bukan Melayu dalam negara, diyakini akan meningkat jumlah pelaburan dan sekaligus menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi akan membesarkan kek ekonomi dan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada bumiputra.

Syarat ekuit 30%, sebenarnya tidakpun memberi peluang bumiputra kuasai sesebuah syarikat yang disenaraikan (trigger point 33.3%). Bila saham jatuh, bumiputra akan rugi kerana tidak dapat menjual saham, kerana tiada pembeli, dalam masa yang sama tidak dapat kuasai syarikat.

Syarat ekuiti ini juga menggalakkan “alibaba”. Bukan saja dasar DEB di “alibaba”kan malah roh dan falsfahnya juga di “alibaba”. Akhirnya lahirlah usahawan bumiputra yang berjiwa kosong dan bolong, tidak ada sentiment terhadap nasib bangsa bumiputra yang lain. Ramai yang menjadi Pengerusi Syarikat yang hanya sebagai lambang penyertaan ekuiti bumiputra. Inikah jenis usahawan buniputra yang ingin kita dilahirkan?

Penubuhan Ekuinas sebagai institusi amanah akan menjaga kepentingan bumiputra. Membeli saham syarikat yang berpotensi dan memilih bumiputra yang berkebolehan. Namun jika usahawan yang dipilih itu terdiri daripada kroni dan bukan berdasarkan merit, maka matlamat Ekuinas juga akan tersasar.

Bersambung dalam paparan berikutnya.

4 Responses to "30% HALANGAN SEBENAR EKONOMI BUMIPUTRA..."

Anonymous said...

Tak habis habis di-perkatakan tentang equity 30 peratus untuk bumiputera.

Bukan kah masih ada 70 peratus untuk di-rebut oleh kaum bukan bumi.

Apa kah jumlah sebanyak 70 peratus itu tak cukup untuk mereka sehingga yang sekecil 30 peratus pun mau di-sapu nya sekali.

Si PM pula, takut kalah pada pru 13dan ingin jadi popular, beliau sanggup mengadai kepentingan 30 peratus hak bumiputera kepada kaum minority dan pelabur luar.

Kalau 30 peratus ini di-hapuskan, apa kah yang tinggal untuk bumiputera.

Saya sungguh tak faham, Dato Seri Najib tolong faham kan saya tentang perkara ini tapi bukan tentang SATU MALAYSIA.

DEPU-DEPU said...

Salam Sdr Musli..

beberapa kemusykilan timbul..dan saya rasa perlu diperjelaskan oleh kerajaan secara telus kepada seluruh masyarakat melayu dan Bumiputera..selepas pengumuman penubuhan Ekuinas ini..

1.Bagimanakah/kenapa DEB dikatakan gagal? Dan setelah gagal adakah membuka kepada pelabur asing sehingga pemilikan 70% itu menyelamatkan ekon melyu dan bumiputera?

2. . Ekuiti yang telah pernah dimiliki oleh bumiputra adalah sebanyak RM54 Bilion. Sekarang tinggal RM2 Bilion. Bermakna RM52 Bilion telah dijual kepada bukan bumiputra atau kepada orang asing. Bagaimanakah perkara ini terjadi?

3. Dlm Blog Dt Salleh,pemimpin ini menyatakan bahawa "Oleh kerana Bumiputera sudah agak ketinggalan dalam persaingan sebelum ini, maka adalah perlu langkah mereka dipercepatkan supaya dapat bergerak dan mengejar bangsa lain."

Harap dapat penjelasan daripada Sdr..

Unknown said...

salam sdra depu-depu, soalan 1. kenapa DEB dikatakan gagal. Jawapnya DEB adalah dasar jangka panjang dari 1972-1990, sasaran menghapus kemiskinan dan susun semula masyarakat supaya pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dihapuskan. sasaran utama ialah ekuiti 30% bumiputra pada 1990. tapi target itu tidak tercapai, maka gagal lah DEB dan diganti dengan Dasar Pembangunan Negara. namun roh dan falsafah DEB diteruskan, yang diubah hanya nama dasar itu saja mengelakkan tanggapan bumiputra sentiasa perlu tongkat.
soalan kedua. syarat 30% ekuiti bumiputra sebelum senarai saham. Nilai atas kertas 54 atau 58 billion, tetapi sebaik saja saham disenaraikan pada harga tinggi, bumiputra serta merta jual utk dapat untung segera. yang tinggal pemilikan saham hanya 2bilion.
soalan ketiga, wajar dato saleh jelaskan. tapi saya yakin kerajaan ada mekanisma dalam MEB ini untuk membantu bumiputra mengejar kaum-kaum bukan bumiputra dalam persaingan ekonomi.
terima kasih.

Unknown said...

salam,
Saya berhujah dalam buku KONSPIRASI POLITIK MELAYU, kerajaan Malaysia adalah kerajaan Melayu/bumiputra. PM orang Melayu, TPM orang Melayu, Menteri Kewangan orang Melayu, menteri-menteri kanan orang Melayu, KSN orang Melayu,ada bank spt CIMB dikuasai Melayu. Makanya jika kerajaan ini membantu bangsa Melayu/bumiputra, tidak perlulah didendangkan dan satu dunia nak diberitahu!

Masalah timbul dari segi politik kerana ada orang Melayu mengetuai parti pembangkang (PAS dan PKR)dan ada Melayu/bumiputra menyokong, maka kerajaan mesti maklumkan dasar-dasarnya membantu Melayu.

Sepatutnya, kerajaan tidak ikut rentak pembangkang bermain politik. Buat saja dasar yang baik untuk bumiputra, jika ianya baik sudah pasti kerajaan yang membuat dasar akan disokong. Itu Hujah saya........