ARTIKEL BARU

Muhyiddin - Orang Keempat tak Jadi PM kerana Mahathir?


Ramai berpendapat Tun Abdullah Badawi memang berhasrat memilih Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan Dato Sri Najib sebagai timbalannya sebaik sahaja dilantik menggantikan Tun Mahathir pada 2003. Namun diketahui umum telah ada persefahaman antara Tun Mahathir dan Tun Abdullah bahawa peralihan kuasa yang dipersetujui setahun sebelum Tun Mahathir bersara adalah secara perundingan dan pakej. Pakej yang dimaksudkan ialah, Tun Abdullah mesti melantik Dato Sri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Perundingan dan persefahaman itu secara langsung menghilangkan kuasa prerogatif Perdana Menteri memilih seorang timbalannya. Perlantikan Najib sebagai TPM tertunda hampir tiga bulan setengah. Pak Lah tidak membuat sebarang rombakan kabinet kerana Perdana Menteri baru itu dikatakan lebih berminat dengan Muhyiddin, kerana latar belakang agamanya lebih baik berbanding Najib. Keputusan Pak Lah tidak melantik Najib dengan segera menimbulkan sedikit perselisihan kecil dengan Tun Mahathir. Setiap kali dijemput dalam jamuan perpisahan meraikannya, Tun Mahathir mencari pelbagai alasan untuk tidak menghadirkan diri.

Jabatan Perdana Menteri mulai risau kerana Tun Mahathir kerap menyindir pentadbiran Pak Lah dalam tulisan-tulisannya. Menyedari bekas PM itu masih berpengaruh, Pak Lah mengikuti kehendaknya seperti dalam persefahaman mereka - merombak kabinet dan melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jika Tun Mahathir menghormati kuasa seorang Perdana Menteri, sudah tentu Pak Lah akan lantik Muhyiddin menjadi TPM dan kemungkinan MP Pagoh itu menjadi Perdana Menteri selepas PRU 2008. Sebaliknya selepas PRU ke 12, Muhyiddin dan Tun Mahathir secara terbuka mengkritik Pak Lah dan mendesaknya berundur kerana BN telah kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. 

Barangkali tindakan berani Muhyiddin menegur Tun Abdullah secara terbuka kerana dakwaan dia sayangkan Umno. Tetapi sukar untuk kita menolak kemungkinan tindakannya itu dilakukan kerana beliau telah dipengaruhi Tun Mahathir. Begitu juga dengan kritikan terbukanya terhadap PM Najib dalam isu 1MDB, adalah tidak mustahil, sekali lagi, orang dibelakang Muhyiddin ialah Tun Dr Mahathir.

Hipotesis politik penulis, selepas Tun Musa Hitam, Tun Ghaffar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin adalah Timbalan Perdana Menteri yang keempat tidak menjadi Perdana Menteri kerana Mahathir.

Renung-renungkanlah..

1 Response to "Muhyiddin - Orang Keempat tak Jadi PM kerana Mahathir?"

Anonymous said...

strategi madey membunuh politik org yg lebih senior dari mukhriz dlm umno,memandangkan kdrebiliti muhriz yg tidak berapa hebat...sudah ada perjanjian antara madey dgn najib..supaya jawatan perdana menteri berlegar diantara mereka..samada muhriz atau hisyammuddin...mungkin selepas ini..zahid hamidi...tp jika madey mati dulu..cerita lain akan berlaku..serangan mdey ke atas najib..hanya bersifat wayang semata mata..silap mahayuddin percaya pada madey..